BLOG DUKE AMIENE REV

Sabtu, November 07, 2009

Ulasan Filem The Fourth Kind - Kebenaran Yang Memilukan

Movie Review: The Fourth Kind - Ulasan Filem: The Fourth Kind
Ulasan Filem oleh Amiene Rev (C) 2009

"Jangan menyepak kerusi penonton yang berada di depan anda apabila menonton filem lakonan Milla Jovovich ini. Bersedialah untuk mengalami gangguan emosi sekiranya anda lemah semangat. Kuatkan iman anda. Kekuatan teknik visual dan runut bunyi menyebabkan filem thriller The Fourth Kind berkenaan penyiasatan dan kajian penculikan makhluk asing ini mampu memukau penonton untuk terus mengetahui apa yang terjadi seterusnya. Awas, filem The Fourth Kind mungkin akan menghipnosis anda dengan kejutan emosi dan simpati dalam mencari kebenaran." - Amiene Rev

Poster Filem The Fourth Kind

Anda pernah menonton The Moth Man? Filem itu dahulu mengundang para penonton untuk mengemukakan pandangan mereka atau berkongsi pengalaman mereka berkenaan sejenis makhluk misteri yang dipanggil The Moth Man. Filem The Fourth Kind pula membicarakan tentang penculikan makhluk asing, atau lebih dikenali sebagai The Fourth Kind.

Setakat ini terdapat 9 jenis pendekatan makhluk asing yang diutarakan sama ada secara teori atau fiksyen. 9 jenis pendekatan ini dkenali sebagai The First Kind hinggalah ke The Nineth Kind.

Saya tertarik untuk menerangkan serba sedikit tentang 9 pendekatan makhluk asing ini. The First Kind melibatkan kesaksian. Manusia melihat UFO atau lebih tepat objek yang tidak dikenali di angkasa lepas seperti bintik cahaya dan sebagainya. The Second Kind melibatkan kesan secara fizikal atau jejak UFO. Ini termasuklah kesan radiasi dan jejak kapal angkasa di muka bumi.

Sementara itu The Third Kind melibatkan pendedahan rupa makhluk asing kepada manusia sama ada ketika makhluk asing itu berada di dalam kapal angkasa mereka, atau berhampiran kapal angkasa mereka atau pun perasaan dihubungi atau dihampiri oleh makhluk asing.

The Fourth Kind, merujuk cerita The Fourth Kind adalah berkenaan tindakan agresif makhluk asing terhadap manusia, iaitu penculikan. Kesan daripada penculikan ini termasuklah trauma, gangguan emosi, tingkahlaku ganas atau agresif, alahan, kecederaan fizikal, dan paling teruk ialah membunuh orang lain dan diri sendiri kerana hilang kewarasan fikiran.

The Fifth Kind pula melibatkan hubungan antara manusia dengan makhluk asing. The Sixth Kind melibatkan kecederaan atau kematian kerana pertembungan dengan makhluk asing. Contoh insiden yang terkenal melibatkan The Sixth Kind ialah insiden Dyatlov Pass yang berlaku di Pergunungan Ural, di mana 9 orang pendaki gunung ditemui mati dan mayat mereka dipenuhi dengan kesan radiasi. Salah seorang daripada mangsa ditemui tanpa lidah, dan pada jangkaan saya, pasti makhluk asing sedang cuba mengkaji bahasa percakapan manusia berdasarkan lidah mangsa tersebut.

The Seventh Kind pula melibatkan kacukan antara manusia dan makhluk asing. The Eighth Kind pula melibatkan ancaman dan pencerobohan makhluk asing ke dalam populasi manusia, termasuk di peringkat pentadbiran dan kepimpinan. Terakhir sekali, The Nineth Kind yang melibatkan pendedahan kewujudan makhluk asing secara terang-terangan di dunia manusia dan tidak ada lagi keraguan tentang kewujudan makhluk asing.

Sinopsis Filem The Fourth Kind - Sepintas Lalu
Pada suatu malam, selepas melakukan hubungan seks, suami Dr. Willian Tyler ditemui mati dengan darah di merata-rata tempat di atas katil. Pihak berkuasa pun melakukan penyiasatan dan kerana kekurangan bukti dan saksi, kes itu tidak dapat diselesaikan dan terpaksa ditutup. Selepas kematian Dr. William Tyler, isterinya yang juga seorang pakar psikologi, Dr. Abigail Tyler meneruskan kajian suaminya untuk membuktikan kebenaran kisah penculikan makhluk asing. Dr. Abigail Tyler percaya, kematian suaminya ada kaitan dengan penculikan makhluk asing di tempat tinggal mereka, Nome, Alaska.

Penyiasatan Dr. Abigail Tyler dibantah oleh pihak berkuasa tempatan. Dr. Abigail Tyler dianggap bersalah kerana melakukan hipnosis terhadap mangsa-mangsa penculikan dan ini menyebabkan emosi mereka terjejas dengan teruk hingga bertindak melakukan pembunuhan, termasuk membunuh diri sendiri.

Namun Dr. Abigail Tyler meneruskan kajiannya dengan bantuan seorang pakar psikologi lain dan juga seorang Profesor yang mengkaji tentang tamadun Sumeria. Dipercayai bahasa yang digunakan oleh makhluk asing ini mirip dengan bahasa yang digunakan oleh orang-orang Sumeria.

Penamatan kisah ini amat memilukan apabila keluarga Dr. Abigail Tyler diancam makhluk asing dan anda saksikanlah sendiri di panggung jika mahu mengetahui kesudahannya.

Ulasan Filem The Fourth Kind
Milla Jovovich melakonkan semula watak Dr. Abigail Tyler. Kewujudan Dr. Abigail Tyler masih menjadi misteri. Filem The Fourth Kind terperangkap antara kebenaran dan kepalsuan. Apa pun, filem ini pasti sedikit sebanyak mengubah tanggapan anda terhadap kewujudan makhluk asing di muka bumi.

Burung hantu menjadi simbolik kewujudan makhluk asing. Arca makhluk seakan-akan burung hantu dapat ditemui menerusi tamdun silam, khususnya semasa zaman Akkadia. Hakikatnya, kewujudan burung hantu hanyalah permulaan terhadap kemunculan makhluk asing. Mereka menculik manusia, meninggalkan kesan parut dan alahan kepada manusia, dan menyebabkan mangsa hidup dalam ketakutan, trauma dan mengalami igauan ngeri.

Iringan lagu-lagu meditasi dan opera, serta kaedah penggambaran yang di luar sudut penglihatan manusia menjadikan filem ini menarik. Filem The Fourth Kind adalah sebuah filem thriller serius, yang mengundang mata penonton untuk terus terpaku menyaksikan pelbagai tingkahlaku dan situasi luar biasa yang mampu menggoncang emosi penonton. Apabila makhluk asing mencampuri urusan manusia, pakar psikologi turut hilang kewarasan minda.

Teknik penamatan filem ini membuatkan penonton mula terfikir sama ada kisah ini benar-benar berlandaskan cerita benar, atau sekadar fiksyen semata-mata. Berbeza dengan kebanyakan filem yang memainkan lagu-lagu tema filem semasa pemutaran kredit, filem The Fourth Kind pula memaparkan rakaman suara menerusi telefon atau temubual bersama dengan saksi-saksi yang melaporkan mengenai pertembungan mereka dengan makhluk asing dari pelbagai era.

Kesimpulannya, filem The Fourth Kind adalah sebuah filem tragedi yang mengundang simpati dan kesedaran manusia mengenai kewujudan makhluk asing di muka bumi. Sebuah filem yang penuh dengan kejutan dan memungkinkan sesetengah penonton terkena histeria hingga menyepak-nyepak belakang kerusi penonton di barisan depan dan perkara ini sungguh menyakitkan hati.