BLOG DUKE AMIENE REV

Ahad, Oktober 25, 2009

Ulasan Filem - Cloudy With A Chance Of Meatballs - Lagu Tema Yang Menarik

Cloudy With A Chance Of Meatballs
Genre: Animasi 3D, Keluarga
Ulasan Filem Oleh Amiene Rev (C) 2009

"Filem ini memberitahu saya, jika kita mahukan sesuatu, jangan pedulikan apa orang kata tentang kebolehan kita. Kita kejar sampai dapat dan tanggung sendiri risikonya. Runut bunyinya pula menjelaskan tentang potensi diri yang bangkit dari kegelapan rasa rendah diri. Juga tentang perasaan menjadi seorang bapa kepada seorang anak lelaki." - Amiene Rev

Filem animasi 3D "Cloudy With A Chance of Meatballs" mendapat sentuhan runut bunyi oleh Mark Mothersbaugh, yang amat terkenal di Amerika Syarikat. Soundtrack yang dihasilkan oleh Mark Mothersbaugh untuk filem Cloudy With A Chance of Meatballs barangkali merupakan unsur motivasi dan inspirasi yang terkuat dalam filem ini.

Sinopsis Filem Cloudy With A Chance of Meatballs
Filem ini mengisahkan seorang budak lelaki yang tinggal di Swallow Falls, bernama Flint Lockwood yang bercita-cita untuk menjadi seorang saintis yang mampu menghasilkan ciptaan-ciptaan hebat. Namun begitu, ciptaan Flint Lockwood sering menjadi bahan tertawa dan kadangkala menimbulkan masalah yang pelbagai kepada masyarakat setempat.

Ciptaan pertama Flint Lockwood ialah Spray-On Shoes, iaitu kasut yang akan terhasil dengan sendirinya apabila kaki disembur menggunakan penyembur cat. Namun, masalahnya, selepas disembur, kasut itu tidak akan dapat ditanggalkan buat selama-lamanya. Flint Lockwood membesar dengan kasut tersebut seumur hidupnya.

Flint Lockwood juga menderita dan merasa rendah diri dengan potensi dirinya. Namun begitu, ibu Flint Lockwood, iaitu Frant Lockwood sentiasa percaya dengan kebolehan anaknya. Apabila Flint Lockwood telah dewasa, ibunya meninggal dunia. Maka, tinggallah Flint Lockwood dengan monyetnya Steve, dan bapanya, Tim Lockwood.

Suatu ketika, pasaran sardin dunia merudum. Tidak ada orang lagi yang mahukan sardin. Maka penduduk di Pulau Swallow Falls terpaksa menghabiskan hidup mereka dengan memakan sardin. Masa depan penduduk di Pulau Swallow Falls semakin gelap.

Hal ini menyebabkan Flint Lockwood mencipta sejenis mesin yang dipanggil Flint Lockwood Diatonic Super Mutating Dynamic Food Replicator atau nama singkatannya ialah FLDSMDFR yang sangat susah disebut dengan lidah. Mesin Flint Lockwood Diatonic Super Mutating Dynamic Food Replicator atau FLDSMDFR ini mampu menukarkan air kepada makanan.

Boleh dikatakan mesin Flint Lockwood Diatonic Super Mutating Dynamic Food Replicator (FLDSMDFR) ini merupakan satu-satunya ciptaan Flint Lockwood yang berjaya mendapat sambutan ramai. Sejak itu Flint Lockwood mula menggantikan kedudukan Baby Brent (yang telah dewasa kini) dan menjadi selebriti baru di Shallow Falls.

Mayor Shelbourne pula tertarik dengan kehebatan mesin FLDSMDFR itu dan bercadang untuk menggunakannya bagi mempopularkan semula Shallow Falls. Dengan adanya Sam Sparks (Anna Faris), gadis pemberita cuaca, dan Manny (jurukamera), Shallow Falls menjadi destinasi pelancongan popular. Nama Pulau Shallow Falls ditukar kepada Chewandswallow.

Kegembiraan Flint Lockwood tidak lama. Mutasi telah berlaku terhadap makanan yang dihasilkan. Bukan sekadar lebih besar, malah makanan-makanan itu mula memiliki emosi dan pemikiran. Bencana makanan mula timbul. Puting beliung spagetti, hujan bebola daging dan banyak lagi bencana alam yang berpunca dari mesin FLDSMDFR telah menyerang Pulau Chewandswallow.

Lebih teruk apabila bencana alam itu mula merebak ke seluruh dunia. Maka, Flint Lockwood, Sam Sparks, Steve, Baby Brent dan seorang misteri memulakan misi untuk menghalang mesin FLDSMDFR dari terus menghasilkan mutant makanan. Namun tugas itu menjadi sukar apabila mesin FLDSMDFR telah dilindungi dengan ketat oleh pelbagai jenis makanan yang hidup seperti hulubalang ayam panggang, gummy bears dan pizza terbang.

Pada akhir cerita ini, akan didedahkan mengenai perasaan seorang bapa terhadap anak lelakinya. Tim Lockwood yang suka menggunakan metafora memancing, berkias kata, didapati sukar untuk menerangkan perasaan dirinya terhadap anak lelakinya. Namun Sam Sparks menggunakan mesin pembaca fikiran monyet yang dipakai oleh Steve, lalu memasangnya kepada Tim Lockwood. Maka terluahlah segala harapan sebenar seorang bapa terhadap anaknya, Flint Lockwood.

Ulasan Amiene Rev terhadap Filem Cloudy With A Chance Of Meatballs
Filem ini mempunyai mesej yang suci, tentang cita-cita seorang budak lelaki untuk menjadi seorang saintis terbilang. Namun apa yang mengharukan ialah penderitaan dan cabaran budak lelaki tersebut dalam usahanya untuk mencapai cita-cita itu. Flint Lockwood kelihatan seolah-olah tidak siuman di mata penduduk pulau Shallow Falls dan sering dijadikan bahan jenaka.

Bertemankan monyetnya, Flint Lockwood teruk berusaha untuk mencapai cita-citanya. Di sini, semangat Flint Lockwood dipaparkan menerusi babak-babak, dialog ringkas dan runut bunyi yang menarik dan bersemangat. Saya memuji runut bunyi "Introducing Flint" yang saya anggap paling memberi inspirasi dan motivasi untuk menonton filem ini.

Runut bunyi filem Cloudy With A Chance Of Meatballs seolah-olah memberitahu saya mengenai kesedihan, rasa terharu, ketabahan, semangat dan keazaman yang kuat yang dimiliki oleh Flint Lockwood. Runut bunyi yang hebat dan memberi inspirasi.

Jalan cerita Cloud With A Chance Of Meatballs pula sering diselitkan dengan lawak yang kelakar ala-ala filem Stephen Chow. Penonton sering bergelak ketawa apabila menonton filem ini.

Kesimpulannya, filem Cloud With A Chance Of Meatballs sarat dengan komedi dan pada masa yang sama tersirat emosi kasih sayang dan keazaman mencapai cita-cita, selain diiringi dengan runut bunyi yang hebat. Filem ini diterbitkan oleh Sony Pictures dan diedarkan oleh Columbia Pictures. Saksikan Trailer filem Cloud With A Chance Of Meatballs di bawah: