BLOG DUKE AMIENE REV

Sabtu, Oktober 31, 2009

Michael Jackson This is It Movie Review - Ulasan Filem

Ulasan Filem: This is It - Michael Jackson
Pengulas Filem: Amiene Rev (C) 2009

Filem This Is It - Michael Jackson adalah sebuah filem kenangan, khusus untuk simpanan Michael Jackson. Tidak boleh dianggap sebagai satu filem dokumentari, filem This Is It ini adalah sebuah kisah realiti. Tidak berkisar terhadap hal-hal peribadi Michael Jackson tetapi lebih kepada usaha Michael untuk menghasilkan konsert terakhirnya - This Is It untuk peminat-peminatnya. Filem arahan Kenny Ortega ini digubah dengan baik, memuatkan susunan latihan Michael Jackson untuk konsert terakhirnya - This Is It.

Menerusi filem This Is It, saya selaku penonton dapat merasai kasih sayang Michael Jackson terhadap para peminatnya. Kesungguhan Michael Jackson bekerja dan berlatih untuk menghiburkan para peminatnya memang menyentuh hati. Tidak hairanlah jika ramai penonton menepuk tangan selepas tamat tayangan filem ini di panggung wayang.

Filem Michael Jackson tiba-tiba mendatangkan rasa hiba di hati saya. Saya tidak tahu kenapa, tetapi mungkin perkataan inspirasi dapat menjelaskan sesuatu. Bayangkan betapa ramai peminat Michael Jackson, yang membesar dengan lagu-lagu Michael Jackson datang untuk uji bakat, kemudian terpilih untuk berlatih bersama Michael Jackson, dan kemudiannya berlaku satu tragedi yang menyebabkan kematian Michael Jackson. Impian untuk beraksi di konsert dan mendampingi ikon mereka musnah begitu sahaja.

Michael Jackson melalui zaman derita yang cukup panjang hingga menjejaskan kariernya. Namun, semangat dan kesungguhan Michael Jackson sebagai penghibur tidak pernah luntur biarpun usianya sudah mencecah separuh abad. Apa yang menyebabkan saya rasa terharu dan hiba ialah menyaksikan betapa unggulnya Michael Jackson sebagai penghibur, dan kesungguhan para pekerja dan staf untuk konsert Michael Jackson bekerjasama dengan Michael untuk latihan persembahan konsert ini.

Kemahiran, bakat dan daya kepimpinan Michael Jackson terserlah dengan jelas. Sifat rendah diri Michael Jackson, dan pada masa yang sama memberi peluang kepada bakat-bakat muda untuk menyinar dapat dilihat di dalam filem kenangan Michael Jackson ini. "This is your time to shine."

Apa pun, aksi-aksi terakhir Michael Jackson menerusi latihan konsert memang sangat menarik. Boleh dikatakan semua pekerja yang bersama-sama menjayakan latihan konsert sepanjang beberapa bulan itu menunjukkan rasa gembira, teruja dan puas hati dengan persembahan Michael Jackson biarpun sekadar latihan. Michael Jackson tampil dengan penuh disiplin, komitmen, jiwa seni dan bakat yang terserlah gemilang. Menyaksikan filem ini di panggung, memberi satu kekeliruan terhadap diri saya, adakah Michael Jackson masih hidup, atau betul-betul telah meninggal dunia.

Saya sekadar faham, bahawa aura jiwa seni dan semangat penghibur yang ada dalam diri Michael Jackson, masih hidup dalam diri para peminatnya. Betapa kuatnya semangat ini. Inspirasi. Tragedi. Semuanya mengenai semangat seorang penghibur.