BLOG DUKE AMIENE REV

Sabtu, Oktober 03, 2009

Ulasan Filem The Ugly Truth - Filem Komedi Lucah Yang Bertemakan Cinta dan Nafsu Syahwat

Ulasan Filem / Movie Review - The Ugly Truth
A Malaysian Perspective About The Ugly Truth Movie
Pengulas Filem: Amiene Rev (C) 2009



Sinopsis Ringkas dan Ulasan Filem The Ugly Truth
Filem yang terlalu banyak kisah berkaitan nafsu syahwat yang terlampau ini mengisahkan hubungan Katherine Heigl yang memegang watak sebagai Abby Richter dengan Mike Chadway, lakonan Gerard Butler. Mike Chadway, seorang yang bermulut pedas, mengutuk teori-teori dan buku-buku panduan psikologi berkenaan hubungan cinta antara lelaki dan perempuan. Menurut Mike Chadway, pada dasarnya lelaki hanya menyukai wanita kerana tarikan seks. Cinta pandang pertama seorang lelaki terhadap wanita dipengaruhi oleh satu perkara sahaja iaitu kecantikan fizikal seseorang wanita.

Pada permulaan cerita ini, Mike Chadway dan Abby Richter sering berperang mulut kerana idealogi yang berbeza, dan juga kerana rasa tidak puas hati Abby terhadap kepedasan mulut Mike Chadway. Abby Richter seorang penerbit rancangan televisyen, manakala Mike Chadway ialah seorang personaliti rancangan televisyen yang amat popular dan mempunyai pengaruh yang amat luar biasa dalam menaikkan 'rating' satu-satu rancangan televisyen. Mike Chadway mengendalikan rancangan The Ugly Truth.

Pada akhir cerita, seperti yang mampu diduga berdasarkan skrip percintaan filem Barat yang klise, walau betapa ego pun Mike Chadway, pasti, dia akan jatuh cinta kepada Abby.

Dalam cerita ini, hubungan Abby dan Mike bertambah baik apabila Mike berjaya membantu Abby memikat Colin (lakonan Eric Winter). Pertemuan Colin dengan Abby berlaku dalam keadaan yang amat lucah. Ketika Abby cuba menyelamatkan kucingnya yang berada di atas pokok, Abby, yang ketika itu berada di atas pokok ternampak Colin yang separuh bogel, dengan hanya memakai kain tuala sedang membersihkan diri di rumahnya. Tertarik dengan bentuk tubuh Colin yang gagah dan seksi, Abby terus berada di atas pokok tersebut sambil memerhatikan Colin. Tuhan pasti berasa marah dengan perbuatan Abby, lalu dengan takdir Tuhan, maka dahan tempat Abby melabuhkan punggung telah patah dan Abby terjatuh dalam keadaan kaki d atas dan kepala di bawah?

Adakah Abby akan patah tengkuk? Tidak. Kain baju yang dipakai oleh Abby telah tersangkut pada dahan yang patah dan menyebabkan Abby berada di dalam keadaan yang amat memalukan apabila dia terpaksa meminta tolong dan pada masa yang sama kain bajunya terselak hingga ke paras pusat, dan menampakkan seluar dalam wanitanya yang jarang dan berbunga-bunga. Abby menjerit-jerit minta tolong, lalu didengari oleh Colin.

Colin bergegas mendapatkan Abby dan menyelamatkan Abby. Semasa menurunkan Abby, secara tidak sengaja kain tuala yang dipakai oleh Colin tertanggal sehingga menampakkan bahagian kemaluannya. Sekurang-kurangnya filem The Ugly Truth tidak sepanas filem Watchmen yang memaparkan Doctor Manhattan yang berbogel hingga menampakkan zakar birunya dengan jelas pada kebanyakan babak dalam filem Watchmen.

Antara babak-babak lain yang panas dalam filem ini sudah semestinya dialog-dialog lucah yang terang lagi nyata, yang menjelaskan perlakuan seks normal dan di luar tabii yang disampaikan secara kelakar. Nampaknya sudah jelas, filem Barat menganggap percintaan itu adalah seks, dan seks itu adalah salah satu perkara kelakar.

Antara babak yang agak keterlaluan di dalam filem ini adalah kisah di mana Abby mencuba seluar dalam yang mempunyai alat aneh yang mampu memberi kepuasan seks kepada wanita. Seluar dalam yang boleh bergetar itu dipakejkan dengan alat kawalan jauh. Disebabkan oleh hal yang tidak dapat dielakkan, Abby terpakai seluar tersebut sehingga ke jamuan makan malam bersama Colin, Mike Chadway dan beberapa orang atasannya.

Alat kawalan jauh untuk seluar dalam yang aneh itu telah terjatuh dan ditemui oleh seorang budak lelaki. Semangat inkuiri yang dimiliki oleh budak lelaki itu telah mencetus rasa ingin mencuba, di mana budak lelaki itu menekan suis alat kawalan berbeza itu dan menyebabkan Abby menunjukkan reaksi kepuasan seks yang melampau di depan para hadirin, di meja makannya sambil memberi komen positif terhadap kewujudan Mike Chadway dalam rancangan The Ugly Truth yang secara langsung memberi keuntungan besar kepada pihak stesen televisyen tempat Abby bekerja.

Lain-lain babak lucah terlampau di dalam filem The Ugly Truth yang amat nyata ialah semasa Mike Chadway berpakaian ala-ala monyet sambil mengaitkan persamaan antara cara manusia melakukan seks dengan cara monyet melakukan hubungan seks. Secara jelas lagi terang, para penonton di pawagam dapat melihat aksi hubungan seks monyet chimpanzi secara missionary position dan pasti, ini melanggar budaya orang Asia. Nampaknya, inilah barangkali yang disebut sebagai lawak orang dewasa.

Filem The Ugly Truth juga turut mendedahkan rahsia lelaki yang perlu diketahui wanita dalam usaha memenangi hati lelaki. Dalam filem The Ugly Truth, Abby menjadi bukan dirinya, demi memenangi hati Colin. Namun selepas bercumbu-cumbuan di dalam lif, di sebuah hotel dengan Mike Chadway, ketika itulah Abby mengetahui bahawa lelaki yang dicintainya sebenarnya ialah Mike Chadway dan bukannya Colin.

Lalu berlakulah babak-babak terakhir yang seperti biasa dilihat dalam filem Barat, iaitu babak-babak filem yang melibatkan dialog-dialog berunsur debat dan konfik antara dua watak utama, iaitu hero dan heroin sehingga akhirnya kedua-duanya mencapai kesefahaman yang dicetuskan oleh nafsu seks dan melakukan ciuman penamat filem tanpa menghiraukan pak cik tua yang turut berada di atas belon terbang.

Secara kesimpulannya, The Ugly Truth adalah cerita yang kelakar dan menarik bagi orang-orang dewasa yang sukakan budaya Barat, dan pada masa yang sama tidak sesuai dengan budaya ketimuran. Filem The Ugly Truth mendedahkan kepahitan sebenar tentang orang Barat mengenai cinta. Orang Barat menganggap cinta dan seks sebagai satu perkara yang sama. Tanpa seks, tiadalah cinta, tanpa cinta, seks tidak mustahil. Inilah Barat. Cinta adalah nafsu syahwat, adakah semua budaya bersetuju dengan prinsip ini? Saya mendapati gelak ketawa di panggung wayang, bagi setiap babak lucah yang disampaikan secara kelakar di dalam filem 18 SX ini.

Bagi pembaca yang tidak suka babak-babak lucah atau mudah terangsang secara seksual, mudah naik nafsu seks dan seumpamanya, anda diminta tidak menonton filem ini kerana filem ini merupakan satu gangguan seksual untuk anda, dan mungkin akan menyebabkan anda berasa trauma untuk pergi ke panggung wayang selepas ini. Jika anda masih mahu melihat filem komedi romantis yang lucah ini, anda digalakkan untuk menyiapkan diri anda dengan pelbagai isu dan masalah yang boleh anda gunakan untuk mengalih perhatian anda dengan berfikir perkara-perkara lain apabila tiba babak-babak lucah di dalam filem tersebut. Dengan cara ini, anda tidak perlu menumpukan perhatian terhadap babak lucah dan lawak biadab orang Barat di dalam filem ini. Filem The Ugly Truth merupakan satu filem yang mencetuskan kebimbangan terhadap rakyat Malaysia yang mendokong penuh budaya ketimuran yang penuh kesopanan dan adab. Trauma terhadap filem komedi romantis Barat.