BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, Mac 04, 2008

Jika Tidak Dapat Bercakap, Menulislah Untuk Menajamkan Akal


Sebentar tadi, Amiene Rev sempat bertemu dengan sahabat baiknya, Romantis Selatan. Panggilannya, South. Nampaknya South ada masalah untuk berbicara dan berbual-bual. Dalam beberapa minggu lagi dia perlu bercakap di depan orang ramai. Kerana sudah agak lama dia tidak dapat bercakap-cakap dengan orang lain, maka, dia kurang yakin untuk berbicara. Dia bimbang kerana sudah lama tidak bercakap, menyebabkan otot-otot pipinya terasa kejang, bibirnya terasa berat dan lidahnya terasa beku. Senyuman pun sangat sukar untuk diukir.

Amiene Rev mencadangkan beliau supaya menggunakan tulisan untuk menggantikan percakapan. Dengan menulis, otak akan terus berjalan dan akal akan semakin tajam dan jiwa akan semakin yakin untuk berbicara. Ini pasti akan membantunya dalam dua perkara penting yang memerlukan dia bercakap di depan orang.

"Gunalah laras bahasa yang betul supaya bahasa percakapan kita nanti, menjunjung Bahasa Melayu dengan betul."

South keberatan untuk menulis di blognya. Baginya, sudah tidak ada apa-apa cerita yang menarik untuk diceritakan di sana. Dia sedang menunggu masa untuk menerbitkan tulisan-tulisannya dalam bentuk novel. Amiene Rev telah diamanatkan untuk menulis kisah hidup Romantis Selatan. Ini, sebenarnya satu tanggungjawab yang berat. Beberapa persetujuan telah dibuat dan isi kandungan persetujuan itu cukup rahsia.

"Saya akan meninggalkan tempat ini tidak lama lagi. Jaga diri baik-baik..." Pesan Amiene Rev kepada South. Masa cuma tinggal beberapa bulan lagi, untuk Amiene Rev membawa diri.

Romantis Selatan juga, tidak tahu apa yang akan berlaku kepada dirinya nanti. Masing-masing akan membawa diri, mengejar cita-cita seterusnya. Barangkali akan ada sahabat baru. Dikatakan, setiap tempat yang dijejaki Amiene Rev, pasti berlaku perubahan. Sebab itu, 'Rev' yang dipikul di belakang namanya, membawa pelbagai maksud, terutama 'semangat' dan 'perubahan'.

Itu kisah beberapa bulan lagi. Amiene Rev akan kembali sibuk dengan perjuangan-perjuangan terakhirnya di sini. Maka entri ini dipaparkan lebih awal hari ini, untuk hari esok.