BLOG DUKE AMIENE REV

Jumaat, Mac 21, 2008

Evolusi KL Drift - Padat dengan Aksi Asli dan Pelakon Hebat

Ulasan Filem Evolusi KL Drift
Pengulas: Amiene Rev

Sinopsis:
Filem yang sesuai untuk ditonton oleh semua peringkat umur ini mengisahkan persahabatan dua orang sahabat, Zack (lakonan Syamsul Yusof) dan Sham (lakonan Farid Kamil) yang dahulunya seperti isi dengan kuku, menjadi rapuh akibat konflik Zack dengan Fasha (lakonan Fasha Sandha). Zack menyangka Fasha mempunyai hubungan dengan Sham, sedangkan Sham sebenarnya cuma menunaikan janjinya untuk membantu memulihkan hubungan Zack dan Fasha, biarpun Sham nyaris-nyaris jatuh cinta dengan Fasha.

Zack yang berperwatakan ego, suka berterus terang, kuat mengungkit kebaikannya terhadap orang, kuat mengongkong dan mengawal orang lain, manakala Sham si hati murah, dan sering mengalah terhadap Zack, merupakan dua hero yang menghidupkan jalan cerita ini.

Kekacauan di dalam hubungan Zack dan Fasha bermula apabila Zack menegah Fasha daripada terus bergaul dengan budak-budak pengedar dadah yang didalangi oleh Joe (lakonan Aaron Aziz) dan Karl (lakonan Iqram Dinzly yang rupanya kadang-kadang kelihatan seperti Mawi apabila dia membotakkan kepalanya di dalam Dunia Baru). Zack memukul anak buah Joe yang cuba menganggu Fasha, dan hal ini menyebabkan Joe dan Karl mula bermusuhan dengan Zack.

Fasha, yang berasa dirinya dikongkong oleh Zack telah mengambil keputusan untuk memutuskan hubungannya dengan Zack. Zack meminta bantuan Sham supaya memujuk Fasha, menerima Zack kembali. Fasha yang mula mempercayai niat baik Sham mula menyukai Sham. Hal ini menyebabkan Zack mula berasa dirinya dikhianati oleh Sham. Hubungan Zack dan Sham menjadi semakin renggang.

Sementara itu, Zack juga telah bertaruh dengan Joe menerusi satu perlumbaan kereta. Mengikut perjanjian pertaruhan, sekiranya Zack menang, Joe dan anak-anak buahnya tidak boleh menjual dadah di tempat Zack, sebaliknya jika Joe yang menang, kereta Zack akan beralih tangan dan Joe bebas berbuat apa saja di tempat Zack.

Sham yang berasa risau dengan keselamatan Zack telah berkali-kali memperingati Zack, tetapi Zack tidak lagi dapat mendengar kata-kata Sham. Walaupun begitu, Sham akan sentiasa muncul ketika Zack di dalam kesusahan, sehinggalah pada suatu hari, seorang kawan Zack mati dibunuh oleh orang-orang Joe, dan Sham pula cedera parah dilanggar Joe kerana hendak menyelamatkan Zack dan Fasha daripada menjadi mangsa Joe.


Ulasan:
Rata-rata para pelakon di dalam filem ini seolah-olah telah melalui satu saringan pemilihan pelakon yang ketat. Saya tertarik dengan lakonan watak-watak utamanya. Pada pandangan saya watak Zack, Sham, Fasha, Joe dan Karl telah dimainkan dengan cukup baik. Watak Zack dimainkan dengan cukup cemerlang, biarpun saya tidak menyukai sikap negatif yang menguasai diri Zack. Lakonan Joe dan Karl juga menarik perhatian saya. Watak Karl mengingatkan saya kepada Faisal Hussein, tetapi masih mengekalkan identiti Iqram Dinzly. Aaron Aziz pula berjaya menjiwai watak jahat, angkuh dan tamak yang bersebati dengan jiwa Joe. Mungkinkah filem ini bakal merangkul banyak anugerah dari aspek pelakon terbaik pada suatu hari nanti?

Pergerakan kamera pada awal cerita, apabila melibatkan babak perlumbaan dan drift agak kalut. Saya sedikit pening melihat pergerakan kamera yang sekejap ke kiri dan sekejap ke kanan semasa hendak merakamkan babak-babak tersebut. Namun permainan kamera nyata semakin baik, sebaik perkembangan jalan cerita dan watak-watak utamanya. Saya mengakui terpukau dengan aksi drift yang dirakamkan semasa perlumbaan Zack dengan Joe, sehingga lupa dengan apa yang berlaku di sekitar saya. Nampaknya pengalaman jurukamera semakin meningkat menerusi filem ini. Ini satu perkembangan yang bagus. Bagaimanakah agaknya prestasi KL Drift 2 nanti?

Filem ini juga telah memanfaatkan latar belakang bandaraya Kuala Lumpur dengan baik, terdapat banyak mercu tanda bandaraya Kuala Lumpur dipaparkan di dalam filem ini. Cuma kadangkala saya tertanya-tanya kenapa terdapat begitu banyak kesan tayar kereta di atas jalan raya? Barangkali ada sebab-sebab tertentu. Namun, apa yang menjadikan filem ini lebih unik berbanding filem-filem perlumbaan kereta atau drift yang sedia ada ialah aksi aslinya. Sesuai dengan namanya, Evolusi KL Drift, terdapat banyak babak drift tidak kira semasa hendak memujuk si gadis, menyindir si kalah, menunjukkan kekuatan di atas jalan raya dan sebagainya. Sememangnya KL Drift!

Lagu latar KL Drift tidak begitu menyengat seperti Remp-It. Saya berharap agar ada rentak street dance dengan suara penyanyi hip-hop semasa babak-babak perlumbaan penting berlangsung. Namun kesesuaiannya dengan aksi lumba tidak boleh dinafikan.


Filem Evolusi KL Drift Mesra Polis:
Jalan cerita Evolusi KL Drift berjalan dengan lancar. Tidak tersekat-sekat. Tidak ada aksi kejar-mengejar antara pelumba haram dengan pihak polis. Sebenarnya saya bersetuju dengan cara ini biarpun ketiadaan elemen muda dan memberontak ini sedikit sebanyak telah mencacatkan daya tarikan pada filem ini. Saya berpendapat, KL Drift telah berjaya menjadikan pihak polis sebagai sahabat, dan bukannya musuh. Ini satu hasil penulisan skrip yang baik. Syabas, buat penulis skrip dan pengarah filemnya, iaitu Syamsul Yusof!

Saya sangat menyukai tindakan akhir yang dibuat oleh Zack, iaitu menghubungi pihak polis. Saya akan berasa tidak senang dengan filem ini sekiranya Zack terus-menerus mengambil tindakan tidak wajar dan menyembunyikan kegiatan jenayah yang dilakukan oleh Joe.

Watak Zack telah dibentuk dengan cukup baik. Zack yang terkenal dengan sikap egonya telah menyesal kerana sering menyakiti Sham sebelum ini. Watak utama yang keras hati telah berubah dan terbuka hatinya untuk mempercayai kebenaran bahawa Sham sememangnya seorang sahabat yang terbaik pernah ditemuinya. Dalam erti kata lain, tanpa watak Sham, watak Zack akan pincang. Watak-watak pembantu juga telah ditulis dan diterjemahkan ke dalam bentuk lakonan yang boleh dibanggakan. Peranan mereka menambahkan seri di dalam cerita ini. Setiap satu watak memiliki nilainya. Penulisan skrip yang hebat, dan lakonan yang bagus daripada semua pihak produksi filem.

Paparan imbas kembali secara hitam putih telah diwujudkan pada masa yang sesuai dan ini menambahkan kepercayaan saya bahawa skrip filem ini telah ditulis oleh seorang yang sangat terpelajar dalam bidang penulisan skrip filem.

Kesimpulannya, filem Evolusi KL Drift telah memenuhi kehendak filem lumba dan drift. Filem ini padat dengan lakonan hebat para pelakon handalan dan aksi-aksi drift yang asli. Satu lagi filem perintis yang perlu menjadi rujukan bagi pembuat filem lumba kereta bercorak drift, tidak kira dalam dan luar negara.

- FAKTA FILEM EVOLUSI KL DRIFT -


Pengarah Filem:
Syamsul Yusof

Skrip:
Syamsul Yusof

Para Pelakon Utama
Fasha Sandha: Fasha
Farid Kamil: Sham
Syamsul Yusof: Zack
Aaron Aziz: Joe


Para Pelakon Pembantu
Iqram Dinzly: Karl
Buzen Hashim: Zul
Rizal Ashraf: Muz
Xy: Razi
Hetty Sarlene: Vee
Diana Danielle: Sara
Nurhuda Mohd Ali: Sazzy
Mohd Shahril: Jay Jay (JJ)

Sinematografi:
Y. M. Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin

Penerbit:
Dato' Yusof Haslam (Skop Production Sdn. Bhd.)
Puad Onah (
Grand Brilliance Sdn. Bhd.)