BLOG DUKE AMIENE REV

Khamis, Mei 24, 2012

CADANGAN USAHA SAMA LANGGANAN (IPO) FACEBOOK - BENTUK PENIPUAN BARU DI INTERNET!

KUALA LUMPUR – Jika anda ditawarkan akses eksklusif kepada langganan saham IPO Facebook, besar kemungkinan ia satu penipuan, kata Symantec.

Symantec Security Response baru-baru ini mengesan 419 mesej penipuan yang menawarkan “CADANGAN USAHA SAMA LANGGANAN (IPO) FACEBOOK”.

Penggunaan semua huruf besar merupakan contoh biasa 419 penipuan itu, katanya.

Ia didakwa dihantar oleh sebuah firma kewangan di pelbagai lokasi di seluruh dunia. Bentuk sebenar penipuan itu tidak jelas. Penipuan itu menyebut pinjaman wang menerusi terma “mudah” dan murah hati untuk membeli saham-saham Facebook dan menjualnya semula kepada syarikat pada harga yang lebih tinggi berbanding harga pembelian asal.

Symantec berkata, petunjuk jelas ia merupakan penipuan ialah berdasarkan alamat untuk membalas e-mel.

“Ia merupakan alamat yang agak amatur yang menggunakan e-mel berasaskan web percuma yang biasa.

“Syarikat yang sah sudah pasti akan menggunakan alamat e-mel domain sendiri dan bukan alamat berasaskan web percuma,” katanya.

Alamat e-mel dan nama pada tajuk “daripada” mesej itu juga berbeza daripada alamat e-mel dan nama yang digunakan dalam isi mesej.

Berdasarkan kedudukan profil tinggi IPO ini, Symantec menjangkakan golongan penipu akan mengambil kesempatan dan menggunakan cara yang sama yang mereka lakukan pada berita dan acara sebelum ini. – BERNAMA