26 MAC 2008 - Hari Amiene Rev Menerima Anugerah, Hari Ulang Tahun Kedua Romantis Selatan Menulis Blog
Sebagaimana Amiene Rev menguruskan laman blog salah seorang novelis sejarah terkenal Malaysia, Amiene Rev juga orang yang menguruskan laman blog Romantis Selatan. Tarikh 26 Mac 2008, merupakan tarikh ulang tahun yang kedua bagi blog yang ditulis oleh Romantis Selatan. Pada hari ini juga, Amiene Rev menerima anugerah. Anugerah ini seterusnya mengiktiraf pemikiran, idea, tindakan dan sumbangan Amiene Rev dalam pelbagai bidang melibatkan ko-kurikulum (sukan dan persatuan) , aktiviti-aktiviti pro-pendidikan dan pro-akademik.
Hari ini, Amiene Rev sempat menemubual seorang warga Iraq, berstatus Ph.D. Sebelum itu ada seorang budak perempuan bertudung dan berpakaian serba ketat melihat gerai orang Iraq itu. Dia lalu melaungkan Allahuakhbar tanpa sebab dan kemudian diketawakan oleh kawan-kawan perempuannya yang berbaju kurung. Entah kenapa tiba-tiba pelajar perempuan itu begitu bersemangat ya? Atau sudahkah dia terjatuh cinta dengan pelajar Iraq itu?
Pelajar Iraq itu menceritakan mengenai tamadun Hammurabi, yang menghumban dan membunuh kaum Yahudi di dalam lubang besar yang digali, dengan api yang menyala-nyala di dalamnya. Juga mengenai Taman Tergantung Babylon dan teknologi saliran air menerusi Ziggurat. Juga teknologi bunyi orang-orang Islam dahulu kala untuk melaungkan azan.
Amiene Rev juga diberitahu mengenai kubah-kubah masjid di Iraq yang diperbuat daripada emas dan makam Saidina Ali dan anaknya yang berada di dalam masjid.
Amiene Rev sempat bertanyakan pandangan pelajar Iraq tersebut mengenai status pentadbiran di negara Iraq. Pelajar itu memberitahu, dia tidak peduli lagi tentang Amerika atau Saddam, dia hanya peduli tentang pembangunan Iraq. Katanya lagi, dia mencontohi rakyat Malaysia, iaitu Melayu, Cina, India dan lain-lain bersatu di bawah nama Malaysia. Dia berpendapat, sekiranya rakyat Iraq masih memikirkan tentang keutamaan kaum mereka sahaja, Iraq tidak akan membangun. Rakyat Iraq juga tidak perlu sibuk-sibuk memikirkan siapa yang memerintah, tetapi perlu mengutamakan pendidikan, pembangunan dan pemulihan semula negara Iraq.
Apabila ditanya mengenai adakah dia akan membangunkan Iraq selepas tamat pengajiannya. Dia berkata dia akan balik apabila perang tamat dan keamanan sudah kembali bersinar di Iraq. Buat masa ini keluarganya sudah ditempatkan di Libya.
Amiene Rev juga berhajat mengirimkan gambar video pelajar Iraq itu menari-nari bersama kawan-kawannya yang lain semasa Hari Kemerdekaan tahun lalu yang dirakamkan menerusi telefon bimbit Samsungnya. Sekarang fahamlah Amiene Rev, kenapa pelajar Iraq itu menari-nari sehingga lupa daratan semasa kita menyambut kemerdekaan. Itu kerana, negara mereka masih tidak aman dan merdeka. Betapa sayunya melihat pelajar-pelajar Iraq ini menumpang kegembiraan menyambut kemerdekaan di negara kita.
Selepas itu Amiene Rev pergi pula ke tempat pelajar-pelajar Sudan. Mereka memasang music sambil menari.
"This is ours!" Kata seolah seorang daripada mereka.
"Oh, you are a singer? This is your single?" Amiene Rev bertanya.
"No. No, this is our country's music." Jelas pelajar Sudan itu.
"Oh, you miss your country."
Pelajar-pelajar Sudan itu terus menari, gayanya seperti orang di dalam lukisan di dinding piramid di Mesir. Menari-menari dengan tangan seakan-akan ular, dan sekali-kala seperti tarian Sumazau, dan mereka memakai jubah-jubah yang biasa dipakai oleh orang Sudan.
|