Terapi Menghargai Diri - Amiene Rev dan Sekolah Rendah
Lebih dua dekat lalu, seorang manusia separuh kacak dan separuh tampan bernama Amiene Rev telah mula bersekolah di sebuah sekolah rendah. Guru darjah pada ketika itu bernama Cikgu Bidah. Dia mengajar subjek Bahasa Melayu dan Matematik. Guru ini garang dan senjata penghukum muridnya digelar Pembaris Panjang Kuning Pisang.
Adapun Amiene Rev, sangat mudah popular, tidak kira di tadika atau pun di sekolah rendah, apatah lagi di sekolah menengah. Jika di sekolah tadika dia menjadi tumpuan, di sekolah rendah pun begitu juga. Amiene Rev cepat mendapat kawan biarpun pada ketika itu dia seorang yang pendiam. Apabila dia melukis, kawan-kawan akan mengerumuninya, ada pula yang meniru setiap benda yang dilukisnya. Amiene Rev bukannya suka mengeluarkan arahan, tetapi setiap kata-katanya dituruti kawan-kawannya. Bakat kepimpinan lahiriah ini sangat terserlah ketika usianya amat muda.
Ada seorang budak, namanya Azmi, cucu kepada Cikgu Bidah. Sekelas dengan Amiene Rev. Setiap kali ada perkara yang mengelirukannya, dia pun datang bertanya kepada Amiene Rev. Amiene Rev adalah seorang profesor, katanya.
Kehidupan dalam darjah satu sangat aman, sehinggalah Amiene Rev memasuki darjah dua. Ada sebuah kelas yang menyeramkan. Di dalam kelas itu ada seorang budak perempuan yang gemuk, besar dan bulat. Nama budak perempuan ini dirahsiakan. Budak ini sering membelasah budak-budak di dalam kelasnya. Dia mempunyai geng-gengnya yang tersendiri. Pada pandangannya, anak orang kaya harus berkawan dengan anak orang kaya. Hobinya membuli budak-budak yang lain. Di dalam kelas dialah ratu, dialah penakluk. Kerana ketinggiannya yang menyamai orang dewasa (orang dewasa yang rendah), tidak ada siapa yang berani melawan cakapnya. Satu tumbukannya mampu menerbangkan seorang budak.
Budak perempuan ini mengamalkan dasar yang korup. Dia membodek guru-guru untuk mendapat kuasa sebagai ketua darjah. Menjadi ketua darjah sahaja tidak mencukupi, dia juga menakluki kelas-kelas yang lain. Di depan guru dia sungguh bersopan, di belakang guru dia umpama syaitan. Kadangkala dibelinya guru-guru hadiah. Maka bertambah sukalah guru-guru kepadanya. Pengikutnya pula adalah budak-budak perempuan yang kaki mengampu. Ada seorang budak lelaki lembut mahu menyertai kumpulannya, tetapi ditolak ke longkang. Budak perempuan ini umpama Raksasa Wanita.
Amiene Rev tetap dianggap hero di dalam kelas. Dia menghiburkan kawan-kawannya. Amiene Rev sangat pandai berbuat lawak, selalu dipanggil tampil ke hadapan untuk menghiburkan kawan-kawan. Daya imaginasinya sangat tinggi dan idea-ideanya luar biasa.
Namun, suatu hari, Raksasa Wanita itu mendapat tahu mengenai kehebatan Amiene Rev. Dia mahu merampas populariti Amiene Rev. Baginya, semua orang mesti tunduk kepadanya. Amiene Rev tidak pernah berfikir hendak menjadi hero, atau pun mendapatkan kuasa. Amiene Rev juga mempunyai pendirian tidak boleh memukul perempuan. Jadi, bagaimanakah caranya untuk dia untuk menghadapi Raksasa Wanita ini?
Ketika itu di dalam kelas, Raksasa Wanita itu telah membelasah seorang budak lelaki yang sangat tinggi. Budak lelaki ini ketinggiannya sama dengan wanita raksasa itu, yang bererti, dia juga sama tingginya dengan orang dewasa (yang rendah). Lelaki itu dibelasah sehingga jatuh tergolek di atas kerusi-kerusi di dalam kelas. Dahinya terhantuk pada kaki meja. Budak lelaki itu kepeningan, pandangannya berpinar-pinar. Dia memegang dahi sambil memejamkan matanya menahan sakit.
Tujuan dia membelasah budak lelaki yang paling tinggi di dalam kelas Amiene Rev itu, tidak lain dan tidak bukan untuk menimbulkan rasa takut terhadap semua penghuni kelas itu. Wah! Raksasa Wanita itu sudah datang ke kelas Amiene Rev.
Raksasa Wanita itu membeliakkan matanya setiap kali dia mengubah sudut pandangannya. Dia memerhatikan murid-murid di dalam kelas itu, seorang demi seorang. Rupanya sangat garang, rambutnya terjurai panjang, diikat berselang seli seperti tali orang memanjat gunung. Sesekali, angin yang menyerbu masuk dari pintu, menyapa skirt biru gelap labuhnya.
"Kononnya, engkau seorang pelawak. Kau mesti berjanji untuk menghiburkan kami setiap hari, atau, kawan-kawan kau ini, aku pukul!"
Raksasa Wanita itu menjeling kepada seorang pengikutnya, yang juga merupakan seorang gadis kecil. Gadis itu yang memakai riben ungu, berambut ekor kuda, pergi mengambil pemadam papan hitam yang masih berdebu kapur putih, lalu mengetuk bahagian yang berdebu itu ke muka beberapa orang kawan Amiene Rev.
"Ini baru amaran!" Kata Raksasa Wanita itu. "Ingat!"
Raksasa Wanita itu lantas beredar sambil diikuti oleh pengikut-pengikutnya yang semuanya anak-anak orang kaya. Semuanya wanita. Seorang gadis kecil putih, menjeling ke arah Amiene Rev.
"Saya minta maaf, kamu tidak apa-apa?" Gadis itu meletakkan sekeping kertas yang berlipat ke atas meja berhampiran pintu. Sebelum beredar pergi, gadis itu sempat merenung ke arah Amiene Rev dengan wajah penuh rasa mahu bertaubat. Sungguh kasihan rupanya.
Azmi pun mengambil kertas itu dan membawanya kepada Amiene Rev. Lalu Amiene Rev pun membuka lipatan kertas dan membacanya. Kawan-kawan yang lain turut membaca, biarpun ada yang belum genap dalam soal-soal mengeja.
"Wah!" Semua pelajar di dalam kelas itu terperanjat. Apakah isi kandungan kertas berlipat itu sehingga menimbulkan kekecohan?
Kerana isi kandungan surat itu, langit akan kembali cerah, dan Raksasa Wanita akan tunduk menyembah bumi.
bersambung...
|