BLOG DUKE AMIENE REV

Isnin, Mei 14, 2012

Facebook VS Blogger 2012

Jika dahulu, ramai pengguna internet berminat untuk menulis catatan peribadi menerusi blog. Mereka berkongsi pelbagai maklumat peribadi, luahan hati, pendapat, fakta dan auta. Kemudian, muncul pula Facebook. Sejak kemunculan Facebook, didapati ramai blogger mula beralih arah dan mula memanfaatkan Facebook sebagai medan untuk bersuara. Ada beberapa sebab barangkali pengguna-pengguna blog beralih arah dengan menjadi Facebook sebagai medan penulisan baru mereka.

Pertama, faktor kenalan. Jika di blog, ada penulis tanpa nama akan memunculkan diri untuk mengirim komen-komen negatif. Namun, di Facebook, cuma orang yang dikenali sahaja boleh meninggalkan komen.  Sebab itu, jika kita sedar, Blogger juga ada memperkenalkan sistem yang hanya membolehkan pembaca yang dijemput sahaja untuk membaca blog oleh pemilik blog tersebut.

Kedua, pengguna Facebook boleh meluahkan perasaan mereka dengan lebih mudah menerusi Facebook. Mereka tidak perlu memahami banyak kod HTML. Cuma masukkan pautan sahaja dan apa-apa yang mereka mahu siarkan di status mereka atau di komen mereka akan terpapar dengan mudah.

Aku dapati, kebanyakan penulis-penulis blogger yang pernah aktif suatu ketika dahulu, kini tidak lagi menulis di blog masing-masing. Ada yang tarikh terakhirnya ialah 2009, 2010 dan 2011. Malah pautan ke laman Geng Jurnal juga telah mati. Seolah-olah tidak wujud lagi persatuan blogger di Malaysia ini.

Suatu ketika dahulu Msjbox merupakan hasil idea blogger tempatan untuk mencipta kotak komentar pertama di Malaysia. Kini, Msjbox juga terpaksa akur terhadap populariti Facebook dan Twitter. Facebook dan Twitter menawarkan perkhidmatan percuma dengan pelan perancangan perniagaan iklan yang tinggi serta kadar kepuasan pengguna yang tinggi.

Namun begitu, Blogger masih mempunyai banyak fungsi berbanding Facebook. Blogger mempunyai daya penyimpanan maklumat infiniti yang berbeza dengan status Facebook yang akan sentiasa ditenggelami oleh status Facebook yang baru.

Selain itu, Blogger juga lebih mesra carian internet jika dibandingkan dengan Facebook. Buat masa ini, Facebook masih mengekalkan konsep asalnya di mana pengguna Facebook boleh mengesahkan pengguna Facebook yang dikehendaki sahaja (atau lebih tepat, orang yang dikenali sahaja) jika dibandingkan dengan Blogger yang mampu dicapai oleh sesiapa sahaja menerusi carian internet.

Di sini, aku melihat kekuatan Blogger secara umum. Kerana faktor ini juga, aku dapati, Blogger akan dapat terus bertahan dan menjadi salah satu komponen penting dalam kehidupan pengguna internet.