BLOG DUKE AMIENE REV

Jumaat, April 18, 2008

Kisah Seorang Kakak Yang Keguguran dan Kisah Seorang Pelajar Sarjana Matematik

Dan, di taman syurga itu,
mereka bakal menyambutmu.

Anak-anak tanpa dosa,

memegang erat tanganmu.

Menjejaki syurga
.



Episod 1: Kakak Itu Keguguran

Saat ini, sudah dirasai bahang peperiksaan akhir semester. Aku, tidak lupa juga mencoretkan sedikit kata-kata di sini. Sejak beberapa hari yang lalu, langit cenderung menghadirkan diri dalam kegelapan yang mengusutkan minda. Cuaca mendung, ribut petir dan titisan hujan yang tidak beritma sekali-sekala menjejaskan perasaan sayu.

Cuaca sebegini, tiba-tiba sahaja mengelirukan aku. Aku secara langsung tidak dapat merasai kesedihan seorang kakak. Kakak ini suka meminjam buku-buku novelku. Dia membaca dengan pantas. Satu hari sahaja dia boleh menghabiskan novel setebal 500 halaman. Dia baik hati. Siang, dia di pejabat menguruskan yuran dan senarai harga. Malamnya, dia membantu suaminya menguruskan premis iparnya.

Hari ini, aku berkunjung ke bistro, tempat biasa kakak itu berniaga. Tidak kelihatan bayangnya. Bistro agak sunyi tanpa kunjungan. Ramai pelajar yang belum pulang dari kampung, atau sedang khusyuk menelaah pelajaran pada saat akhir. Aku lantas bertanya kepada seorang staf di situ. Dan, aku mengetahui kakak itu telah mengalami keguguran dan dimasukkan ke wad. Lalu hari ini aku tumpang bersedih.

Aku pernah dengar mengenai gila meroyan. Aku juga pernah mendengar mengenai mabuk kepayang, kerana aku pelajar termuda di dalam kelasku, yang sentiasa kesunyian tanpa teman sebaya, kerana harus belajar bersama-sama pelajar yang lebih tua, lebih dewasa, dan lebih matang. Teman sekelasku ada yang sebaya ibuku. Ada pula yang datang dengan kereta mewah seperti Ferrari. Mereka orang berada, hidup dengan pendapatan yang tinggi.

Jadi, aku mahu mencatat sesuatu di sini. Panjangkah catatan ini? Wajarlah aku kembali mengulangkaji pelajaran selepas ini. Sebelum itu, ada satu kisah lagi.


Episod 2: Seorang Sarjana Menulis Novel

Sarjana ini sedang menulis novel. Dia sudah menyelesaikan urusan akademiknya dalam bidang Sarjana Matematik. Mungkin tidak lama lagi dia akan melanjutkan pelajaran di peringkat Doktor Falsafah pula. Aku rasa, Romantis Selatan pasti mengenali sarjana ini.

Dahulu, sarjana ini sekelas dengan Romantis Selatan. Romantis Selatan pernah memberitahu aku, bagaimana pada suatu ketika, dia menunggu berjam-jam di depan pintu bilik sarjana ini (yang ketika itu belum lagi seorang siswazah), semata-mata mahu mengulangkaji pelajaran bersama-sama. Sarjana ini terkenal pandai dalam bidang Matematik. Sarjana ini menganggap kehadiran Romantis Selatan sebagai satu bebanan, lalu membiarkan dia keseorangan di luar bilik. Kerana hal itu, Romantis Selatan berasa sangat kecewa, lalu, dia pulang dalam keadaan yang sangat sedih. Beberapa hari kemudian, sarjana ini menemui Romantis Selatan dan memberikan beberapa set skema soalan peperiksaan akhir subjek-subjek Matematik pada tahun-tahun sebelumnya. Kisah ini ada disebutkan di dalam salah satu catatan Romantis Selatan.

Petang kelmarin, aku sempat makan tengah hari bersama dengan sarjana ini dan seorang lagi kenalan yang juga merupakan seorang imam muda. Pertemuan ini tidak dirancang. Pada masa yang sama, aku sempat berbual dengan penyelia projek akademikku, dan aku berasa bersyukur kerana penulisan tesisku tidak ada apa-apa masalah.

Kali ini kami berbincang mengenai penulisan. Sarjana ini sudah menulis tujuh bab untuk novel pertamanya. Dia memberitahuku penulisannya itu sekadar suka-suka sahaja. Daripada perbualan kami, aku mengetahui dia sedang menulis jibunsyi. Dia belum bekerja tetap, barangkali dia berperanan sebagai seorang pembantu pengkaji. Oleh kerana tidak ada pekerjaan yang boleh dibuatnya sesudah selesai pengajiannya di peringkat sarjana, dia mula menjadikan penulisan novel sebagai hobi.


Episod 3: Kisah Seorang Kakak Yang Keguguran dan Kisah Seorang Pelajar Sarjana Matematik

Sarjana ini tidak begitu arif mengenai penulisan tetapi itu tidak memutuskan usahaku untuk mencungkil maklumat aktiviti penulisannya. Sebelum ini, aku pernah mengusulkan kepada kakak yang keguguran itu untuk menulis buku atau apa-apa novel. Aku tertarik dengan kemahiran membaca yang dimiliki kakak itu. Namun kakak itu sentiasa sibuk siang dan malam, menjadikannya sebagai alasan untuk tidak dapat menulis novel. Aku redha. Sekarang aku menemui seorang lagi bakal penulis yang boleh aku perkenalkan kepada salah satu penerbit. Kali ini seorang sarjana Matematik.

Sebenarnya, aku sentiasa tidak lupa untuk mencari prospek-prospek baru dalam bidang penulisan, untuk diperkenalkan kepada dua syarikat penerbitan yang aku sayangi. Kedua-dua orang ini, seorang kakak yang keguguran dan seorang sarjana Matematik, barangkali berpeluang menjadi penulis buku atau novelis. Siapa tahu?

Lalu, aku tamatkan catatanku di sini. Salam peperiksaan.