BLOG DUKE AMIENE REV

Sabtu, Oktober 16, 2010

Resepi Singgang Ikan Tongkol atau Ikan Kembung

Resepi Singgang Ikan Tongkol atau Ikan Kembung atau Ikan Selar Kuning
Cara Masakan Singgang Kelantan
Oleh Amien Rev

Mana-mana resepi singgang akan menggunakan lengkuas sebagai bahan utamanya. Bezanya, untuk singgang daging, kita akan masukkan ketumbar, manakala untuk singgang ikan, kita tidak letak ketumbar. Bahan-bahan lain untuk masakan singgang adalah seperti berikut:

Bahan Masakan Asas
  1. Air 4 cawan
  2. Lengkuas (bahan utama dalam masakan singgang)
  3. Asam keping (salah satu bahan utama dalam masakan singgang)
  4. Bawang putih 3 ulas(dipotong halus)
  5. Garam secukup rasa
  6. Gula sesudu
  7. 4 biji lada kecil atau 2 biji lada hijau besar
Bahan Masakan Tambahan
  1. Bawang merah 2 ulas dipotong halus (Merupakan bahan masakan pilihan. Tidak mahu letak pun tidak mengapa)
  2. Bendi (Bendi merupakan bahan masakan pilihan. Tidak mahu letak pun tidak mengapa)
  3. Serbuk kunyit (Kunyit merupakan bahan masakan pilihan. Tidak mahu letak pun tidak mengapa)
  4. Ikan tongkol (ikan aya) atau ikan kembung atau ikan selar kuning.
Cara-cara memasak
Cara-cara memasak singgang ikan tongkol atau ikan kembung atau ikan selar kuning adalah seperti berikut:
  • Masukkan bahan asas ke dalam periuk kecuali garam, gula dan lada.
  • Masukkan bawang merah sekiranya mahu.
  • Masak sehingga mendidih.
  • Setelah air mendidih, barulah masukkan ikan, lada dan bahan-bahan tambahan yang lain.

PETUA AMIENE REV: Kebiasaannya, jika menu ikan kembung atau ikan selar kuning digunakan, kuah ikan singgang ikan kembung akan lebih disukai dan habis dahulu berbanding ikannya. Untuk itu, sekiranya anda memasak singgang ikan kembung, pastikan anda menyediakan air dengan banyak dan gandakan sukatan bahan-bahan asas.

Semua jenis singgang sangat sedap dimakan dengan nasi putih. Nasi putih dicampur dengan kuah ikan singgang sahaja sudah sangat-sangat menyelerakan! Betapa sedapnya menu masakan ikan singgang ini.

Berbeza pula dengan singgang ikan tongkol, isi ikan tongkol selalunya menjadi pilihan. Rasa daging ikan tongkol yang masam masin sangat sedap dengan perisa asam keping dan lengkuasnya. Ada orang yang lebih suka isi ikan tongkol yang berwarna hitam kerana rasanya yang luar biasa sedap.