BLOG DUKE AMIENE REV

Isnin, Mac 17, 2008

Terapi Menghargai Diri - Amiene Rev dengan Surat Seorang Gadis

Hikayat Amiene Rev
Bahagian 2 - Bab 1
Penulis: Amiene Rev
Hakcipta Terpelihara (C) 2008

Kata orang, cinta tidak bertepuk sebelah tangan. Namun, adakah surat yang diterima oleh Amiene Rev daripada Murni, seorang gadis kecil berkulit putih, bermata cantik, berbibir merah itu adalah surat cinta?

Nah, tunggu dulu. Bukankah Amiene Rev dan kawan-kawannya dalam bahaya? Kerana nyawa kawan-kawannya, Amiene Rev harus menolak ke tepi kisah cinta daripada menguasai ruang di dalam sejarah hidupnya.

Raksasa Wanita, iaitu gadis berbadan besar, setinggi orang dewasa (yang rendah), lagi gemuk, lagi gedempol, berambut berjurai-jurai seperti tali untuk orang memanjat gunung, dengan skirt biru gelap labuhnya telah mengugut mahu memukul kawan-kawan Amiene Rev, sekiranya dia enggan membuat persembahan setiap hari di depannya. Adakah Amiene Rev akan memenuhi permintaan seperti itu?

Kawan-kawan Amiene Rev sudah mula berasa cemas. Mereka bimbang Amiene Rev akan diapa-apakan. Namun ada sesuatu di dalam surat si gadis itu yang mengganggu pemikiran Amiene Rev. Perenggan pertama surat itu mengatakan:
"Pada waktu rehat, tunggu saya di bilik guru, emak saya seorang guru muzik. Awak akan selamat di sana."
Adakah Amiene Rev akan menerima tawaran seperti ini? Adakah? Boleh jadikah? Kawan-kawan Amiene Rev sudah mula berasa gelisah. Sekiranya tawaran itu Amiene Rev terima, maka pasti mereka dalam bahaya. Amiene Rev lantas melipat surat itu, sebelum kawan-kawannya yang masih merangkak mengeja, membaca perenggan kedua. Baginya, surat itu pasti mendatangkan rasa takut kepada kawan-kawannya sekiranya dia membenarkan kawan-kawannya mengetahui isi kandungan surat itu, sepenuhnya.

"Jangan bimbang, kalian semua tidak akan apa-apa. Biar seketul tahi cicak pun, tidak akan saya biarkan mengenai badan awak semua, apatah lagi penumbuk gajah raksasa itu." Amiene Rev menenangkan kawan-kawannya.

"Tetapi, kalau awak buat begitu, pasti teruklah awak dideranya nanti," bantah seorang pelajar yang lain.

"Betul, betul itu. Saya pernah lihat bagaimana Raksasa itu meminta Mamat membuat persembahan di depannya, kemudian dia membaling kerusi ke arah Mamat kerana dia mengatakan Mamat tidak pandai menyanyi. Mamat pandai menyanyi tetapi..." Syuhada berasa sangat sedih. Dia menekup mukanya dengan kedua-dua belah tangannya sambil menangis tersedu-sedu.

Tiba-tiba, terbayang wajah Mamat yang masuk ke wad ICU tempoh hari. Mamat tidak berani bercakap apa-apa selain membuat kenyataan bahawa dia terjatuh dari tangga lipat ketika cuba memetik mangga. Dan sesungguhnya, Mamat adalah cinta monyet pertama Syuhada.

"Mamat bukan sahaja pandai menyanyi, malah sambil menyanyi dia boleh bergayut di dahan juga! Mustahil dia boleh terjatuh kerana memanjat pokok. Kasihan dia!" Tangisan Syuhada semakin kuat.

"Sebab itu alasannya dia jatuh dari tangga, kerana sekiranya dia jatuh dari pokok, itu sungguh mustahil bagi Mamat yang pandai memanjat pokok," ujar Rashid pula.

"Bukankah semalam Cikgu Bidah ada mengatakan, 'sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga? Sepandai mana pun Mamat memanjat, suatu hari dia akan jatuh ke tanah juga," ujar Nuraini pula.

"Oh, Nuraini, melompat dengan memanjat samakah maknanya?" Alfiat menyoal.

"Hentikan semua ini. Tidak ada maknanya semua ini. Bukankah sekarang kita semua dalam bahaya? Lupakah kalian bahawa kita semua sedang diancam Raksasa itu?" Azmi mencelah.

"Melompat itu seperti katak, memanjat itu pula seperti monyet." Nuraini menjawab, tidak mempedulikan Azmi.

"Apakah kaitannya dengan cinta monyet saya dengan Mamat!" Teriak Syuhada.

"Cukup! Cukup! Mari kita bincangkan strategi hari esok. Esok Amiene Rev perlu berdepan dengan Raksasa!" Marah Azmi.

"Amiene Rev, bagaimana keputusan kamu untuk esok? Menghiburkan Raksasa atau mendapatkan perlindungan daripada emak Murni?" Tanya Azmi.

"Kedua-duanya pun tidak," jawab Amiene Rev, tenang lagi bersahaja.

Kekecohan tercetus di kalangan budak-budak itu. Sudah terbayang bagaimana keadaan mereka pada esok hari, apabila tiba waktu rehat.

Azmi membayangkan dirinya dimasukkan ke dalam tong sampah, dan dipaksa berjalan keliling kelas. Rashid membayangkan dirinya disangkut pada kipas, dan kipas itu dibuka pada kelajuan peringkat empat. Nuraini membayangkan dirinya dimasukkan ke dalam almari yang gelap dan terdapat banyak labah-labah, juga lipas. Syuhada membayangkan bagaimana dia dipaksa memakan sayur bayam dengan banyak sehingga buncit, sedangkan dia tidak suka makan sayur. Alfiat pula, entahlah apa yang dibayangkannya sehingga terus terpengsan.

"Tidakkk!! Tidakkk!!!" Keempat-empat kawan Amiene Rev bertempik, seakan-akan mengigau sewaktu tidur. Masing-masing memegang kepala dan telinga, sambil menempik, sambil menggeleng-geleng kepala.

"Saya tidak boleh ponteng sekolah tetapi esok, sebelum sempat Raksasa itu mengenakan kalian, saya akan kembali untuk menyelamatkan kamu semua. Semuanya dengan panduan di dalam perenggan kedua surat ini. Ini rahsia, kerana Murni menyuruh saya merahsiakannya daripada kamu semua!"

Nampaknya, sebab itulah Amiene Rev tidak membenarkan kawan-kawannya membaca surat itu sehingga habis. Murni pasti berjaga-jaga, sebab dia takut ada orang melaporkan kepada Raksasa Wanita, bahawa Murni ada hasrat untuk membelot Raksasa Wanita.

Apakah isi kandungan surat itu sehingga Raksasa Wanita tersungkur menyembah bumi, dan kawan-kawan Amiene Rev terselamat daripada kezaliman yang menghantui mereka?

Bersambung...