BLOG DUKE AMIENE REV

Ahad, November 15, 2009

Melapangkan Fikiran Buat Seketika Di Sini

Sejak akhir-akhir ini, saya diamanatkan dengan pelbagai kerja penting yang melibatkan analisis dan pengurusan. Sebagai seorang pengurus dan penyelidik, kerja-kerja saya mengurus dan menyelidik. Sebagai seorang pendidik, kerja-kerja saya ialah bersyarah dan menanda kertas-kertas peperiksaan. Orang kata kalau jadi pensyarah, kita bukan guru. Kenyataan ini palsu. Hakikatnya, seorang pensyarah juga merupakan guru atau cikgu. Tidak kira guru atau pensyarah atau ustaz, kesemuanya mengendalikan pelajar dan anak didik.

Sejak mendapat calon isteri tempoh hari, saya mula menutup pintu mencari jodoh. Kini saya sedang sibuk mencari cincin pertunangan yang sesuai. Pendapat rakan-rakan yang sudah berkahwin menjadi rujukan. Calon isteri saya adalah seorang ustazah. Sebenarnya seumur hidup saya, tidak pernah saya mengamalkan budaya 'couple' atau berkasih dan berpasang-pasangan seperti kebiasaan remaja atau muda-mudi sebaya saya. Pada pandangan saya, jodoh boleh dicari. Memandangkan kini saya rasa sudah sampai masanya untuk berkeluarga, maka sejak sebulan yang lalu saya mula mencari, dan menilai calon-calon isteri yang ada. Kini, ada satu calon yang paling menepati citarasa saya. Jika ada jodoh, maka kami akan melangsungkan perkahwinan sekitar tahun hadapan.

Dahulu, ramai kawan-kawan sekerja bertanya, dah fikir soal kahwin atau belum. Ketika itu saya mungkin belum terbuka hati untuk berkahwin, kerana terlalu memikirkan soal matlamat kerjaya dan anak-anak didik saya. Namun sejak memikirkan ramai anak didik saya yang akan meninggalkan saya selepas ini kerana memburu kerjaya masing-masing, maka, sejak sebulan lalu bermulalah pencarian saya. Kira-kira selepas satu minggu mencari, saya berkenalan dengan beberapa calon isteri, termasuklah seorang gadis forensik yang saya rasakan memiliki sifat-sifat yang saya suka, dan seorang gadis ustazah lulusan universiti. Saya lebih menyukai gadis ustazah kerana memiliki ciri-ciri seorang isteri dan ibu yang saya kehendaki untuk anak-anak saya. Lalu selepas itu saya menutup pintu pencarian jodoh untuk seketika. Jika jadi maka jadilah.

Sehingga kini, saya terasa ada perubahan dalam diri saya. Hubungan saya dengan rakan-rakan sekerja sudah semakin rapat. Mungkin kerana saya tidak lagi terlalu memberi tumpuan terhadap pelajar-pelajar saya. Musim peperiksaan sudah berada di pertengahan dan semester ini akan berakhir. Semester Disember akan bermula. Saya akan sibuk menghadiri mesyuarat dan menguruskan kerja-kerja menganalisis perkara-perkara yang berkaitan dengan akademik.

Oh, ya. Baru-baru ini saya tertarik untuk mengkaji spesies Swordtail. Spesis ini boleh beranak. Mungkin itu adalah subjek baru saya pada masa akan datang. Saya akan kembali ke United Kingdom untuk upacara penyatuan keluarga. Ini tradisi kami selaku keturunan kerabat Di-Raja.