Hujan Setiap Hari 2 - Kedinginan Membaluti Diri
Cuaca sangat sejuk. Amiene Rev sukar untuk menaip. Suhu di dalam bilik ketika ini barangkali, sekitar 23 darjah celcius. Sukar dipastikan, sudah beberapa kali dia tersalah taip. Petak-petak abjad pada papan kekunci terasa keras. Sudah dipijak dengan hujung jarinya, tetapi bukan semua abjad yang dikehendaki, terpapar di skrin. Ada yang malu untuk menampilkan diri di blog ini. Jari-jari seakan-akan beku. Tangan seolah-olah sudah lumpuh.
Semalam, dia dapat menaip entri yang cukup panjang. Hari ini, dia cuba memendekkan entrinya. Kedinginan menyebabkan dia tidak berminat untuk menaip. Ubi rebus. Ubi kayu rebus. Gula. Sira. Kelapa parut. Ketika kedinginan semakin membaluti diri, memori lama semakin jelas dalam skrin imaginasi. Sejuknya ini. Sejuknya hari ini.
Amiene Rev perlu membasuh baju-bajunya pada hari ini. Sudah sekian lama, dia tidak menggunakan mesin basuh. Semalam dia baru meminjamkan sebuah bukunya kepada seorang staf di universiti. Buku yang berjudul Ungu Karmila, karya Ramlee Awang Murshid. Amiene Rev sangat suka bercakap mengenai buku-buku novel Ramlee Awang Murshid. Dia bangga dapat menunjukkan barisan bahan rujukan yang digunakan di dalam buku itu. Apabila berbicara mengenai novel-novel Ramlee Awang Murshid, Amiene Rev suka berbincang mengenai fakta-fakta dan ilmu-ilmu yang diadunkan ke dalam buku itu. Inilah yang selalu disebarkan kepada orang-orang yang berminat dengan novel.
Hujan lagi. Hujan turun lagi. Tangan semakin terasa lemah. Amiene Rev belum makan apa-apa lagi. Dua hari lepas dia cuma menjamah mi segera siang dan malam. Malam tadi, baru ada selera untuk makan. Itu pun dia agak dingin. Nasi dingin tidak begitu menarik perhatiannya tetapi Amiene Rev menghabiskan juga makanannya.
Kenapa ya? Sejak seminggu lalu, hatinya terasa dingin. Seawal bulan Mac, dia terasa hatinya agak dingin. Namun digagahinya juga, dilawannya perasaan itu. Barangkali sudah sampai masanya untuk keluar ke suatu tempat yang jauh dari sini. Sudah lama tidak berjalan-jalan. Sudah berminggu-minggu tidak berjalan-jalan di tempat yang jauh.
Kedinginan terus membaluti diri. Sejuk. Lampau. Langit mendung. Baju perlu dibasuh. Biarpun kurang makan sejak beberapa hari ini. Selepas itu, kerja-kerja mesti diteruskan. Bukankah kita sedang berjuang? Bisikan hati Amiene Rev, menamatkan entri ini.
|