BLOG DUKE AMIENE REV

Isnin, April 09, 2007

Apa Itu Sekolah Kluster? Baik dan buruknya.

Sebut sahaja sekolah kluster, saya tertarik. Apa yang dimaksudkan dengan sekolah kluster? Apakah ciri-ciri sekolah kluster? Apakah definisi kluster? Saya, Amiene Rev, dengan ini menyokong kewujudan Sekolah Kluster, dengan syarat para guru harus menggerakkannya dengan cara yang lebih profesional.

Oh, tidak. Sepatutnya guru akan secara automatik lebih lapang dada, manakala perasaan dan pemikiran profesional itu akan datang dengan sendirinya kerana mereka kini sudah tidak lagi dirantai dengan birokrasi di peringkat atas. Mereka sudah bebas membuat keputusan di peringkat sekolah! Sebelum itu, ada beberapa yang perlu kita ketahui dalam berikan perhatian dalam usaha untuk memahami konsep sekolah kluster ini:
  • Pemberian autonomi memberikan sekolah peluang untuk menentukan sasaran yang ingin dicapai sebagai strategi kecemerlangan lebih baik.
  • Pemberian autonomi menjadikan sekolah lebih demokratik dan bertanggungjawab, namun tidak memadai untuk melahirkan kecemerlangan sekolah.
  • Struktur terurus dan maklumat prestasi antara enam keperluan penting mesti dipenuhi bagi memastikan kejayaan sekolah kluster.
  • Penubuhan lembaga pengelola sekolah antara aspek penting dalam memulakan langkah pertama sebagai sekolah autonomi.

Konsep Sekolah Kluster yang ingin diperkenalkan oleh Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Pelajaran ini mempunyai ciri-ciri seperti berikut:

"Sekolah kluster mempunyai kuasa autonomi dari segi pentadbiran, kewangan, pemilihan guru dan pelajar, kurikulum, kokurikulum, pengajaran dan pembelajaran, yuran serta penglibatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), kata beliau, masih tetap di bawah bidang kuasa Kementerian Pelajaran."


LEBIH DEMOKRATIK: GURU KINI LEBIH PROFESIONAL
Lebih demokratik kerana membolehkan guru dan ibu bapa membuat keputusan pada peringkat sekolah, ia lebih relevan kerana keputusan dibuat lebih dekat dengan tempat operasinya dan ini melahirkan dasar dan tindakan lebih sesuai, ia mengurangkan birokrasi kerana keputusan dibuat lebih cepat, ia lebih bertanggungjawab kerana sekolah perlu memikul sendiri keputusannya dan ia mampu meningkatkan sumbangan kewangan daripada ibu bapa dan komuniti.

Saya berpendapat, kewujudan sekolah kluster akan memberi ruang kepada guru untuk melepaskan diri daripada kongkongan kementerian pelajaran. Kewujudan sekolah kluster juga boleh mengurangkan karenah-karenah birokrasi dan mempercepatkan perlaksanaan keputusan penting dilaksanakan di peringkat sekolah. Ini adalah sangat bagus. Dahulu ada orang kata, ada pusat tuisyen yang lebih baik daripada sekolah, sekarang kata-kata seperti ini pasti akan robek dan runtuh apabila pihak sekolah dan pendidik benar-benar memperjuangkan profesionalisme masing-masing menerusi sekolah kluster.


PRESTASI AKADEMIK PELAJAR
Sementara itu, kajian Elizabeth M King et al (2003) menyatakan bahawa walaupun belum ada bukti penyebab (causation) antara sekolah autonomi dengan peningkatan prestasi pelajar, korelasinya memang wujud. Memang wujud peningkatan prestasi pelajar apabila sekolah diberikan autonomi, manakala tidak ada sekolah autonomi mengalami kemerosotan prestasi pelajarnya.


PENGLIBATAN IBU BAPA
Dari segi penyertaan ibu bapa dan komuniti dalam sekolah autonomi pula, menurut King, ada baik buruknya. Partisipasi mereka dalam kegiatan kokurikulum mendatangkan kesan baik, tetapi partisipasi mereka dalam pengajaran dan pembelajaran hanya akan mengganggu.

Saya ambil contoh: Seorang jurulatih mengajar seorang budak bermain boling. Tiba-tiba datang seorang bapa, tanpa ilmu pengetahuan khusus dan mendalam dalam bidang kejurulatihan dan sains sukan datang campur tangan untuk mengajar anaknya bermain boling. Apa akan berlaku? Anak tersebut akan hancur jika tersalah perkataan dan tersalah didikan oleh ibu bapa. Begitu juga apabila ibu bapa mengganggu para guru dan pihak sekolah dalam bidang pengajaran dan pembelajaran.

Begitu juga, biarpun ibu bapa itu memiliki pengetahuan dalam dunia pendidikan, namun mereka tahukah silibus yang digunakan oleh para guru? Mungkin tidak sama. Oleh itu, campur tangan mereka akan merosakkan perancangan tersusun yang dibuat oleh para guru dan sekolah.

Disebabkan hal-hal sebegini, maka wajar sekali, para guru diberi keputusan penuh dalam menentukan proses pembelajaran anak murid mereka, kerana dalam hal-hal akademik, merekalah orang yang paling rapat dengan anak-anak murid mereka.


KEPERLUAN SEKOLAH KLUSTER
Menurut laporan Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) 2005, untuk memastikan kejayaan sekolah autonomi, ada sekurang-kurangnya enam keperluan yang mesti dipenuhi.

Keperluan itu ialah, pengurusan sekolah mesti mempunyai strategi memperkasa kapasiti dan kepemimpinannya, sekolah perlu mempunyai maklumat mengenai prestasinya untuk mengukur kekuatan, kelemahan dan prioritinya, sekolah memerlukan struktur terurus dan profesional, Kerajaan Pusat perlu terus memainkan peranan kritikal terutama dari segi pemantauan prestasi sekolah, sekolah perlu mengawal sumber dan pengurusan mesti telus.

Berdasarkan pengalaman itu, perkara paling penting buat masa ini ialah bagi setiap sekolah autonomi kita menggubal kerangka dan sistem governansnya.

Ketika membincangkan pelaksanaan sekolah kluster minggu lalu, kolum ini mencadangkan Model Prestasi Kluster Kecemerlangan (MPKK) dengan satu daripada komponennya ialah autonomi. Bagi pelaksanaan sekolah autonomi pula, satu kerangka perlu diwujudkan – digelar Kerangka Governans Sekolah Autonomi (KGSA).

KGSA mencakupi lima aspek, iaitu lembaga pengelola sekolah, pihak berkepentingan, pengurusan sekolah, guru dan perundingan pelajar.

Antara lima aspek itu, yang paling mustahak dari segi kepentingan, struktur dan peranannya dan ditambah dengan prioriti dalam memulakan langkah pertama sebagai sekolah autonomi, ialah penubuhan lembaga pengelola sekolah.

Penubuhan lembaga pengelola dibenarkan Akta Pendidikan 1996. Seksyen 53 hingga 63 akta ini memperuntukkan soal surat cara pengelolaan, kuasa menteri, pengurusan institusi pendidikan, pelantikan guru dan pembubaran lembaga pengelola. Jika peruntukan berkenaan tidak memadai, ia perlu ditambah baik.

Lembaga pengelola mesti dibenarkan menggubal sendiri terma rujukan yang jelas untuk dirinya dan untuk setiap satu daripada empat aspek lain itu.

Lembaga pengelola mesti diberikan kuasa membuat dasar sekolah autonomi berkenaan, asalkan ia tidak bertentangan dengan dasar Kementerian Pelajaran. Ia juga berperanan sebagai penghubung antara Kementerian Pelajaran dan sekolah.

Lembaga pengelola bertanggungjawab melantik pengetua atau guru besar, melantik guru dan kakitangan, mengambil pelajar, menentukan kurikulum dan kokurikulum, menyediakan bajet tahunan dan mencari sumber tambahan.

Lembaga pengelola dianggotai semua pihak berkepentingan, iaitu Kementerian Pelajaran, ibu bapa, alumni dan pengetua atau guru besar. Ia boleh juga melantik pihak lain seperti yayasan sekolah, swasta, profesional, akademia dan sebagainya.

Lembaga pengelola mendelegasikan kuasanya kepada pengetua atau guru besar untuk memimpin dan mengurus sekolah, manakala guru dihakupayakan (empowered) untuk tugasan pengajaran dan pembelajaran serta pendidikan dan latihan.

Akhirnya, lembaga pengelola mesti memberi peluang bersuara yang selama ini dinafikan kepada konstituen utama sekolah, iaitu pelajar.

Saya berpendapat, pelajar ialah 'pelanggan' yang sebenarnya. Bukan ibu bapa, bukan penjaga. Mereka patut diberikan suara dan dilayani secara profesional oleh para guru dan pihak sekolah.

NOTA: Entri ini turut mengandungi petikan-petikan yang bersumberkan dari Berita Harian Online dan Portal Pendidikan Utusan.