BLOG DUKE AMIENE REV

Jumaat, Mac 14, 2008

Hujan Setiap Hari 4 - Melihat Dunia Dalam Kedinginan

Pernahkah suatu ketika, kamu duduk diam seolah-olah patung batu, mengingati orang-orang yang telah meninggal dunia? Kamu mungkin berasa sedih dan sunyi. Jika kamu tidak berasa sedih, maka pasti orang yang sedang kamu ingati itu, bukan orang yang kamu sayang. Tidak ada rasa sayang, maka tidak akan ada rasa sedih.

Bagaimana pula, sekiranya kamu rasa susah hati atau tidak puas hati? Pasti, orang yang meninggal dunia itu, memiliki kepentingan buat diri kamu. Sebab itu kamu rasa susah hati atau tidak puas hati.

Hari ini penulis mahu bercerita mengenai Amiene Rev dengan empat orang yang disayanginya. Empat orang ini sudah lama tiada. Setiap kali hujan, Amiene Rev berasa sayu. Hujan itu rahmat, tetapi pada hari hujan jugalah berlaku kisah-kisah sedih.

Empat orang? Empat orang itu terlalu ramai. Empat kehilangan sudah boleh dianggap banyak. Empat kisah dalam satu entri. Terlalu panjang karangannya nanti. Nanti pembaca pening. Penulis bercadang menulis satu kisah sahaja. Harap-harap pembaca tidak pening. Jika mereka pening, mereka tentu tidak mahu datang baca lagi.

Mengimbas kembali kenangan ketika Amiene Rev berusia sekitar 8 tahun:

Ketika itu ada seorang teman. Waktu itu teman itu sedang demam. Badannya panas. Tulang-tulangnya seolah-olah sudah patah. Ada orang kata teman ini digigit ular. Ada pula kata teman ini dilanggar lari. Teman ini bisu. Tidak ada bicara. Hujan turun lebat. Tidak ada cahaya matahari. Amiene Rev benar-benar berharap matahari itu akan kembali bercahaya di balik awan.

Hari bertambah dingin. Hujan, basah, licin, lebam dan luka. Semua ini adalah elemen hujan. Amiene Rev mengambil daun kapal terbang, dibasahkan dan diletakkan di atas dahi teman ini. Teman ini dibiarkan tidur. Harap-harap esok pagi, sudah sembuh. Sudah boleh tersenyum.

Pagi. Pagi itu dingin. Amiene Rev bangun awal. Kabus masih belum menghilang. Amiene Rev datang mencari teman ini. Teman ini sudah kaku. Tidak bernyawa lagi. Sejuk badannya. Sendi-sendinya sudah keras, tidak dapat dibengkokkan lagi. Sudah mati. Sudah tidak ada lagi di dunia ini. Sudah pergi jauh, jauh dari sini. Tidak ada sesiapa pun yang sedar apa yang telah berlaku.

Amiene Rev diam tidak bersuara. Dia meletakkan tangannya pada kepala teman itu. Merasa betapa sejuknya dahi. Melihat mata yang sudah tertutup, dengan riak menahan sakit jemputan sakaratul maut. Amiene Rev diam lagi. Dia melihat kematian lagi. Dia merasai kehilangan lagi. Pada masa begini, kenangan manis bangkit berlagu dalam peti ingatan.

Guruh berdentum. Hujan turun tiba-tiba. Langit pun tahu bersimpati juga. Langit pun ada perasaan seperti manusia juga. Bukankah langit itu sangat taat pada perintah Allah?