BLOG DUKE AMIENE REV

Sabtu, Oktober 24, 2009

Bersendirian - Aku Ingin Cari Teman Hidup

Ketika ini aku baru bangkit dari keadaan statik. Bukan tidur maksudku. Sepanjang hari ini aku mendiamkan diri di dalam bilik. Pagi tadi aku memberi makan anak-anak ikan Betta yang semakin besar dan hampir boleh berdikari. Sejak semalam, aku belum makan nasi. Aku tidak lalu makan sejak beberapa hari ini, mungkin kerana kesan kerinduan. Hakikatnya aku rasa aku makin tabah menghadapi perpisahan dengan anak-anak didikku. Kelas kuliah makin berkurangan.

Ketika ini, ada beberapa orang bertugas membersih persekitaran rumah bangloku. Mencuci bersih. Dan aku pula tergerak untuk menulis sesuatu, lalu lahirlah catatan pada hari ini. Ini blog peribadiku. Ini tempat aku menulis apa sahaja yang terlintas di pemikiran aku. Ruang privasi yang terbuka. Ruang privasi tempat aku melaung segala-galanya.

Aku berhasrat selepas menunaikan solat Asar sebentar lagi, aku ingin keluar dari bilik ini. Aku ingin mencari teman. Teman hidup. Sehari dua ini, aku kerap kali memeriksa senarai calon isteri. Ada beberapa kawan yang akan menolong aku mencarikan isteri yang baik-baik. Sekarang ini sudah tiba masanya untuk aku mencari teman hidup. Aku tidak pasti sama ada dalam masa terdekat ini aku akan bertunang, atau terus menikah.

Calon-calon isteri yang ada dalam senarai ada 15 semuanya. Dua hari lepas aku gatal untuk menambah calon ke-16, seorang pelajar UNISEL, tetapi kemudian hasrat itu terbatal. Ini kerana pelajar tersebut, hatinya sudah dimiliki orang. Maka aku tidak mahu mengganggu hubungan cinta pelajar tersebut.

Calon isteri aku, mestilah seorang yang bertudung labuh. Kata-katanya mestilah sentiasa menyejukkan hati, biarpun semasa menegur atau mengeluarkan pandangan atau mengajar sesuatu perkara kepadaku. Calon isteri aku mestilah orang yang tidak emosional. Tidak suka berlagak pandai, dan tidak pula materialistik. Calon isteriku mestilah seorang yang sukakan kebajikan, setia, sentiasa boleh berada di sampingku.

Aku tidak memiliki cinta. Aku cuma memiliki kasih sayang. Kasih sayang ini sudah cukup untuk aku membahagiakan isteriku. Cinta antara kami akan sama-sama berputik melalui tanggungjawab suami isteri dan perkongsian hidup.

Selama ini, kasih sayang ini jugalah yang membantu aku untuk mendidik anak-anak didikku. Selama ini, aku menumpu perhatian terhadap anak-anak didikku. Menyayangi mereka. Mengasihi mereka. Mendidik mereka. Mengajar ilmu baru. Melatih mereka. Menilai hasil praktikal mereka.

Kini apabila anak-anak didikku berangkat pergi, aku mula merasa sunyi. Aku mula terasa ingin mencari. Tiba-tiba aku melonggarkan genggamanku terhadap matlamat hidupku. Tiba-tiba aku rasa ingin menyentuh emosi dan menyuburkan cinta. Tiba-tiba aku rasa ingin berkeluarga dan memiliki anak-anak yang comel. Rupa-rupanya sudah sampai masanya untuk aku menjadi seorang suami, dan suatu hari nanti seorang ayah.

Masa silam semakin larut, usia semakin meningkat. Soal perkahwinan kini mula merebut ruang dalam pemikiranku. Aku berdoa kepada Tuhan, agar dikurniakan seorang bidadari, untuk menjadi isteriku. Semoga aku memiliki seorang isteri yang cantik budi pekertinya, mempesonakan, sangat setia, menghormati suami, indah bicara perkataannya, pandai mengasuh anak, tinggi ilmu pengetahuan, penyabar dan rasional, berkebolehan dalam pelbagai bidang, dan yang paling penting, amat diredhai Tuhan.

Lembaran baru dalam novel kehidupanku bermula lagi. Kali ini, pasti berkenaan perkongsian hidup.