BLOG DUKE AMIENE REV

Ahad, November 01, 2009

Filem Michael Jackson - This Is It - Hadir ke pawagam seluruh dunia

Hadir ke pawagam seluruh dunia
Oleh JESSABELL SOO
SUMBER: kosmo.com.my
Review Filem Michael Jackson - This Is It

Perancangan awalnya muncul dalam konsert besar-besaran, tetapi takdir mendepani kehendak manusia. Selepas kematiannya, Michael Jackson terus hidup di depan mata peminat.

HARI ini, kita, peminat kepada penyanyi terhebat generasi ini, Michael Jackson akan berpeluang menyaksikan hari-hari terakhir legenda dunia itu beraksi dalam merealisasikan impiannya sebelum bersara. Hasrat dia adalah untuk menghadiahkan 50 konsert terakhir kepada peminatnya di 02 Arena, London.

Namun, kematiannya pada 25 Jun lalu iaitu 18 hari sebelum tarikh konsert pertamanya telah mengecewakan lebih sejuta peminat dari seluruh dunia yang telah membeli tiket konsertnya sejak Raja Pop itu mengumumkan berita gembira tersebut pada 5 Mac lalu.

Apa tidaknya, konsert This Is It yang mengikut jadual sepatutnya berlangsung sehingga 6 Mac 2010 merupakan persembahan besar pertama bagi Michael selepas penyanyi itu menamatkan konsert jelajah dunia HIStory pada tahun 1997.

Maka, tidak hairan jika peminatnya di seluruh dunia melonjak kegembiraan apabila Sony Pictures Entertainment dengan kerjasama promoter konsert This Is It, AEG Live telah membuat keputusan untuk menjadikan rakaman sesi latihan dan raptai penuh Michael kepada versi filem dengan judul sama.

Sebenarnya anda sepatutnya berterima kasih kepada peminat setia Michael yang merupakan penyumbang kepada idea pembikinan filem itu. Menurut pengarah dan pereka tari konsert itu, Kenny Ortega, dia mendapat ilham untuk menggunakan rakaman itu daripada peminat Michael.

"Pada mulanya saya menerima banyak mesej daripada peminat di seluruh dunia yang mahu menyaksikan rakaman latihan Michael. Di situ saya sedar bahawa perjalanan karier Michael belum tamat dan kami perlu lakukan sesuatu.

"Filem itu dilakukan hanya untuk peminatnya dan ia akan menunjukkan perkembangan serta tujuan asal konsert itu apabila ia semakin mendekati tarikh persembahan."

MICHAEL JACKSON kelihatan cukup bertenaga pada sesi latihan di Staples Center dua hari sebelum kematiannya.

Merupakan filem konsert yang dokumentasikan babak raptai dan latihan Michael di atas pentas bersama hampir 80 krew, ia juga akan menyaksikan Michael berdiri di atas pentas buat kali terakhir di Staples Center, Los Angeles untuk raptai penuh.

Bukan itu sahaja, peminat akan melihat bagaimana Michael menjadi mentor kepada pasukannya, mengembangkan idea serta menjayakan konsert berteknologi tinggi itu.

"Rakaman itu merangkumi tahap awal produksi kepada latihan teknikal di Staples Center, Los Angeles. Ia akan menunjukkan sifat sebenar Michael, bagaimana dia terlibat secara kreatif dalam semua aspek produksi.

"Daripada pentas, gerak tari, muzik, penata cahaya, rekaan produksi dan konsep kepada filem pendek asal serta latar belakang video. This Is It merupakan hasil kerja teater terakhir Michael. Saya rasa rakaman itu akan menunjukkan bahawa proses adalah sesuatu yang Michael betul-betul menikmatinya," tambah Kenny.

Pada mulanya, Kenny menyatakan bahawa rakaman latihan peribadi Michael dan krew konsert itu tidak berada dalam perancangan untuk ditayangkan kepada masyarakat umum.

"Rakaman itu dibuat supaya kami boleh menyimpan dalam perpustakaan untuk dijadikan koleksi peribadi Michael. Rakaman itu amat bermakna buat Michael."

RAKAMAN aksi Michael Jackson pada sidang media mengumumkan konsertnya di London pada 5 Mac lalu.

Hanya pada 10 Ogos, 2009, hakim Mahkamah Tinggi Los Angeles, Mitchell Beckloff secara rasmi meluluskan kerjasama antara Sony (pengedar filem) dan AEG Live supaya Sony boleh membeli dan mengedar rakaman itu sebagai filem.

Dalam perjanjian itu, Sony dan AEG Live telah bersetuju bahawa versi filem itu tidak boleh melebihi 2 jam 30 minit dan karya itu perlu mendapatkan klasifikasi. Selain daripada itu, kontrak itu juga menyatakan bahawa filem itu tidak boleh menunjukkan sebarang sisi negatif Michael.

"Rakaman yang menunjukkan sisi negatif Michael tidak dibenarkan sama sekali." AEG Live telah memberikan Sony lebih 100 jam rakaman latihan dan raptai sebagai sebahagian daripada perjanjian dan Sony perlu menyiapkan suntingan tidak melebihi tarikh 2 Oktober 2009.

Akhirnya rakaman yang dibeli dengan harga AS$60 juta (RM228 juta) untuk hakcipta telah disunting menjadi produk 1 jam 51 minit. Poster filemnya menemui peminat pada 9 September lalu. Pada 13 September, majlis anugerah MTV Video Music diberi penghormatan untuk menayangkan treler filem itu yang disaksikan oleh 9 juta penonton di serata dunia.

Abang Michael, Jackie Jackson menjadi orang pertama dari keluarganya yang memberikan persetujuan kepada filem itu selepas menyaksikan hasilnya pada 23 Oktober lalu. Dia begitu kagum dengan persembahan terakhir adiknya di atas pentas.

"Adik saya akan membuat orang terpegun. Kita akan menyaksikan hasil kerja seorang pemuzik yang genius," katanya kepada portal hiburan TMZ.com.

SEMPAT mencuba kamera yang digunakan dan berbincang dengan pengarah.

Namun, Jackie merupakan antara ahli keluarga yang akan menyaksikan filem itu kerana kakak Michael, La Toya telah mengesahkan bahawa dia dan beberapa ahli keluarga lain tidak akan menonton filem itu.

"Michael mahu tiga orang anaknya, Prince Michael, 12, Paris, 11 dan Blanket, 7, untuk menyaksikan konsertnya kerana mahu menunjukkan kepada mereka siapa ayah mereka. Namun, kini Blanket dan Prince masih terlalu sedih untuk menyaksikan filem itu.

"Paris pula yang menjadikan Michael sebagai idolanya berasa teruja untuk menyaksikan filem itu. Ibu kami, Katherine juga masih tidak dapat menerima kenyataan kematian Michael. Jadi dia belum bersedia untuk menonton Michael di TV atau pawagam.

"Lagipun saya rasa Michael tidak akan bersetuju untuk menayangkan rakaman latihan peribadinya kerana dia seorang yang mengutamakan kesempurnaan. Apa yang dirakamkan itu tidak menunjukkan yang terbaik dari Michael," jelas La Toya.

Wartawan akhbar USA Today telah melawat tempat latihan Michael yang dikawal ketat sebelum itu. Dipenuhi dengan props ekstravaganza seperti bola gergasi terapung, katil 'menyala', patung boneka setinggi 20 kaki, bunga api dan labah-labah gergasi. Tapi apa yang utama adalah gerak tari milik Michael.

"Dia cuba sedaya upaya dan berjaya untuk merancang produksi live yang paling hebat setakat ini. Semasa dia meninggalkan tempat saya, dia memerlukan ruang seluas 10,000 kaki persegi untuk latihan. Konsert itu satu persembahan mega," ujar pemilik CenterStaging, California, Johnny Caswell yang menyewa lokasi itu kepada Michael untuk latihan konsert.

BERSAMA krew konsert yang cukup teruja untuk menjelajah dunia.

Pengasas Misfits of Magic, Ed Alonzo, yang pernah bekerja dengan Britney Spears (konsert jelajah Circus) telah menyertai pasukan Michael enam minggu kemudian. Dia telah mereka efek menarik seperti gelas sfera yang akan terapung di sekeliling Michael semasa dia memulakan konsert dengan lagu Wanna Be Startin' Somethin' (1982).

"Ia satu persembahan yang menakjubkan. Walaupun Michael hanya berjalan menerusi penari semasa latihan, anda boleh melihat Michael seperti mana anda melihat dia sebelum ini dalam muzik video. Mungkin Michael kelihatan kurus tetapi dia sihat dan bertenaga semasa latihan," jelas Ed.

Jualan awal tiket

Hanya akan ditayangkan selama dua minggu, jualan tiket di negara-negara lain sudah bermula sejak 27 September lalu. Di Malaysia, tiket pula mula dijual pada 15 Oktober lalu dan setakat ini lebih 20,000 tiket sudah dijual.

Pelbagai senario luar biasa berlaku semasa penjualan tiket di luar negara. Disebabkan tidak mahu terlepas daripada menyaksikan filem itu, peminat telah beratur di luar Nokia Theatre Los Angeles, dua hari setengah untuk membeli tiket yang dijual pada 27 September 2009.

Menurut satu sumber kepada portal The Insider.com, "Ramai orang beratur seawal 24 September lagi. Ini bermakna mereka menghabiskan lebih 48 jam di sana. Mereka membawa kerusi dan payung tetapi pihak penguasa kompleks itu tidak membenarkan khemah, alkohol dan memasak ketika beratur di sana. Malah mereka turut diberikan pas untuk berehat ke bilik air atau makan."

KONSERT This Is It sepatutnya berlangsung dari 13 Julai lalu tetapi ia tidak menjadi kenyataan.

Apa yang menarik, 500 peminat pertama yang membeli tiket filem dijanjikan dengan tiket peringatan yang direka khas oleh Michael bagi konsertnya di O2 Arena. "Satu-satunya cara untuk mendapatkan tiket yang direka khas itu adalah dengan menukarkan tiket konsert This Is It atau menjadi 500 orang terawal.

"Mereka juga berpeluang untuk baju-T serta poster This Is It dan dijemput untuk tandatangan dinding memorial khas di luar untuk Michael. Sebanyak 3,000 tiket dijual untuk tayangan awal pada 27 Oktober 2009 di Regal Cinemas Stadium 14, Los Angeles bagi meraikan pembukaan pawagam itu serta tayangan perdana filem itu.

"Tiga bulan selepas kematian Michael, saya masih terkejut dengan keterujaan peminat. Ada yang tunggu selama 50 jam untuk membeli tiket. Itu dedikasi peminat kepada Michael. Bayangkan mereka perlu berjaga sampai pukul 4 pagi (London) untuk menonton filem itu. Tapi itu semua untuk Michael," kata penulis Hollyscoop.com, Bridget Daly.