BLOG DUKE AMIENE REV

Isnin, Oktober 05, 2009

Radix Fried Chicken RFC - KFC versi Muslim - Milik Bumiputera Islam

Suatu ketika dahulu, saya sangat suka makan ayam goreng Kentucky Fried Chicken atau KFC. Namun resepi baru KFC yang terkini, tidak sesuai dengan lidah saya. Saya merindui resepi lama KFC, yang berbau tepung gandum, dengan rasa yang lebih original, sekitar tahun 1990-an dahulu. Ketika itu, ayam goreng Kentucky dihidangkan dengan sos, pisau dan garfu. Rasa lada hitam dan tepung gandumnya memang enak.

Radix Fried Chicken
www.radixfriedchicken.com.my

Dahulu saya lebih suka Kentucky Fried Chicken berbanding ayam goreng Marry Brown. Namun sekitar tahun 2009, saya mendapati ayam goreng Marry Brown jauh lebih berpotensi untuk membuka selera saya. Saya jarang dapat menghabiskan ayam KFC, tetapi saya seolah-olah ketagih untuk menikmati ayam Marry Brown sepanjang masa. Boleh dikatakan dalam satu bulan, saya mungkin akan mengunjungi restoran ayam goreng Marry Brown sekitar 3 kali atau lebih. Coleslaw Marry Brown juga lebih memikat selera saya, selain ketulan roti berserbuk keju yang hangat.

Kini saya tiba-tiba mengidam ayam goreng Radix. Radix Fried Chicken atau Ayam Goreng Radix sentiasa menjelma dalam imaginasi makanan kegemaran saya. Saya cuba membandingkan ayam goreng Radix dengan Marry Brown. Bagaimana rasanya? Adakah lebih baik daripada Kentucky Fried Chicken dan Marry Brown? Atau unik? Atau ada resepi rahsia yang unik.

Jika dahulu saya terkenal sebagai pencuri resepi. Apa-apa yang saya makan, dengan mudahnya saya mengilhamkan resepi untuk makanan tersebut. Saya juga memiliki resepi yang saya rasa amat mirip dengan resepi Ayam Goreng KFC. Juga resepi-resepi rahsia daripada beberapa restoran popular yang lain yang pernah saya rasai. Resepi ini cuma boleh dinikmati dan pernah dinikmati oleh orang-orang terdekat dengan saya. Sebab saya risau apa kata restoran-restoran ini nanti jika saya dengan mudahnya menyebarkan resepi-resepi rahsia yang saya 'curi' menerusi deria rasa saya. Kini, sudah lama saya tidak memasak.

Saya teringin untuk merasai ayam goreng Radix. Saya berharap Radix Fried Chicken akan cepat-cepat membuka cawangannya di seluruh Malaysia, khususnya di Pantai Timur, Di Selatan dan di Pantai Barat. Saya mungkin akan menjadi 'regular customer' untuk Radix Fried Chicken, disebabkan restoran ayam goreng yang halal, tentu lebih membuka selera. Lebih-lebih lagi, saya tahu, ini restoran yang mempunyai hubungan rapat dengan HPA

Latar belakang Radix Fried Chicken
Radix Fried Chicken Sdn Bhd (RFC) memulakan operasinya pada 1hb Jun 2008 di Lagenda Heights, Sungai Petani. Pembukaan RFC ini adalah 100% milikan Bumiputera Islam. RFC merupakan salah sebuah syarikat subsidiari di bawah HPA Industries Sdn Bhd dan berkonsepkan restoran makanan segera berlandaskan Syari’ah Islam. Segala aspek keperluan dan kehendak Syari’ah dijamin kualitinya bermula dari bekalan bahan mentah seperti ayam yang diternak sendiri dan diawasi kualiti halal dan kebersihan. Manakala aspek pengurusan dan operasinya mengamalkan prinsip etika pekerja Islam seperti adab dan tatatertib muslimin dan muslimah serta amalan zikir dan sunat sebelum memulakan kerja seharian.

" PRODUK HALAL TANGGUNGJAWAB BERSAMA "

Pada masa kini pasaran dan permintaan adalah tinggi ke atas makanan segera. Ini boleh dilihat dengan kehadiran jumlah restoran ‘bak cendawan selepas hujan’ di seluruh negara. Didapati pasaran konsep makanan segera di negara ini dimonopoli oleh masyarakat bukan Islam dan hampir 90% jenamanya berasal daripada luar negara.

Atas kesedaran dan tanggungjawab betapa pentingnya pilihan makanan halal, RFC diwujudkan bagi memberi pilihan makanan halal kepada umat Islam, khasnya umat Islam di Malaysia. Bermula dengan restoran pertama di Sungai Petani, RFC berazam mendirikan 400 buah lagi restoran yang serupa di seluruh negara.

Disamping itu, sejajar dengan slogan kumpulan perniagaan HPA, “Produk Halal Tanggungjawab Bersama”™ kewujudan RFC adalah satu jihad perniagaan dalam menyediakan makanan dan produk halal kepada umat Islam.

Apa itu Organik?
Bahan utama ayam organik adalah bebas dari bahan kimia hasil dari penggunaan konsep ternakan organik yang selamat, suci dan menyakinkan. Rahsia di sebalik Ayam Fresh organic halal:
  • Fresh
  • Organik
  • Halal
Fresh bermaksud ayam yang segar dari segi pemakanan, penjagaan serta dari segi penyembelihan. Ayam yang disembelih di ladang dan di hantar terus ke tempat permintaan. Ayam yang dah disembelih tidak akan di simpan lama dalam bentuk sejuk @ sejuk beku supaya kualiti kesegaran ayam itu tidak hilang dan tetap segar.

Ayam organik adalah ayam yang di ternak bebas daripada enzim babi @ makanan yang dilarang oleh agama Islam. Ayam yang diternak secara organic adalah ayam yang diberi makan seperti, ekstrak herba yang kaya dengan bahan antioksida dan antikanser seperti halia, kunyit, pandan, habbatus sauda dan limau purut. Tanpa penggunaan antibiotic, tidak menggunakan horman, beta agonist dan salbutamol. Faktor permakanan juga adalah penyumbang utama kepada daya tahan ayam daripada serangan penyakit. Bermakna ayam organik adalah ayam yang hanya makan makanan yang organic seperti spirulina dan tidak memakan dedak.

Halal adalah bermaksud, ayam yang di sembelih secara mengikut tuntutan syariah Islam. Ayam yang hendak disembelih mestilah ayam yang masih hidup dan sihat serta diperlakukan dengan baik sebelum disembelih. Membaca kalimah Allah (bismillah) sesaat sebelum menyembelih untuk setiap ekor haiwan @ ayam yang disembelih. Memotong dengan sempurna saluran pernafasan, saluran pencernaan dan pembuluh darah nadi dengan pisau yang tajam. Tidak boleh hanya dengan menusuk leher ayam, kerana dikhuatiri tidak memotong saluran-saluran tersebut dengan sempurna. Meletakkan dan membiarkan ayam mati dengan sempurna dan darah keluar dengan tuntas sebelum di proses selanjutnya.

Tata cara penyembelihan ayam mengikut syariah Islam, khususnya untuk penyembelihan ayam secara banyak dalam satu masa.

Proses penyembelihan merupakan tahap yang sangat penting dalam kehalalan haiwan sembelihan. Oleh kerana itu tata cara penyembelihan tersebut harus dilakukan dengan benar dan baik. Beberapa tahap yang harus diperhatikan, khususnya dalam penyembelihan ayam secara banyak dalam satu masa adalah:
  • Ayam haruslah masih hidup, sihat dan berada dalam keadaan baik sebelum disembelih.
  • Ayam yang mati harus segera dipisahkan dan tidak disembelih.
  • Membaca kalimat Allah (bismillah) sesaat sebelum menyembelih untuk setiap ekor haiwan yang disembelih.
  • Memotong dengan sempurna saluran pernafasan, saluran pencernaan dan pembuluh darah nadi dengan pisau yang tajam. Untuk penyembelihan secara banyak dalam satu masa aspek ini harus diperhatikan dengan seksama, jangan sampai ada yang terlepas atau tidak terputus dengan sempurna.
  • Tidak boleh hanya dengan menusuk leher ayam, kerana dikhuatirkan tidak memotong saluran-saluran tersebut dengan sempurna.
  • Meletakkan dan membiarkan ayam mati dengan sempurna dan darah keluar dengan tuntas sebelum proses selanjutnya, seperti pencelupan ke dalam air panas, pencabutan bulu dan pembersihan,jangan sampai ayam tersebut dalam keadaan masih hidup.
Misi saya pada masa akan datang ialah, menikmati ayam goreng Radix. Kenapa di dalam hati saya seolah-olah ada bisikan suara yang mengatakan, Ayam Goreng Radix pasti lebih sedap berbanding ayam goreng jenama-jenama yang lain?

Pada masa yang sama, saya menunggu Resepi Klasik Ayam Goreng Kentucky Fried Chicken yang pernah saya rasai pada awal era 90-an dahulu untuk kembali. Kombinasi lada hitam, tepung gandum yang kuat dengan garam yang secukup rasa. Saya rasa saya sedang merindui resepi lama Kentucky Fried Chicken dan saya harus menamatkan tulisan saya kali ini sebelum saya terkena 'angau' ayam goreng.