BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, April 01, 2008

Pemergian Amiene Rev

Kadangkala kita tidak sedar kematian begitu dekat menghampiri kita. Romantis Selatan memberitahu Amiene Rev, krisis kewangan yang dihadapinya semakin teruk. Hari ini, tidak ada sekeping kertas biru, merah atau hijau yang bernilai di dalam dompetnya.

Kemudian, dia mendapati perkataan Amiene Rev sebelum ini benar. Apabila kita meraih satu kejayaan yang lain, bermaksud kita sedang melalui satu peringkat yang lebih besar. Ramai orang silap dan bersenang-lenang, maka kegagalan pun datang menyerang.

Negara kita sudah merdeka, sudah membangun, dan jika dahulu rakyat selalu berwaspada, selalu mengambil berat antara satu sama lain, kini budaya hedonisme mula meracuni pemikiran kebanyakan warganegara Malaysia. Budaya yang digeruni, tetapi oleh kerana rakyat dilemaskan dengan hiburan secara terus menerus, mereka tidak ada pilihan selain tenggelam timbul di dalam lautan hiburan. Sama ada lemas, tertelan air, tenggelam terus atau pandai berenang, atau sekadar pandai mengapungkan diri. Dunia hiburan dianggap sebagai satu-satunya lambang kejayaan dan orang berjaya dalam bidang ini menjadi ikon.

Bagaimana pula bidang lain? Masih banyak bidang lain yang belum kita kenali sepenuhnya. Bidang hiburan dan orang-orang yang terlibat dalam bidang itu, habis diterokai sampai ke hal-hal peribadi. Betapa dunia hiburan mendapat tempat dan usaha untuk memperkenalkannya dibuat secara mendalam, daripada yang tunjang hingga ke saraf halus. Kontroversi, konflik dan pergaduhan. Undi sana, undi sini. Tangisan air mata. Artis-artis, tidak kira yang memberi sumbangan besar atau pun sekadar meraih populariti cukup makan turut mendapat tempat di media.

Bagaimana pula dengan dunia keilmuan? Tokoh-tokoh ilmuan yang membuat penemuan-penemuan penting untuk kehidupan. Kejayaan saintis-saintis negara kita di Geneva. Masih banyak bidang yang boleh didalami menerusi media-media utama.

Sejak akhir-akhir ini, rancangan berbentuk fakta, sains dan penemuan kelihatan hambar dan tidak ada pembaharuan. Kewujudan rancangan-rancangan realiti di televisyen juga seakan-akan sudah putus idea. Adakah musim realiti TV sudah tamat? Atau ada idea-idea baru sedang diperam untuk menghasilkan rancangan-rancangan TV yang lebih hebat?

Dunia seakan-akan sudah mati. Tidak ada perkara menarik. Mungkin dua atau tiga bulan lagi ada perkara-perkara menarik akan berlaku?

Penerbit-penerbit TV dan media-media massa seharusnya berinteraksi dengan para penonton. Masih banyak masalah yang belum selesai di negara ini. Rancangan-rancangan di televisyen seharusnya membantu menyelesaikan masalah semasa dan masalah yang belum selesai-selesai sejak dahulu lagi. Adakalanya satu-satu rancangan di televisyen itu mempunyai matlamat dan objektif yang sangat baik, tetapi cara persembahannya pula yang kurang menarik. Rancangan seperti ini perlu digilap lagi supaya dapat membantu menjaga kebajikan rakyat Malaysia.

Sekiranya dunia enggan berubah, maka kita perlu mengubahnya tetapi sebelum kita dapat mengubah dunia, kita harus mengubah diri kita dahulu.

Amiene Rev telah pergi...