BLOG DUKE AMIENE REV

Rabu, November 18, 2009

Blog Adalah Catatan Peribadi

Blog adalah catatan peribadi yang unik. Kita berbicara apa sahaja, sesuka hati kita sahaja, disebabkan blog adalah medan suara individu yang berkuasa pada masa kini. Kali ini saya ingin melontar lebih banyak tulisan berbentuk peribadi.

Dalam seminggu ini, saya tidak ke mana-mana. Penat untuk pergi ke panggung wayang biarpun ada yang mengajak keluar. Disebabkan saya sibuk sejak kebelakangan ini, ada pelajar-pelajar saya yang mula bertanya khabar.

Saya telah mengosongkan kolam kajian saya. Musim hujan benar-benar memberi peluang kepada saya untuk menimba air dari langit. Tanpa klorin tetapi berasid.

Ada sejenis ikan yang berbeza dengan ikan Betta. Ikan ini namanya Parrot Fish. Saya memanggilnya ikan senyum. Ikan ini sentiasa tersenyum. Warna ikan ini biasanya merah oren. Atau, kadangkala bercampur dengan warna hitam, kuning atau putih.

Struktur badan ikan ini agak unik, yang membuatkan saya pada kali pertama melihat ikan ini, menganggapnya sebagai patung ikan plastik yang berada di dalam air. Pergerakan ikan ini juga agak pantas.

Juga, ikan Parrot ini tidak boleh dicampurkan dengan spesies ikan yang lain. Ikan Parrot biarpun sentiasa kelihatan tersenyum, sebenarnya adalah sejenis ikan yang garang. Penceroboh akan diserang.

Sebenarnya saya masih mencari-cari masa untuk memulakan projek kajian Swordtails. Satu perkara yang perlu disedari berkenaan ikan Swordtails, ialah paras air di dalam kolam. Ikan Swordtails adalah jenis ikan yang lasak dan boleh dianggap sebagai spesies ikan longkang yang sama seperti Molly dan Guppy.

Namun, sekiranya ikan ini melompat keluar dari akuarium, maka pemilik ikan harus berhati-hati. Ikan ini mungkin akan mati.

Kajian yang dijalankan mendapati spesis anak ikan Swordtail dilahirkan dan mampu terus mencari makanan, berenang dan bersembunyi daripada pemangsa. Kelemahan ikan Swordtail ialah pada air yang berasid. Maka, penggunaan garam akan menyebabkan ikan-ikan Swordtails senang hati.

Disebabkan ikan Swordtails jenis yang mudah dibiakkan pada kondisi air yang sesuai, maka pemeliharaan ikan ini adalah amat berbaloi. Cuma, satu perkara yang kurang baik tentang ikan ini ialah, najis ikan Swordtails akan mudah mengotori permukaan dasar akuarium atau kolam.

Ini adalah perbezaan antara Swordtails dan Betta, biarpun kedua-duanya mempunyai paras muka yang sama.