BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, April 22, 2008

Ulasan Filem Congkak – Pendedahan Teori Gangguan Makhluk Halus


Ulasan Filem Congkak
Pengulas Filem Congkak: Amiene Rev (C) 2008

Filem Congkak merupakan sebuah lagi filem seram arahan Ahmad Idham, berdasarkan skrip yang ditulis oleh Pierre Andre. Adakah filem Congkak bakal meraih kejayaan yang besar dalam memartabatkan filem Melayu bergenre seram di sekitar Asia? Menerusi entri kali ini, Amiene Rev sekali lagi tampil untuk mengulas filem seram Malaysia ini.


Masalah Teknikal: Kenapa Saya Kecewa?
Entah kenapa, saya boleh menguap semasa menonton filem Congkak. Adakah kerana jalan ceritanya yang tidak menarik? Filem seram ini menarik. Filem seram ini sememangnya filem yang menyeramkan. Sememangnya rasa tidak puas hati ada menjalar dalam hati saya pada minit-minit permulaan filem ini terpapar di layar perak. Puncanya, kerana berlakunya masalah sistem bunyi di panggung. Suara para pelakon tidak kedengaran. Dewan panggung ini bermasalah. Saya bergegas keluar mencari staf panggung untuk memaklumkan hal ini. Kalau boleh, biarlah ditayangkan semula dari awal. Keseronokan untuk menghayati filem ini seawal 8 minit pertama terbakar begitu sahaja. Namun saya puji babak yang ditayangan biarpun tanpa suara masih mampu menakutkan penonton dengan visualnya. Nasib baik ada sarikata di dalam Bahasa Inggeris, dapat juga saya fahami apa yang sedang berlaku.


Masalah Penapisan Filem: Kenapa Saya Kecewa Lagi?
Bunyi yang digunakan oleh filem Congkak memang hebat. Saya tertarik dengan kedamaian suasana kampung dan irama unggas hutan yang berkumandang di dalam filem ini. Namun saya tidak dapat membaca perkataan yang dikumat-kamitkan oleh M. Rajoli semasa memainkan peranannya sebagai bomoh. Panjang juga tempoh memperlahankan suara. Sekali-sekala saya terdengar juga seolah-olah bacaan beberapa surah tertentu yang dipetik daripada Al-Quran. Ini menjadikan keseronokan menonton cerita ini terjejas lagi. Namun saya difahamkan oleh pengarah filem, menerusi kenyataannya di akhbar, bahawa tujuan penapisan itu dilakukan oleh Lembaga Penapisan Negara adalah kerana bimbang perkara-perkara khurafat akan tersebar. Saya masih ingat bagaimana saya melihat sendiri di depan mata saya, beberapa orang budak sekolah berusia sekitar 10-14 tahun meniru aksi bomoh; mengulang-ulang dialog bomoh dengan syaitan yang mereka dengar di dalam filem Jangan Pandang Belakang.


Kerana dua faktor di atas dan dipengaruhi rasa tidak puas hati yang kemudiannya mendatangkan rasa bosan, saya banyak menguap di dalam panggung. Saya hadir menonton Filem Congkak hari ini semata-mata mahu membuat ulasan mengenai filem ini tetapi faktor masalah teknikal, yang menjadi punca utama kenapa saya agak tidak puas hati semasa berada di dalam panggung. Kalau filem itu ditayangkan semula dari awal, bagi menggantikan 8 minit yang terkorban kerana masalah suara pelakon tidak keluar tadi, barulah saya berpuas hati. Tidak ramai penonton hari ini kerana saya menontonnya pada hari bekerja dan waktu bekerja. Saya mendapat diskaun sebanyak 40% apabila menonton filem ini di panggung pada hari bekerja.

Sebelum saya mengulas dengan lebih lanjut mengenai Filem Congkak ini, apa kata kita teliti dahulu asal-usul permainan congkak di Malaysia.


Asal-usul Permainan Congkak: Permainan Congkak Dilihat Secara Positif Menerusi Filem Congkak
Congkak dikatakan berasal dari Timur Tengah. Congkak juga dikenali dengan nama seperti sungka di Filipina; cangka di Sri Lanka; tungkayon di Thailand, mokaotan atau maggaleceng atau aggalacang atau nogarata di Sulawesi dan di beberapa daerah lain di Indonesia. Penduduk di sekitar kepulauan Jawa pula memanggil ia sebagai congklak. Di Utara Semenanjung Malaysia, congkak dipanggil sebagai jongkok.

Permainan congkak dikatakan tersebar ke Asia Tenggara semasa zaman kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka pada abad ke-15. Pada zaman itu, Melaka adalah pusat perdagangan yang terkenal di dunia.

Congkak mula dikenali di daerah Tanjung Pinang pada awal abad ke-17 M dan ke-18 M. Congkak pada ketika itu hanya dimainkan oleh kerabat diraja, di sekitar Istana Penyengat. Terdapat juga orang-orang biasa yang terdiri daripada golongan nelayan dan petani yang memainkan permainan congkak ini.

Setelah keruntuhan Kesultanan Riau, dan era penjajahan Belanda bermula, congkak mula menjadi pengikat hubungan antara kerabat diraja dengan rakyat biasa. Permainan congkak telah dianggap sebagai permainan rakyat Melayu.

Congkak adalah sebuah permainan yang positif. Nilai-nilai positif ini dapat dilihat menerusi beberapa babak dalam filem Congkak. Permainan congkak memerlukan kecerdasan akal untuk berfikir, pemerhatian dan penelitian yang tajam selain sifat jujur dan saling percaya-mempercayai antara satu sama lain. Dalam erti kata lain, dua orang yang sedang bermain congkak perlu saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

Saya memuji usaha penulis skrip, pengarah filem dan krew-krew Filem Congkak kerana berusaha memperkenalkan permainan tradisional ini menerusi filem seram yang sentiasa mendapat tempat di kaca mata penonton sejak akhir-akhir ini. Kaedah memperkenalkan permainan congkak ini dapat dilihat menerusi babak-babak asal-usul permainan congkak, babak-babak permainan congkak; antara Kazman dan Lisa, Lisa dan Opah, Lisa berseorangan, dan juga menerusi dialog-dialog para pelakon.


Sinopsis Filem Congkak
Filem Congkak bermula apabila Kazman, lakonan Reizman Khuzaimi, membeli sebuah rumah lama menerusi seorang kawannya. Tanpa memeriksa terlebih dahulu, Kazman terus membeli rumah lama itu dan menjadikan rumah tersebut sebagai lokasi percutian dia dan keluarganya.

Semakin mereka mendekati rumah tersebut, semakin banyak peristiwa aneh dan menyeramkan berlaku. Bermula dengan mimpi ngeri yang dialami oleh Sufiah, lakonan mantap Nanu Baharuddin, dan kemudian Lisa, lakonan mantap Erynne Erynna, yang mengadu mendengar suara Opah, lakonan mantap Ruminah Sidek, memanggilnya berkali-kali.

Terdapat banyak gangguan yang dialami oleh ahli-ahli keluarga Kazman. Sufiah terdengar bunyi orang bermain congkak dan sering dilanda mimpi ngeri berkaitan dengan Lisa, nenek tua dan congkak. Sufiah mula berasa tidak tenteram untuk tinggal di rumah tersebut.

Penunggu yang berupa seperti nenek tua atau Opah itu ingin sering bermain-main dengan Lisa. Apabila mendapati ibu bapa Lisa menjadi penghalang terhadap hubungan Opah dan Lisa, Opah mula bertindak semakin agresif. Dia semakin berani menakut-nakutkan ahli-ahli keluarga Kazman dan pada akhirnya berjaya melarikan Lisa ke alam ghaib.

Namun, kehadiran seorang lelaki tua atau Pak Tua, lakonan M. Rajoli, yang bertindak sebagai penyelamat mengubah keadaan. Pak Tua yang memiliki kemahiran dalam bidang paranormal dan mistik berusaha untuk menewaskan penunggu kawasan rumah tua itu bagi mengembalikan Lisa. Berjayakah Lisa diselamatkan, setelah tiga hari mereka sekeluarga termasuk ke dalam jerat syaitan?

Perangkap syaitan barangkali bermula semasa Kazman bertanyakan jalan ke rumah lama itu menerusi seorang wanita tua yang misteri. Wanita ini kemudiannya dimaklumkan telah meninggal dunia dua tahun yang lalu oleh anaknya yang merupakan seorang pekedai runcit. Ini juga dijelaskan mengenai babak akhir di mana, kawan Kazman menelefon Kazman memberitahu dia dan Pak Man ( orang yang bertanggungjawab menguruskan rumah tersebut ) sudah menunggu Kazman selama tiga hari, tetapi Kazman tidak muncul-muncul. Ke alam manakah Kazman dan ahli keluarganya disesatkan oleh penunggu rumah tua itu?

Saya tidak dapat memberitahu pembaca secara jelas, jawapan akhir filem ini. Tontonilah Filem Congkak untuk mencari sendiri jawapannya.


Ulasan Filem Congkak
Filem ini sememangnya sebuah filem yang tidak sesuai ditonton oleh ibu mengandung, pesakit jantung dan kanak-kanak. Babak-babak seram dan menakutkan sering dipaparkan secara mengejut. Sekiranya anak-anak anda mudah mengalami mimpi ngeri, maka berhati-hatilah apabila membawa mereka menonton filem ini. Teknik menakutkan penonton di dalam filem seram ini masih menggunakan formula yang sama seperti filem Jangan Pandang Belakang.

Secara keseluruhannya, saya menyukai pengolahan bunyi di dalam filem Congkak. Kadangkala saya tergelak juga apabila merasakan pembuat filem cuba menakut-nakutkan penonton dengan bunyi-bunyi menyeramkan yang dirasakan agak keterlaluan. Namun saya percaya, elemen yang menghiburkan seperti ini perlu ada sekiranya matlamat pembuat filem Congkak adalah untuk menghiburkan penonton di panggung atau menerusi set teater di rumah. Pengorbanan wang kira-kira RM200,000 untuk menggunakan teknologi bunyi Dolby Digital Surround EX bagi menghidupkan filem ini adalah berbaloi. Saya juga sangat menyukai lagu latar filem Congkak dan pasti akan mencarinya untuk simpanan peribadi.

Teknik rakaman visual filem Congkak juga sesuai dengan genre filem seram. Gaya kamera semasa memfokuskan ke arah watak-watak utama sering dilihat seperti seekor binatang buas yang mengekori mangsanya. Teknik seperti ini berupaya menimbulkan kesan seram. Saya berpendapatan teknik ini mula popular menerusi kejayaan filem seram misteri kos rendah dari Barat, iaitu Blair Witch Project yang mendapat anugerah. Namun, berbeza dengan kaedah merakamkan terus daripada kamera tangan yang ringkas, filem ini menggunakan teknik merakamkan filem yang lebih kompleks untuk memanfaatkan kaedah yang lebih kurang sama.

Lokasi penggambaran filem ini juga digunakan dengan baik. Kubur-kubur lama yang berada di mana-mana, meningkatkan lagi logik seram di dalam filem ini. Lokasi filem ini ialah sebuah banglo di tepi tasik, yang berada di sebuah kawasan terpencil di negeri Perlis. Dikatakan sepanjang penggambaran di lokasi tersebut, terdapat dua pantang yang perlu dielakkan oleh para pelakon dan krew-krew rakaman filem iaitu tidak boleh makan kuih lapis dan daging ayam. Terdapat babak di ladang getah, di mana, Kazman dan anaknya, Lisa mengutip biji-biji getah. Mungkin ada penonton, terutamanya kanak-kanak belum pernah melihat pokok getah, dan babak di ladang getah ini memiliki nilai pendidikan kepada anak-anak.

Lakonan para pelakon di dalam filem ini juga didapati sangat berkesan. Dua pendatang cilik dalam dunia perfileman, Erin Malek, (nama sebenarnya Nur’Arina Binti Abd Malek) dan Erynne Erynna (nama sebenarnya Syazlynne Erynna Binti Abdullah) berjaya menjiwai watak masing-masing. Ahmad Idham juga ada muncul sebagai watak cameo di dalam filem ini, sebagai watak anak kepada wanita misteri yang ditemui di sebuah pondok rehat. Secara umumnya, filem Congkak ini lebih menonjolkan watak Lisa, Sufiah, Kazman dengan Opah. Watak Ely pula kelihatan agak dingin dan tidak mesra penonton. Namun, hal ini sesuai dengan perwatakan Ely sebagai seorang remaja yang tidak puas hati kerana dipaksa mengikut keluarganya bercuti di kawasan kampung yang terpencil

Lisa (lakonan Erynna) adalah seorang budak yang rapat dengan bapanya, Kazman manakala Ely (lakonan Arina) adalah seorang remaja yang suka memberontak dan lebih tertarik dengan kehidupan di bandar. Sufiah, lakonan Nanu Baharudin adalah watak seorang ibu yang tegas dan sering mengambil berat mengenai hal-hal anaknya. Kazman pula lebih bersifat santai dan mengambil mudah dalam kebanyakan perkara. Kombinasi sifat-sifat peribadi watak-watak inilah yang dimanfaatkan oleh penulis skrip untuk mencetuskan konflik di dalam jalan cerita Congkak ini.

Ruminah Sidek wajar merangkul anugerah Pelakon Seram Malaysia. Watak-watak lakonannya, tidak kira gaya lakonan atau suara yang dilontarkannya berupaya menimbulkan kesan seram. Saya agak, lakonan Ruminah Sidek mungkin dapat memancing penerbit-penerbit filem luar negara suatu hari nanti, atau tanpa disedari, Ruminah Sidek sudah pun memiliki peminat-peminatnya yang tersendiri di luar negara?

Secara keseluruhannya para pelakon utama di dalam filem Congkak memainkan watak masing-masing dengan baik. Watak perempuan tua misteri yang menunggu di tepi jalan berjaya secara visual tetapi dialognya kelihatan agak kurang menjadi, seolah-olah sedang menghafal skrip.

Kesan khas yang digunakan di dalam filem ini juga agak memuaskan. Walaupun ada aksi-aksi yang saya rasa tidak ada keasliannya seperti menulis perkataan ‘Allah’ dan melontarnya ke arah Syaitan Nenek Tua atau Opah tidak begitu mesra dengan budaya perbomohan Melayu tetapi lebih mirip dengan teknik perbomohan di dalam filem-filem Cina. Dari segi solekan hantu, keseraman itu dapat dilihat. Namun, sekiranya filem ini ditayangkan dengan menggunakan pancaran Gamma yang lebih tinggi, pasti akan terpapar sedikit kecacatan yang berkaitan dengan solekan. Terdapat bahagian leher Opah yang tidak disolek sepenuhnya terdedah pada penglihatan penonton di panggung semasa Opah sedang beraksi.

Filem Congkak memiliki bilangan pelakon yang agak terhad. Watak-watak pembantu sangat kurang. Fokus utama adalah terhadap ahli-ahli keluarga Kazman, Pak Tua dan Opah. Ini menjadikan filem Congkak kurang meriah apabila dibandingkan dengan filem Jangan Pandang Belakang. Namun, filem Congkak memiliki kekuatannya yang tersendiri. Berbeza dengan filem Jangan Pandang Belakang yang lebih menampilkan kisah-kisah yang berlaku di kalangan orang dewasa, filem Congkak lebih dekat dengan kanak-kanak dan remaja. Watak Lisa banyak ditonjolkan di dalam filem ini. Dari segi kesesuaian penonton, filem Congkak boleh dikatakan sebagai filem seram keluarga. Ini jelas dilihat menerusi babak-babak yang memperlihatkan hubungan kekeluargaan. Sebuah keluarga dari bandar yang berkunjung ke sebuah kawasan terpencil, untuk bercuti tetapi pada akhirnya ditimpa pelbagai musibah.


Teori Gangguan Makhluk Halus Di Dalam Filem Congkak
Menerusi filem Congkak ini juga, penonton akan didedahkan secara dialog mengenai bagaimana gangguan makhluk halus boleh berlaku. Berdasarkan kefahaman saya selepas mendengar kata-kata seorang bomoh di dalam filem Congkak ini, apabila seorang anak Adam itu bermain-main pada waktu senja, mereka kemungkinan akan berlanggar secara ghaib dengan makhluk-makhluk halus. Makhluk-makhluk halus ini berkemungkinan besar akan terperangkap di dalam tubuh anak Adam itu dan keadaan inilah yang menyebabkan anak Adam itu didapati meracau-racau.

Di dalam filem Congkak, penonton akan melihat, watak Ely (lakonan Nur’Arina) meracau-racau mahu pulang ke tempat asalnya. Di dalam kes ini, berdasarkan pemerhatian saya, kekuatan makhluk halus itu melampaui kudrat anak gadis bernama Ely dan menyebabkan makhluk halus itu dapat menguasai jasad Ely. Namun, makhluk halus itu sebenarnya cuma terperangkap di dalam badan Ely, lalu meronta-ronta minta dilepaskan. Dengan menggunakan kaedah paranormal, bomoh tersebut berjaya mengeluarkan makhluk halus itu dari tubuh Ely.

Penggunaan ayat-ayat Al-Quran menguatkan lagi jalan cerita Congkak. Watak-watak di dalam filem Congkak digambarkan tidak kuat dari aspek keimanan. Watak utama yang tidak memakai tudung dan gaya pemakaian yang lebih bersifat moden dan kebaratan, tidak ada aksi-aksi menunaikan solat melainkan perkataan ‘senja’ yang digantikan dengan perkataan ‘maghrib’. Makhluk halus lebih mudah menganggu dan merasuk manusia apabila manusia itu lemah imannya. Ini juga diperlihatkan secara ironi menerusi watak Kazman yang tergagap-gagap membaca selawat Nabi apabila dipinta oleh Pak Tua. Ini adalah antara aspek moral yang digunakan di dalam filem Congkak. Jika tidak kuat iman, maka benteng jiwa manusia akan mudah dirobohkan dan jasad manusia akan terdedah terhadap serangan syaitan.


Pasaran Luas Untuk Filem Bergenre Seram
Filem Congkak telah menjadi satu karya penting dalam sejarah industri perfileman negara apabila berjaya mencipta rekod bilangan tayangan pembukaan terbanyak apabila ditayangkan secara serentak di 70 buah pawagan seawal 17 April 2008. Filem ini juga telah menerima tempahan daripada empat buah negara asing seperti Singapura, Indonesia, Thailand dan Filipina.

Filem Congkak merupakan satu lagi motivasi buat pembuat filem Malaysia bahawa terdapat banyak kisah sejarah dan budaya masyarakat Malaysia yang boleh diangkat hingga ke luar negara. Dengan adanya ilmu pengetahuan yang luas, kesungguhan dan kajian yang mendalam, Malaysia mampu membudayakan bangsa sendiri hingga ke luar negara.


Kesimpulan:
Kesimpulannya, pembuat filem Congkak telah berjaya menerapkan unsur kebudayaan tempatan, moral dan keagamaan, menerusi filem ini. Filem ini juga menonjolkan perancangan teliti dari aspek pembuatan dan penerbitan filem apabila visi-visi pemasaran filem dilibatkan dalam perancangan, lebih awal sebelum filem ini dibuat. Filem Congkak merupakan filem seram untuk tontonan keluarga yang mampu menghiburkan para penonton. Selamat menonton filem Congkak.


FAKTA FILEM CONGKAK
Tarikh Tayang:
17 April 2008

Pengulas Filem: Amiene Rev

Pengarah Filem:
Ahmad Idham


Skrip:
Cerita oleh Pierre Andre
Lakon layar oleh Ahmad Idham

Para Pelakon:
Nanu sebagai Sufiah (ibu)
Riezman Khuzaimi sebagai Kazman (ayah)
M.Rajoli sebagai Pak Tua (bomoh)
Nur’Arina sebagai Ely (kakak)
Erynne Erynna sebagai Lisa (adik)
Ruminah Sidek sebagai Opah (puaka)

Krew:
Sinematografi oleh Abang (Indra Che Muda)
Pembantu Jurukamera: Naindra Anuar
Pengarah Seni: Ahmad Rusli
Pengurus Produksi: Mokharul Shamsul

Penerbit:
David Teo


Hakcipta Ulasan Filem Congkak Oleh Amiene Rev (C) 2008