"Ikan emas sudah tidak ada. Aku kelaparan. Namun aku tidak mahu makan apa-apa. Aku berasa sayu, mengenangkan kembali ikan-ikan emas yang berenang-renang bebas di dalam akuarium itu."
Berdasarkan catatan di atas, aku memahami apa yang cuba disampaikan oleh manusia aneh ini. Dia seolah-olah berasa kesal dengan perbuatannya terhadap ikan-ikan emasnya dahulu.
"Aku rindu hendak melihat ikan-ikan emas ini berenang-renang. Mereka seolah-olah teman-teman akrab aku yang telah pergi, jauh, meninggalkan aku seorang di sini. Tidak ada lagi kegembiraan. Tidak ada lagi kedengaran suara mereka bergelak ketawa. Cuma ada, kesunyian."
Hm. Kesunyian? Aku pasti, manusia ini menderita kerana kesunyian, sehingga kesunyian itu meracuni emosi dan pemikirannya. Kerana keadaan inilah, wujudnya ramai manusia yang menyebabkan pelbagai masalah sosial kepada masyarakat. Mereka sunyi, mereka mahukan perhatian, sehingga sanggup melakukan apa sahaja untuk menarik perhatian masyarakat, kembali kepada mereka.
"Tahukah kau, cerita-cerita yang aku tulis kepada kau itu, yang telah aku kirimkan menerusi e-mel sebelum ini, adalah peristiwa yang berlalu dua bulan lepas?"
Apa? Jadi? Jadi apa yang telah berlaku kepada manusia aneh ini sekarang?
"Sejak dua bulan lalu, aku tidak pernah makan apa-apa lagi. Selain menghirup air yang pernah menjadi ruang nafas ikan-ikan emas peliharaanku. Berat badanku kini cuma... Tidak! Aku takut bercakap soal berat badan. "
Aku tidak dapat berkata apa-apa lagi. Aku terus membaca catatan e-melnya.
"Aku telah ditinggalkan kekasihku kerana berat badanku berlebihan. Aku diejek oleh orang ramai kerana berat badanku. Mereka mengutuk aku, menyalahkan aku kerana ditinggalkan kekasih, kerana kuat makan. Sekarang, oleh sebab itu, aku tidak mahu makan apa-apa lagi."
Jadi, benarlah. Manusia ini menderita sakit aneroksia nervosa. Dia pasti seorang wanita? Tiba-tiba, aku teringatkan kisah Karen Carpenter. Entri ini adalah dedikasi kepada Karen Carpenter, seorang penyanyi hebat yang meninggal dunia kerana penyakit aneroksia nervosa. Di sebelah kiri ini adalah gambar Karen Carpenter bersama abangnya, Richard Carpenter.
Dan dengarlah lagu ini, Yesterday Once More, sebuah lagu penuh nostalgia, bagi orang-orang yang memahaminya.
Tamatlah 6 siri Catatan Seorang Pesakit Aneroksia Nervosa, ditulis oleh Amiene Rev pada tahun #### di sebuah lokasi misteri di 'Hofgarten Park, Germany'.
|