BLOG DUKE AMIENE REV

Isnin, April 09, 2007

Sekolah Kluster: Menjulang Status Guru Di Tahap Profesional

Saya tertarik dengan artikel yang ditulis oleh seorang pensyarah kanan Kolej Pengurusan Bisnes dan Perakaunan Universiti Tenaga Nasional (Uniten). Sayang sekali, nama pensyarah tersebut tidak tertulis di sumber tersebut. Untuk itu, saya muatkan artikel beliau berserta dengan ulasan ringkas saya.

Artikel beliau adalah seperti berikut:

Kejayaan sekolah kluster bergantung kepada pelbagai faktor yang perlu dilihat dari pelbagai sudut signifikannya dengan perkembangan pesat dunia pendidikan, spesifik dalam pelaksanaan strategi dan secara sistematik dalam perancangan dan pengurusannya.

Kejayaan sekolah kluster bergantung kepada pelbagai faktor yang perlu dilihat dari pelbagai sudut signifikannya dengan perkembangan pesat dunia pendidikan, spesifik dalam pelaksanaan strategi dan secara sistematik dalam perancangan dan pengurusannya.

Kejayaan sekolah kluster boleh direalisasikan jika faktor berikut diberikan fokus telus dan tepat berdasarkan perkataan K L U S T E R , iaitu:


K – Kecemerlangan

Budaya bekerja memfokuskan kepada kecemerlangan mesti diterapkan dengan jelas dan jitu. Kecemerlangan bermula dengan kepemimpinan pengetua yang menjadi sumber penting kepada arah tuju kecemerlangan sekolah kluster. Kecemerlangan kepemimpinan pengetua perlu berdasarkan kepada 3K iaitu – komitmen dalam merancang kurikulum akademik dan kemahiran berteraskan kepada keperluan pasaran.

Kreativiti dalam melaksanakan kurikulum akademik dan kemahiran yang memerlukan pengetua mempraktikkan sikap kerjasama dan boleh memotivasikan guru dan kakitangan sekolah. Keyakinan diri perlu ada pada pengetua cemerlang bagi merealisasikan sekolah kluster ke arah kejayaan. Pengetua sekolah jangan sesekali bersikap negatif dan tidak yakin pada kemampuan guru, pelajar dan pihak pentadbiran sekolah dalam melaksanakan sekolah kluster.

Kejayaan sekolah kluster juga terletak kepada kecemerlangan gurunya. Seperti kenyataan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr Zulkurnain Awang, bahawa sekolah kluster utamakan pendidik terbaik. Pendidik terbaik adalah terbaik dalam pelbagai segi iaitu sikap, kelayakan, kemahiran dan pengalaman.

ULASAN AMIENE REV: Guru yang berjiwa pendidik dan memiliki kepakaran dalam bidang pendidikan, berusaha untuk meningkatkan pengetahuan dalam selok dunia pendidikan adalah orang yang layak mengisi ruang-ruang kejayaan di sekolah kluster.



L – Liabiliti

Bagi merealisasikan sekolah kluster dengan jayanya memerlukan kos dan perbelanjaan tinggi. Umpamanya daripada aspek latihan, pada peringkat pertama, pihak Kementerian Pelajaran bercadang menghantar kira-kira 30 pengetua dan guru besar kumpulan pertama ke luar negara iaitu berkemungkinan ke United Kingdom dan kemudian ditempatkan di sekolah cemerlang di England.

Selain itu, kos logistik dan buku akademik, peralatan serta perkomputeran serta pelbagai lagi memerlukan perbelanjaan tinggi. Dengan segala jenis perbelanjaan yang perlu dikeluarkan bagi menjayakan sekolah kluster ini, tidak ada sebab sekolah kluster gagal dan menjadi liabiliti kepada pihak pentadbiran sekolah dan Kementerian Pelajaran khasnya.

ULASAN AMIENE REV: Kos dan perbelanjaan haruslah berdasarkan keperluan objektif sekolah kluster itu sendiri. Faktor-faktor lain juga harus diberikan perhatian sebelum membuat dan menekan sesuatu objektif.


U – Unik

Sekolah kluster mempunyai keunikan tersendiri berbanding sekolah biasa dan sekolah berasrama. Pelaksanaan sekolah kluster ingin keluar dari kepompong kebiasaan dan menjadi sekolah unik dengan gaya tersendiri melalui pelbagai aspek seperti penumpuan kepada kemahiran murid bagi memenuhi kehendak pasaran.

Selain itu, sekolah kluster mahukan pengetua dan pendidik terbaik dan akan dihantar ke sekolah terbaik di England bagi menjalani latihan. Sekolah kluster akan melalui sistem penilaian berasaskan kemahiran dan peperiksaan. Sekolah kluster akan menjadi penanda aras kepada sekolah lain dan setanding sekolah terkemuka di negara maju. Bukankah uniknya sekolah kluster ini?

ULASAN AMIENE REV: Sekolah kluster adalah suatu pembaharuan yang saya suka. Nafas segar dan para pendidik boleh bergerak dengan lebih bebas.


S – Strategi

Apa juga pembaharuan dan perubahan yang hendak dijalankan sudah tentu akan menghadapi cabaran dan tekanan, begitu juga pelaksanaan sekolah kluster. Belumpun bermula pengumuman rasmi sekolah kluster, sudah wujud bahang tekanan dalam pelantikan jawatan pendidik cemerlang.

Kenyataan NUTP bahawa kerenah birokrasi dalam prosedur permohonan guru cemerlang menjadi punca guru kurang berminat, manakala Dr Zulkainain pula menyatakan kekurangan permohonan mengisi jawatan itu adalah kerana guru sendiri berasakan diri mereka tidak layak.

Jadi kalau dilihat kepada percanggahan kedua-dua kenyataan itu, apakah strategi jangka pendek, sederhana dan panjang yang perlu dilakukan NUTP dan Kementerian Pelajaran bagi menangani masalah ini?

ULASAN AMIENE REV: Benar, karenah birokrasi merupakan lalat yang menyakitkan hati para guru. Kewujudan sekolah kluster dijangka memotivasikan para guru untuk berjuang dengan lebih telus dan ikhlas dalam bidang pendidikan.


T – Teknik

Bagi merealisasikan kecemerlangan aspek kemahiran pelajar di sekolah kluster ini, teknik pengajaran dan pembelajaran perlu diberi perhatian serius. Guru tidak lagi boleh menggunakan teknik pengajaran – pembelajaran yang tradisional dengan hanya menumpukan kepada teknik pengajaran satu atau dua hala.

ULASAN AMIENE REV: Angkatan guru-guru generasi baru sudah diberikan pendedahan dalam teknik-teknik pengajaran dan pembelajaran yang baru, tidak ada masalah dari segi ini.



E – Efisien dan Efektif

Segala perancangan, pengurusan dan pelaksanaan sekolah kluster perlu dijalankan secara efisien dan efektif dengan mengambil kira pelbagai faktor penarik dan penolak. Persoalannya bagaimanakah pihak sekolah dan Kementerian Pelajaran dapat menterjemah strategi sekolah kluster kepada tindakan secara bersepadu?

Inilah persoalan utama yang perlukan langkah pelaksanaan efisien dan efektif. Pelaksana sekolah kluster perlu membuat senarai kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman dalam usaha untuk merealisasikan sekolah kluster. Dengan cara ini, pihak pentadbir sekolah dan Kementerian Pelajaran akan dapat menjadikan sekolah kluster sebagai sekolah contoh dalam aspek kecemerlangan pendidikan dan kemahiran.

ULASAN AMIENE REV: Sepakat membawa berkat. Semua ahli organisasi di sesebuah sekolah kluster harus bersatu hati dalam mencapai matlamat. Kini, pihak sekolah harus berasa lega kerana mereka sudah diberikan kebebasan dalam mengatur sendiri hala tuju sekolah masing-masing.


R – Reputasi

Kejayaan sekolah kluster sebagai sekolah cemerlang dari aspek kepemimpinan pengetua, guru terbaik dan murid yang berteraskan kepada kemahiran akan menjadi simbol reputasi unggul kepada sistem pendidikan negara.

Untuk merealisasikan kecemerlangan KSC ini, reputasi kecemerlangan itu perlu dibentuk secara menyeluruh iaitu sistem pentadbiran dan persekolahan, struktur organisasi yang tiada kerenah birokrasi.

Selain itu, budaya kerja cemerlang perlu ada seperti membina keterampilan diri dan sikap berdaya saing di kalangan guru cemerlang, strategi dalam pelaksanaannya, kepemimpinan pengetua, kerjasama dengan ibu bapa dan masyarakat serta sokongan secara fizikal dan mental pihak Kementerian Pelajaran kepada semua sekolah yang terpilih dalam program sekolah kluster ini.

ULASAN AMIENE REV: Sememangnya tahap profesional para guru dan pengetua diuji apabila sekolah kluster ini diperkenalkan. Kepada para guru, selamat, memasuki dunia perguruan yang lebih profesional dan dinamik.

Ulasan dan tajuk entri mengenai sekolah kluster ini dibuat oleh Amiene Rev manakala sumbernya adalah seperti dinyatakan di bawah.


SUMBER: http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Thursday/Rencana/20070404222958/Article/