BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, Mei 22, 2012

Keburukan Ketawa - Punca Hati Degil

Banyak ketawa bazir masa, dorong hati jadi degil
Disediakan oleh Berita Harian

Gurauan keterlaluan dilarang kerana syaitan sentiasa cari ruang ketika manusia terleka

ISLAM mengajar umatnya berpijak di bumi nyata dan mengetepikan segala khayalan yang merugikan. Mereka dianjurkan berinteraksi dan menganggap manusia sebagai manusia biasa, bukan malaikat yang sentiasa berzikir serta bertasbih sepanjang masa. Oleh itu, sudah pasti segala pertuturan mereka bukanlah semata-mata zikir atau sepanjang masa mendengar al-Quran, diam bertafakur dan beriktikaf di masjid. Sebagai manusia, segala-galanya akan bersalut kegembiraan dan gelak tawa seperti mana mereka memerlukan makanan dan minuman. Baginda SAW adalah rujukan dalam kehidupan kerana Baginda memperbanyakkan solat sehingga bengkak kakinya. Baginda suka kepada makanan yang sihat, sentiasa mengukir senyuman, bergurau bersama kanak-kanak dan sesiapa saja tanpa mengira darjat atau keturunan mereka.

Abu Hurairah menyapa Baginda SAW lalu berkata: “Engkau bergurau wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Ya wahai sahabatku akan tetapi semuanya dalam ucapan yang benar semata-mata.”

Ini menunjukkan gurauan adalah diharuskan tetapi apa yang kita lihat hari ini jauh daripada kebenaran malah terkadang sehingga mengaib dan menghina orang lain serta mencipta bibit permusuhan antara sesama manusia.

Gurauan yang sampai ke peringkat menghina sesuatu kaum lain adalah tidak dibenarkan dalam Islam.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang beriman, janganlah suatu kaum memperolok-olokkan kaum lain kerana mungkin mereka adalah lebih baik dari kamu.” (Surah Al-Hujurat, ayat 11)

Gelak tawa dan gurau senda diharuskan Islam selama mana ia tidak menyinggung perasaan orang lain. Malah ia dianggap penyeri dalam kehidupan bagi menceriakan suasana yang dingin dan membosankan.

Saidina Ali berkata: “Sesungguhnya hati akan merasa jemu dan bosan seperti mana badan merasa letih dan lesu, oleh itu rehatkanlah mereka dengan hikmah dan kebijaksanaan. Berikanlah ruang untuknya bagi mengembalikan keceriaan.” (Halal dan Haram dalam Islam – DrYusuf Qardhawi)

Diceritakan olah Malik Bin Dinar, ramai ilmuwan terdahulu, apabila telah lama membicarakan mengenai ilmiah dan pendengar menjadi jemu, maka di selang dengan cerita sampingan yang melucukan supaya telinga dan hati mendapat tenaga semula.

Ulama A’ta Bin Yasar menangis ketika berbicara bersama sahabatnya dan terkadang beliau menangis dan berkata: “Sesekali begini dan sesekali begitu.” Begitu juga apa yang berlaku kepada tabiin bernama Said Bin Jubair ketika berbicara bersama murid-muridnya.

Bagaimanapun, gurauan yang keterlaluan dilarang sama sekali kerana syaitan sentiasa mencari ruang ketika manusia terleka. Baginda SAW melarang gelak tawa dan gurauan yang keterlaluan.

Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya banyak ketawa itu akan mematikan hati dan jika bersantai untuk satu ketika dan ketawa, ia adalah umpama garam yang menyedapkan makanan.” (Alhadis)

Hari ini, lawak jenaka dianggap satu seni yang dipentaskan malah menjadi pendapatan sesetengah pihak bagi menyambung kehidupan. Mereka menjadikan program lawak sebagai darah daging dan sentiasa memikirkan bagaimana mencipta sesuatu untuk diketawakan.

Malah, ada yang berbangga dipanggil Raja Lawak. Hadis menyebut, Baginda Nabi SAW mengingatkan kita berhati-hati supaya apa yang dibicarakan tidak terpalit dengan pendustaan.

Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Celakalah mereka yang berbicara untuk diketawakan orang ramai sedangkan apa yang dibicarakan adalah dusta semata-mata.” (Hadis riwayat Tirmizi)

Saidina Umar mengingatkan semua pekerjanya supaya tidak keterlaluan dalam gurau senda yang boleh mencalarkan maruah dan menyakitkan hati orang lain. Ali menyebut, Baginda SAW bersabda: “Bersenda yang keterlaluan adalah dorongan nafsu dan akan mendapat bantuan daripada syaitan.”

Imam Nawawi menukilkan: “Gurau senda dan lawak jenaka yang dilarang adalah gurauan yang berpanjangan serta boleh melalaikan daripada mengingati Allah SWT kerana ia mendorong kepada kedegilan hati dan pembaziran masa. Boleh mewarisi kedengkian dan mengurangkan penghormatan orang lain. Jika apa yang disendakan itu bebas daripada perkara di atas, maka ia diharuskan dan sunnah yang diharuskan serta ia bersifat suatu waktu saja.” (Al-Azkar Lil Imam Nawawi)

Sahabat bernama Hanzalah ketika berbicara bersama Abu Bakar mengatakan Baginda SAW telah banyak menceritakan kepada kita mengenai syurga dan neraka, tetapi apabila pulang ke rumah aku bersenda dengan anak dan keluarga seolah-olah aku lupa apa yang diceritakan Baginda SAW.

Abu Bakar menjawab: Aku juga demikian. Lalu mereka bergegas ke rumah Baginda SAW dan Hanzalah menyapa Baginda SAW lalu berkata: Aku telah munafik wahai Rasulullah. Setelah diceritakan apa yang berlaku, Baginda SAW menjawab dengan maksud: Wahai Hanzalah, demi diriku di bawah kekuasaan-Nya, jika kamu sentiasa mengingatinya (Allah) nescaya kamu akan ditemani para Malaikat, tetap wahai Hanzalah, gurauan adalah suatu waktu saja dan tidak menjadi kesalahan.” (Hadis riwayat Muslim)

Baginda SAW juga pernah menghadapi peristiwa lucu di mana Baginda pernah berkata kepada Suhaib: “Apakah kamu memakan kurma sedangkan kamu sakit mata? Lalu jawab Suhaib: Tidak wahai Rasulullah, aku hanya makan sebelah saja.” Baginda SAW tersenyum sehingga terserlah gusinya. (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Baginda juga pernah bergurau apabila didatangi seorang tua dengan menyebut: “Sesungguhnya syurga tidak akan dihuni oleh orang tua. Maka berlalulah orang itu dalam keadaan sedih apabila mendengar ucapan Baginda SAW. Baginda SAW bersabda: Khabarkanlah padanya bahawa dia akan masuk syurga tetapi dalam usia yang sangat remaja. Baginda membacakan firman Allah SWT: “Kami ciptakan mereka di sana (syurga) dalam keadaan muda remaja yang sebaya umurnya untuk golongan kanan saja.” (Surah Al-Waqiah, 34-35)

Kehidupan ini mestilah diceriakan dengan pelbagai suasana seperti gurau senda dan lawak jenaka. Jenaka yang tidak menyinggung perasaan mana-mana pihak adalah diharuskan. Gelak ketawa juga boleh dijadikan satu cara terapi yang menyihatkan. Ia dinamakan ‘Laughter Yoga’.

Sasterawan Perancis, Victor Borge berkata, ketawa akan lebih mendekatkan jurang antara dua insan dan seorang karyawan Denmark berkata, mereka yang dapat memberi ruang ketawa pada orang lain adalah orang yang amat bertuah.