BLOG DUKE AMIENE REV

Isnin, Oktober 19, 2009

Ulasan Filem Pandorum - Filem Fiksyen Sains Angkasa Lepas - Anggaran 97% Mencemaskan, 2% Kelakar, 1% Lega

Ulasan Filem Pandorum - Filem Aksi Dalam Kapal Angkasa Lepas
Pengulas Filem: Amiene Rev (C) 2009

"Jangan peluk tunang anda jika anda membawanya menonton filem ini. Ingat Tuhan, ingat hari kiamat. Filem ini menimbulkan rasa cemas yang berpanjangan sebelum berakhir dengan kesudahan yang boleh menyebabkan sesetengah penonton bertepuk tangan kerana berjaya diusik dan ditakut-takutkan. Suasana gelap di dalam koridor, manusia mutasi pemburu manusia, manusia yang tidak bersalah, belas kasihan terhadap anak manusia mutasi yang mirip toyol dan kemunculan lelaki psiko menyebabkan filem Pandorum menjadi lebih seram dan mencemaskan berbanding filem-filem Alien." - Amiene Rev


Poster-Poster Filem Pandorum

Suatu ketika dahulu, siri filem Alien menarik jiwa saya. Suasana di dalam koridor angkasa lepas yang menakutkan. Selepas itu, tidak ada filem seram berlatarkan kapal angkasa lepas yang melekat di dalam fikiran saya. Filem Alien Versus Predator yang melibatkan monumen lama juga tidak seseram filem Alien. Kini, ada sebuah filem yang saya rasa mampu mengatasi tahap keseraman filem Alien. Filem tersebut ialah filem Pandorum. Filem Pandorum dilabelkan PG13. Namun ada sesetengah babaknya kelihatan ganas, seperti menonton filem Lord of The Ring. Bagi penggemar babak bogel di dalam filem, harap maaf, filem ini tidak ada babak perempuan bogel, melainkan manusia-manusia mutasi bogel yang bertindih-tindih tidur di sekitar reaktor nuklear. Jika ada pun, cuma watak manusia separa bogel sahaja.

Sinopsis Filem Pandorum
Dua orang angkasawan telah melalui 'hypersleep' iaitu keadaan di mana seseorang itu tidur secara melampau lama, telah tersedar selepas kira-kira 8 tahun. Angkasawan itu ialah Bower, lakonan Ben Foster dan Payton, lakonan Dennis Quaid.

Bower tersedar dahulu, sebelum Payton. Mereka mendapati kapal angkasa itu telah kosong, dan kebanyakan penghuninya telah mati. Penghuni yang masih hidup pula ada yang hidup dalam ketakutan dan saling tidak mempercayai antara satu sama lain, lantaran diracuni perasaan takut yang melampau. Bagi mereka, untuk hidup tidak boleh percaya kepada sesiapa pun kecuali diri sendiri. Sesiapa yang baik hati, biasanya akan mati awal, namun apa yang saya suka tentang filem Pandorum ialah, jalan ceritanya membuktikan bahawa prinsip hidup seperti itu salah dan membawa padah pada akhirnya. Yang baik akan terus hidup dan membuka ruang kepada kehidupan yang baru di Planet Tanis.

Kapal angkasa Elysium ialah sebuah kapal penumpang yang mempunyai sistem hibernasi untuk manusia atau hypersleep, yang membawa enam puluh ribu manusia yang terdiri daripada pelbagai golongan cerdik pandai dan spesimen-spesimen makhluk bumi untuk memulakan hidup baru di sebuah planet baru yang dipanggil Tanis.

Dalam perjalanan yang memakan masa bertahun-tahun itu, satu tragedi telah berlaku, di mana seorang petugas atau kru kapal ketika itu sedang diamanahkan menjaga kapal angkasa (mengikut shif), telah menerima satu berita buruk yang menyedihkan daripada penduduk bumi, menyebabkan dia diserang sindrom Pandorum. Sindrom ini menyebabkan dia hilang harapan, rasa bebas dan mula menganggap dirinya sebagai tuhan manusia, dan bertindak mengikut nafsu kebinatangannya untuk memangsai kru-kru kapal yang sedang dalam keadaan tidur terlampau.

Sementara itu, sekumpulan manusia yang lain pula telah tersedar dari lena, dan berevolusi menjadi makhluk yang ketagih daging manusia. Hal ini berpunca daripada mutasi kerana kesan ubat-ubatan yang diambil beberapa tahun sebelumnya. Mereka bukan lagi manusia, tetapi adalah satu bentuk makhluk yang baru. Makhluk-makhluk ini akan menunggu mana-mana manusia yang tersedar dari hypersleep, dan tanpa belas kasihan terus membaham, menikam dan memakan daging manusia tersebut dengan gelojoh. Lebih teruk, apabila makhluk-makhluk ini beranak-pinak dan bilangan mereka semakin bertambah di dalam kapal angkasa penumpang Elysium.

Bower dan Payton yang pada mulanya hilang ingatan, secara perlahan-lahan mengingati semula misi mereka. Elysium ialah kapal penumpang yang memindahkan umat manusia ke dunia baru, iaitu Tanis. Bumi telah mengalami satu keadaan yang amat menyedihkan dan menimbulkan sejenis penyakit mental yang dipanggil sindrom Pandorum, yang menyebabkan penghidapnya menjadi gila dan melakukan sesuatu yang tidak masuk akal dan zalim. Sindorm Pandorum telah menyebabkan kematian beribu-ribu manusia yang sedang tidur terlampau di dalam kapal angkasa penumpang tersebut.

Adakah kapal Elysium akan selamat sampai ke Tanis atau gagal? Apakah yang sudah berlaku di bumi? Masih wujudkah bumi? Kenapa manusia perlu berpindah ke Tanis? Semasa keseorangan di salah sebuah bilik di dalam kapal angkasa Elysium, Payton telah menemui seorang lelaki lain bogel, dipenuhi dengan darah, menangis dan meminta dikasihani. Siapakah lelaki tersebut dan apakah kaitannya dengan Payton? Siapakah Payton yang sebenarnya?

Ulasan Filem Pandorum
Filem Pandorum nyata cuba mewujudkan perasaan cemas, panik dan takut di kalangan penonton secara berpanjangan dari mula hingga ke akhir cerita, sebelum mengalami satu kesudahan yang melegakan. Kemunculan Gallo menambahkan lagi kebimbangan penonton terhadap peratus peluang kejayaan Bower menyempurnakan misi perpindahan manusia ke Tanis.

Kemunculan watak seorang lelaki Asia bernama Manh, lakonan Cung Le, yang bercakap dalam bahasa yang pelik (mungkin bahasa dari negara Vietnam) tetapi masih boleh memahami percakapan Bower merupakan satu-satunya babak yang berjaya meredakan perasaan cemas di kalangan penonton. Perasaannya seperti menonton filem God Must Be Crazy yang melibatkan seorang asli dari padang pasir Afrika. Seorang lelaki bercakap dalam bahasa Inggeris dan seorang lagi menggunakan bahasa asing. Dua orang yang tidak memahami bahasa masing-masing tetapi mampu menyerap maksud menerusi apa yang dipanggil sebagai rasa saling mempercayai antara satu sama lain.

Watak-watak makhluk pemburu manusia di dalam cerita ini sekali imbas mengingatkan saya kepada bangsa Uruk-Hai dalam filem Lord Of The Ring. Bezanya, watak-watak tersebut berkulit putih pucat. Mereka menggunakan senjata-senjata yang diperbuat daripada besi, yang diasah tajam. Pergerakan makhluk-makhluk ganas ini diiringi dengan audio yang sesuai. Kesan audio meningkatkan lagi kadar keseraman filem ini.

Kemunculan watak Nadia, seorang saintis wanita yang menjadi liar kerana trauma terhadap keganasan yang berlaku di dalam kapal angkasa Elysium, lakonan Antje Traue memberi harapan baru terhadap cerita ini. Pada mulanya saya menganggap Bower dan Nadia akan menjadi Adam dan Hawa di planet Tanis, tetapi pada akhirnya tidak. Jangan kecewa dahulu, tontonlah filem ini dan kejutan pasti berlaku.

Detik-detik menggembirakan di dalam filem ini dipaparkan pada kadar masa yang sangat singkat. Namun, mesej dan kesudahan filem ini boleh dianggap sudah tercapai. Saya tidak pasti sekiranya ada sekuel untuk Pandorum, dan bagaimana agaknya penulis skrip filem Pandorum mahu melakukan 'twist' dalam filem sambungannya supaya mampu menjadi lebih mencemaskan, atau sekadar menghampiri tahap filem Planet of The Apes atau filem-filem lain yang biasanya menggambarkan kesusahan memulakan tamadun baru di planet baru.

Apa pun, hampir 97% jalan cerita filem Pandorum dilukiskan dengan pelbagai babak yang menyeramkan. Aksi berdarah boleh dilihat dalam beberapa babak di dalam filem ini, dan tahap keganasannya adalah hampir sama dengan filem Lord Of The Ring.

Namun ada satu dua babak yang mungkin akan menjadi babak yang paling diingati oleh kanak-kanak di dalam filem ini, iaitu babak di mana Bower, Nadia dan Manh sama-sama membelasah seekor makhluk mutasi sehingga mati, menimbulkan gelak ketawa di kalangan penonton. Barangkali kerana kesuntukan babak kelakar di dalam filem ini, menyebabkan itulah salah satu daripada dua babak yang melucukan di dalam filem ini, atau satu babak yang mampu meredakan rasa cemas di kalangan penonton. Melihatkan gelak ketawa kanak-kanak semasa menyaksikan aksi ganas manusia seperti itu, mencetuskan rasa tidak senang hati dan bimbang sekiranya babak tersebut menjadi ikutan.

Manakala babak di mana seorang lelaki yang baru tersedar dari hypersleep lalu dibaham oleh makhluk mutasi, dan Bower berasa amat kecewa kerana dihalang oleh dua Nadia dan Manh daripada cuba menyelamatkan lelaki tersebut menimbulkan perasaan yang sungguh mengharukan. Baru sahaja bangkit dari hypersleep, dengan keadaan hilang ingatan, seperti bayi yang baru lahir, dan dibunuh dengan kejam. Babak yang amat zalim seperti ini meninggalkan kesan yang berjaya menakutkan hati para penonton.

Kesimpulannya, filem Pandorum merupakan sebuah filem aksi yang padat dengan babak yang seram lagi mencemaskan. Penonton akan terpaku untuk menunggu apa yang akan berlaku seterusnya. Filem Pandorum yang memakan belanja sekitar 40 juta dolar Amerika ini berjaya melakukan kebanyakan muslihatnya untuk memberi kejutan terhadap para penonton. Apa yang penting dalam filem ini, niat yang baik dibalas dengan kejayaan, walaupun terdapat banyak kematian dan pengorbanan sebelumnya.