BLOG DUKE AMIENE REV

Khamis, Mac 06, 2008

Ulasan Filem: Duyung - Filem Pencinta Alam Sekitar

Filem Duyung - Filem Pencinta Alam
Pengulas Filem: Amiene Rev


Sinopsis:
Filem Duyung mengisahkan seorang pemuda Orang Laut bernama Jimmy (lakonan Saiful Apek) yang mencintai alam sekitar. Boleh dikatakan hampir setiap hari, Jimmy dan beruk peliharaannya, Orix (lakonan Yasin Senario) akan mengelilingi Pulau Maiga dan Pulau Mabul untuk membersihkan sampah-sarap yang terapung-apung di permukaan air laut. Jimmy percaya dengan cerita ibunya bahawa ikan duyung akan datang ke pantai yang bersih. Kerana terlalu percaya akan cerita duyung itu, Jimmy dianggap oleh orang-orang kampungnya sebagai gila. Hal ini menyebabkan ayah Jimmy berasa malu dan tidak senang hati. Tanpa disedari, sejak kecil lagi, seekor duyung betina bernama Puteri, sering mengintip perbuatan baik Jimmy membersihkan pantai.

Jimmy mencintai Aspalela (Yasmin Hani), anak dara Wak Pagek. Walaupun kehadiran Jimmy amat disenangi oleh ibu Aspalela (Rosnah Mat Aris), namun, Wak Pagek sangat tidak menyenangi Jimmy. Wak Pagek lebih menyenangi Kordi (lakonan Awie) yang berbadan sasa dan pandai menangkap ikan.

Suatu hari, Wak Pagek mencabar Jimmy supaya memiliki tanah terlebih dahulu sebelum dia dapat menikah dengan Aspalela. Jimmy pun menyahut cabaran Wak Pagek. Dia membina sebuah pulau di depan rumah Wak Pagek, dengan menghimpun sampah-sampah yang telah dikutipnya di sekeliling pulau, menambak papan dan pasir sehingga menjadi sebuah pulau buatan. Di pulau itu pula dibinanya sebuah pondok kecil dua tingkat dan dihiasi dengan pokok-pokok.

Wak Pagek perlahan-lahan dapat menerima kehadiran Jimmy. Kordi yang berasa cemburu mula berbuat khianat terhadap Jimmy. Dia mahu mengadakan pertunangan dengan Aspalela secepat yang mungkin. Ketika ini juga, seekor duyung bernama Puteri (lakonan Maya Karin) muncul dan memberikan seketul kulit siput yang cantik dan berfungsi seperti semboyan. Apabila kulit siput itu ditiup, Puteri akan muncul.

Maya Karin meminta Jimmy berjanji supaya tidak mendedahkan rahsia kehadirannya di kepulauan itu, tetapi kerana perasaan mahu membuktikan kisah duyung itu benar, Jimmy memungkiri janji. Tindakan Jimmy itu telah menyebabkan dia dihina dan dicerca kerana dianggap menipu orang kampung apabila Puteri tidak muncul walaupun kulit siput telah ditiup beberapa kali. Ayah Jimmy berasa sangat malu dan memarahi Jimmy.

Jimmy yang sudah dianggap gila oleh orang kampung termasuk ayahnya sendiri berasa sangat kecewa. Puteri berjaya memujuk Jimmy dan membawa Jimmy ke tempat kediamannya. Jimmy diberikan harta karun tetapi dia menolak. Puteri walau bagaimanapun tetap mahu memberikan Jimmy harta karun tersebut. Jimmy menjadi seorang hartawan dan dermawan secara tiba-tiba. Hal ini mendatangkan rasa pelik dan curiga di hati Kordi.

Kordi akhirnya berjaya menangkap Puteri untuk dijual kepada seorang pemilik taman tema dengan nilai satu juta ringgit. Pendedahan Puteri kepada orang-orang kampung menyebabkan ayah Jimmy mula menyedari kebenaran kata-kata Jimmy. Apabila Jimmy mendapat tahu bahawa Puteri sudah ditangkap, dia pun menyelamatkan Puteri. Sejak itu Puteri tidak kelihatan lagi di kawasan kepulauan itu.

Jimmy kekal sebagai seorang hartawan dan dia telah membuka sebuat pusat pelancongan. Tanpa disedarinya, pada suatu hari, Puteri telah datang mengunjunginya dengan seekor duyung jantan. Jimmy pula telah berkahwin dengan Aspalela. Selaku seorang hartawan, Jimmy telah meluaskan tanggungjawab menjaga kebersihan pantai dengan mengupah beberapa orang pekerja, termasuk Kordi untuk membantunya.


Sepintas Lalu: Duyung dan Dugong
Pernahkah anda mendengar mengenai kisah seekor dugong bernama Si Tenang? Si Tenang adalah seekor dugong peliharaan Pak Atan. Pada tahun 1999, Pak Atan telah menemui Si Tenang ketika sedang mencari kupang, dan telah memeliharanya selama 41 hari. Pihak Jabatan Perikanan Johor telah mengarahkan Pak Atan supaya melepaskan Si Tenang kembali ke laut tetapi selepas 40 jam mamalia laut itu dilepaskan, satu kisah tragedi pun bermula. Si Tenang yang dianggap sebagai pembawa rezeki buat keluarga Pak Atan telah ditemui mati.

Kisah Si Tenang tidak berakhir begitu sahaja apabila seekor ibu dugong ditemui mati pada 14 Mac 1999. Spekulasi timbul apabila ibu dugong itu dikatakan mati kerana sedang mencari anaknya, seekor bayi dugong. Lebih mengharukan apabila ibu dugong itu dikatakan mencari Si Tenang. Kes kematian dugong ini mendapat perhatian ahli-ahli Parlimen dan ada dibicarakan di dalam mesyuarat pertama, parlimen kesembilan, penggal kelima iaitu pada 12 April 1999.

Semua mamalia merin termasuk dugong dilindungi di bawah Seksyen 27 Akta Perikanan 1985. Dugong turut juga disenaraikan sebagai salah satu daripada binatang liar yang dilindungi sepenuhnya mengikut Jadual Satu, Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 (Akta 76) Pindaan 1991
. Kisah penemuan Si Tenang telah menggemparkan rakyat Malaysia di mana Si Tenang dikaitkan dengan kepercayaan mengenai ikan duyung selama ini. Mungkin duyung yang diceritakan orang sebelum ini adalah dugong. Penemuan dugong bernama Si Tenang ini telah menyebabkan cerita ikan duyung semakin popular.

Ulasan:
Filem Duyung yang sangat sesuai ditonton seisi keluarga ini mempunyai jalan cerita yang ringkas dan tidak berbelit-belit. Kekuatan cerita ini terletak pada lakonan Saiful Apek sebagai Jimmy, dan keistimewaan Maya Karin sebagai ikan duyung. Antara perkara yang menarik di dalam cerita ini adalah mesej yang dibawanya. Usaha Jimmy dan Orix membersihkan kawasan perairan di tempat tinggalnya merupakan satu teladan yang menarik. Jalan ceritanya telah berjaya mempengaruhi ramai penonton supaya mengambil berat dengan soal-soal kebersihan. Saya mendapati ramai penonton yang tidak lupa untuk membawa keluar sampah-sampah seperti bekas minuman dan makanan keluar dari panggung selepas menonton filem ini.

Babak di mana Jimmy dan Orix membina pulau buatan juga sangat mengujakan. Sampah-sarap dihimpun menjadi sebuah pulau, dengan pondok dan tumbuh-tumbuhan. Ini merupakan salah satu tarikan di dalam filem ini. Siapa tahu, idea membangunkan pulau buatan dengan memanfaatkan barang-barang terpakai mungkin boleh diubahsuai secara lebih inovatif pada masa akan datang?

Saya berpendapat, watak Jimmy sebagai seorang pencinta alam sekitar, seorang dermawan dan berjiwa mulia sendiri merupakan tarikan paling utama di dalam cerita ini. Dapat dilihat secara logik, kenapa ibu Aspalela, Aspalela dan ibu Jimmy sendiri menyukai Jimmy biarpun Jimmy dianggap gila oleh kebanyakan penduduk setempat.

Menerusi filem ini, anda akan dapat melihat komitmen dan kesungguhan Maya Karin sebagai pelakon. Anda mungkin terharu melihat mata Maya Karin yang mulai merah akibat dimasuki air laut yang masin, lagi memedihkan mata. Mata merah Maya Karin jelas dapat dilihat ketika beliau di dalam gua harta karun. Maya Karin sebelum ini pernah belajar berenang dan kemahirannya itu telah ditonjolkan di dalam filem ini. Kita mungkin pernah terdengar bagaimana Saiful Apek menyelamatkan Maya Karin daripada lemas di laut kerana kakinya terperangkap di celah-celah batu karang sekitar tahun lalu. Nampaknya Maya Karin telah menyabung nyawa untuk filem ini. Kesungguhan beliau memainkan peranan sebagai Puteri wajar diberi pujian.

Dari segi penggambaran pula, tahap penggambaran filem ini adalah biasa sahaja, tetapi latar belakang perkampungan Orang Laut menjadikan cerita ini kelihatan unik berbanding filem-filem Malaysia yang pernah ditayangkan sebelum ini. Filem Duyung arahan Prof. Razak Mohaideen ini bukanlah filem berkisahkan ikan duyung yang pertama dalam sejarah filem Malaysia. Sekitar tahun 1964, Cathay-Keris Film telah menerbitkan sebuah filem rakyat berjudul Air Mata Duyong. Di dalam filem arahan M. Amin ini, Awang Jermal telah jatuh cinta dengan puteri raja bernama Engku Suraya. Akibat percintaan yang melibatkan soal perbezaan darjat itu, Engku Suraya telah disumpah menjadi ikan duyung. Namun, tema cinta tidak begitu diangkat di dalam filem Duyung. Penekanan filem ini adalah dari aspek moral dan ini merupakan suatu tindakan yang sangat disenangi.

Lagu tema Duyung rata-rata mendamaikan dan sesuai dengan jalan ceritanya. Biarpun sekali-sekala terdapat perkara yang kurang dianggap logik di dalam cerita ini seperti kelengkapan menyelam, skuba dan bahasa percakapan Orix yang dapat difahami Aspalela, tetapi sebagai sebuah filem komedi, kesemua itu menjadikan cerita ini lebih menarik dan mencuit hati penonton.

Kesimpulannya, filem Duyung terbitan KRU Films Sdn. Bhd dan Line Clear Motion Pictures ini merupakan sebuah filem teladan yang mencuit hati. Watak utama yang berjiwa murni lakonan Saiful Apek berupaya menyampaikan mesej supaya menjaga kebersihan alam sekitar. Peranan Maya Karin sebagai ikan duyung yang menyukai tindakan Jimmy menjaga kebersihan merupakan suatu ganjaran moral di dalam filem ini. Sebuah filem bergenre fantasi romantis komedi yang wajar mendapat pujian dan sesuai ditonton seisi keluarga.


Fakta Filem Duyung:

Penerbit :
KRU Films Sdn. Bhd; Line Clear Motion Pictures

Pengarah :
Prof. Razak Mohaideen

Pelakon:
Saiful Apek, Yassin Senario, Awie, Maya Karin, Yasmin Hani, Rosnah Mat Aris

Genre :
Fantasi - Romantik - Komedi

Tarikh Tayang:
6 Mac 2008


LAGU TEMA FILEM DUYUNG
Original Soundtrack - OST Duyung

Aspalela
Hampir Ke Situ
Kenapa Singgah Kalau Tak Masuk
Bila Terasa Rindu Datanglah Kekasih
Teramat Sangat Jikalau Aku
Masih Mencari
Gadis Misteri Yahoo - Duyung & Dugong

-0-

LAMPIRAN BERITA: UTUSAN MALAYSIA
TAMAN LAUT PASIR GUDANG

Oleh: AINOL AMRIZ ISMAIL

KHAMIS, 18 MAC 1999: Penemuan terbaru bangkai spesies ikan dugong di perairan Selat Tebrau 14 Mac lalu menimbulkan banyak spekulasi, adakah ia ibu kepada bayi dugong - Si Tenang yang turut ditemui mati terapung di perairan sama, minggu lalu. Dan, semalam ditemui seekor lagi dugong dipercayai jantan di antara Pulau Tekong-Changi, Singapura kira-kira 10 batu nautika dari Pelabuhan Johor.


Ini sekali gus menjadikan kawasan perairan berhampiran Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang dan sekitarnya yang dahulunya hanya perkampungan nelayan, kini bakal melalui proses menarik, bila ia mungkin menjadi Taman Laut, jika dipersetujui kerajaan negeri. Tetapi sekiranya ini benar dan kerajaan dapat mewartakan kawasan perairan Selat Tebrau dan Kampung Pasir Putih sebagai Taman Laut, bermakna tiada lagi aktiviti nelayan dapat dilakukan di kawasan berkenaan. Ia turut menyaksikan kawasan itu dijaga dengan rapi serta kehidupan akuatik yang tidak terganggu supaya dapat dilakuan kajian dan penyelidikan serta bakal menghasilkan sesuatu yang menarik dalam industri pelancongan negara. Jika benarlah kedua-dua spesies ikan dugong ini ditemui 'berkampung' dalam kawasan perairan itu, maka tidak mustahil kita juga akan menemui banyak lagi spesies dugong di masa akan datang.


Maka, satu pengwartaan kawasan itu sebagai lokasi pelancongan akuatik perlu difikirkan oleh semua pihak agar spesies ikan ini tidak pupus dan generasi kita dapat menikmati kehidupan sejagat kaum mamalia yang baru dikenali ini. Bagaimanapun, ada juga yang mengatakan spesies ini telah lama berenang di perairan Selat Tebrau dan ia dilihat kerap kali oleh Orang Asli di kawasan berkenaan. Namun tiada pihak yang berani mengesahkan sehinggalah ia ditemui oleh nelayan, Pak Atan sekeluarga serta penemuan bangkai spesies itu oleh pekerja Malaysian Towerage Transports Sdn. Bhd., Ibrahim Any dan Nasaruddin Johari. Melihatkan betapa besarnya potensi mamalia yang dikatakan daripada genre 'Halophila & Halodule' yang mana spesies rendah kandungan fiber serta tinggi kandungan nitrogen ini.


Maka satu syor perlu dibuat, baik daripada kerajaan negeri, mahupun Persekutuan supaya spesies ini dapat membiak dengan sempurna di perairan negara. Sebelum ini pun, kita tidak mengetahui wujudnya dugong dalam perairan Malaysia selain anak ikan jerung, yang juga daripada keluarga paus. Jelas, jika benarlah dugong ini memberi satu rezeki kepada negara, maka beberapa perancangan saintifik perlu dilakukan ke atas spesies ini yang masih tidak diketahui di mana ia berada dalam perairan negara. Seperti National Geographic, satu rancangan dokumentari yang cukup berilmiah dan sentiasa mengkaji kehidupan sejagat, maka tidak hairan jika kita turut menjadikan spesies dugong sebagai bahan kajian di peringkat antarabangsa.


Perairan yang kaya dengan pelbagai khazanah ini, perlu diterokai untuk mengetahui kehidupan di dalamnya, selain melihat sendiri keupayaan dugong ini berfikir dan menjalani kehidupan berkeluarga. Dugong mempunyai gaya renangan dengan menggunakan ekor untuk pergerakan atas dan bawah serta menggunakan sirip di hadapan untuk memperseimbangkan badan dan ketika melakukan pusingan. Dugong sebenarnya lebih mirip kepada kehidupan ikan dolphin dan boleh membesar sehingga 3 meter dengan berat 400 kilogram. Oleh kerana binatang ini sejenis mamalia, mereka perlu bernafas di permukaan air dan di sinilah letaknya keunikan itu apabila dapat ditonton oleh pelancong jika industri pelancongan akuatik menjadi kenyataan. Biarpun sejak penemuan itu sehingga tersebarnya berita di akhbar, banyak pihak yang bergolak dan masing-masing memperagakan undang-undang dan peraturan supaya dugong pertama, Si Tenang - nama yang diberikan oleh penemunya, Atan Husin, dibebaskan.


Begitupun, Si Tenang yang tidak mengerti apa-apa, menerima kenyataan itu dengan harapan, si ibu dan si bapa akan ditemui sebaik dilepaskan ke laut dalam. Tetapi selepas satu lagi bangkai dugong ditemui kira-kira 500 meter dari rumah Pak Atan, ia membuat satu andaian lain, bahawa bangkai itu mungkin ibu Si Tenang. Tetapi kisah kasih sayang antara Pak Atan dan Si Tenang ini, mungkin bukan pertama kali ditemui pembaca. Bahkan sebelum ini banyak kisah seumpamanya yang tidak diketengahkan. Cuma bezanya, Si Tenang adalah seekor ikan dan dugong adalah spesies yang semakin pupus dan tertakluk kepada beberapa akta. Keistimewaan dugong ini semakin menarik apabila hasil bedah siasat yang dilakukan oleh Pengarah Makmal Vaterinar Johor, Dr. Nurlidah Othman mendapati ada persamaan organ ikan itu dengan manusia. Jelas, dugong yang sudah mati itu sekali pun masih menjadi rebutan di antara pihak Zoo Negara, Muzium Negara dan Jabatan Perikanan sendiri yang mahu mengawetnya sebagai satu sejarah tanah air. Tetapi, cerita yang lebih menarik di sebalik perjuangan dugong untuk terus hidup itu ialah semangat yang ditunjukkan oleh keluarga Pak Atan dalam pertahankan kehendaknya memelihara Si Tenang. Inilah yang menjadikan watak Pak Atan cukup terkenal sebagai manusia yang begitu cintakan hidupan liar dan sebab itulah perkongsian perjuangan nelayan ini dirasai oleh seluruh rakyat negara ini.


Perjuangan Pak Atan sepatutnya dikenang kerana jarang kita bertemu manusia yang sanggup bertegang urat mempertahankan peliharaannya, kecuali keluarga nelayan dari Kampung Pasir Putih ini. Sebab itulah Pak Atan sanggup menolak permintaan Singapura Waterworld memilikinya dengan kos S$30,000. Tetapi hari ini, Pak Atan bukan sahaja tidak dapat memiliki wang itu, tetapi juga tidak dapat memelihara Si Tenang dan lebih menyedihkan Pak Atan yang sebelum ini dibenarkan melupuskan dugong itu, juga tidak ditunaikan janjinya. Biar apapun kisah Pak Atan, dugong yang menjadi spesies 'buruan' semua pihak perlu mempunyai satu lagi peruntukan undang-undang dan kali ini memastikan semua organ dalam badan tidak diperagakan oleh mana-mana pihak. Kita tidak mahu ada pula spesies dugong yang ditemui mati kelak akan menjadi bahan awet oleh individu yang tidak bertanggung jawab.


Sekadar melahirkan rasa bimbang, organ yang menyerupai manusia itu nanti akan dijadikan bahan untuk perubatan tradisional termasuklah kononnya mendapatkan air mata ikan dugong (ikan duyung) sebagai ubat pengasih. Justeru pengawetan yang akan dilakukan oleh Zoo Melaka ke atas Si Tenang tidak lama lagi, diharap memenuhi impian kita semua untuk melihat lebih dekat organ dalam badan ikan tersebut selepas ia disimpan di Jabatan Perikanan Johor untuk pameran. Selain itu juga ikan dugong yang biasanya ditemui di perairan Australia antara Shark Bay di barat Australia sehingga utara ke Moreton Bay, Quensland telah dianggarkan jumlah kira-kira 80,000.


Ikan dugong biasanya boleh hidup sehingga 70 tahun dan setiap kali mengandung anak dugong ia akan mengambil masa selama 13 bulan sebelum melahirkannya. Kebanyakan yang lahir itu pula biasanya dicatatkan pada sekitar bulan September hingga November dan di perairan yang tidak deras, jauh dari kawasan rumput laut. Bagaimanapun akibat pemupusan dugong yang menjadi makanan kepada sebahagian penduduk di luar negara, ia kini menjadi spesies yang dilindungi oleh Tabung Dana Kehidupan Liar (WWF). Kini banyak pihak perlu menyediakan Pelan Tindakan, jika benar dugong ini mampu memberikan satu lagi daya tarikan kepada pelancongan negara. Mengapa mesti kata tidak, jika kita tidak berani mencuba dan mengapa mesti mengalah, jika kita mahu kejayaan dari Projek Dugong yang bakal diadakan tidak lama lagi.


Jika kerajaan Australia berjaya mewartakan kawasan Great Barrier Reef dan Hervey Bay sebagai kawasan perlindungan ikan dugong di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar Queensland 1992, maka kita juga harus melakukan sesuatu untuk melindungi ikan dugong yang berada dalam perairan Malaysia selain Akta Perikanan dan Perhilitan yang sedia ada. Begitu juga, perlu ada larangan kepada mana-mana penggemar memancing supaya tidak sekali-kali cuba menangkap ikan yang dilindungi ini.


Oleh yang demikian, apa sahaja tindakan kerajaan berhubung penemuan dua spesies ikan dugong ini, ia akan menjadi satu titik sejarah kepada analisis akuatik tanah air. Dugong merupakan ikan yang jinak dan bukan daripada jenis mamalia yang ganas tetapi manja. Marilah bersama-sama menyelamatkan spesies ikan dugong ini dan pastinya kita tidak mahu melihat ada lagi spesies dugong yang 'karam' di perairan Selat Tebrau.


Lain-lain rujukan berkaitan Kisah Si Tenang - Bayi Dugong