BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, Mei 29, 2012

KISAH BENAR: Jalan Bukit Lengkok - Batu Nisan Panjang dan Lembaga Wanita Berambut Panjang

Langkah-langkah Untuk Menghadapi Gangguan Berhantu 
Di Jalan Bukit Lengkok
Petua oleh Amiene Rev (C) 2012

Sememangnya apabila kita menyebut hantu, pasti ramai jugalah yang berasa takut dengan lembaga-lembaga hantu ini. Hantu selalunya muncul dalam gaya yang seram, misteri, dingin, tidak mesra dan pelik serta lain dari yang lain. Hal ini menyebabkan ramai manusia berasa takut atau gerun dengan hantu.

Hakikatnya hantu bukanlah sesuatu yang merbahaya, kecuali jika hantu itu berjaya menyebabkan panik atau kejutan besar atau ketakutan yang melampau dalam diri seseorang manusia, maka barulah kebahayaan akan timbul. Contohnya jika tiba-tiba ada seekor kambing melintas jalan, dan pada ketika itu pemandu memandu laju, maka pastilah pemandu itu terkejut melihat kambing di tengah jalan dan mungkin ada yang memusingkan stereng atau mungkin juga terus melanggar kambing itu.

Begitu juga dengan hantu. Ada beberapa cara supaya anda dapat memberanikan diri dengan hantu. Perkara paling asas ialah, kenali hantu dan sikap hantu terhadap manusia. Jalan Bukit Lengkok barangkali merupakan satu tempat latihan untuk menghilangkan rasa takut kepada hantu dan juga merupakan satu cara untuk memberanikan diri untuk berjalan di sekitar kawasan berhantu. Berikut adalah petua dan langkah-langkah untuk menghadapi gangguan hantu di jalan yang berhantu:

Pertama: Tetapkan di dalam hati bahawa anda dan hantu sama-sama wujud di dunia ini tetapi dalam dimensi yang berbeza. Oleh itu, seperti manusia, hantu juga ada kehidupan sendiri yang tidak boleh diganggu. Apabila anda bertemu hantu, anggap sahaja anda bertemu dengan manusia yang lain.

Kedua: Apabila anda ternampak hantu, terima hakikat bahawa hantu itu sememangnya berupa seram, berperwatakan misteri, kelihatan seperti seorang psiko, dan kurang adab. Kurang adab kerana sering memunculkan diri di dalam kenderaan atau membonceng motorsikal orang tanpa meminta izin daripada pemandu kenderaan.

Ketiga: Sejahat-jahat manusia adalah sebaik-baik jin. Oleh itu, kita harus faham bahawa hantu ini juga adalah jin, dan jika mereka dengan secara kurang ajarnya memunculkan diri di dalam kereta, maka anda juga boleh memulangkan paku buah keras kepada hantu ini dengan tidak melayan mereka.

Keempat: Barangkali hantu ini sedar bahawa mereka tidak boleh dilanggar sebab itu mereka berani duduk di tengah jalan. Jika anda melalui jalan berhantu ini, pandulah perlahan-lahan supaya anda dapat membezakan antara hantu dengan kambing yang sebenar atau perempuan yang sebenar. Tetapi manusia yang normal tidak akan mencari nahas dengan berdiri di tengah jalan, oleh itu jika anda ternampak makhluk yang berupa pelik, yakni hantu, pandu terus sahaja sebab kereta anda tidak akan mencederakan hantu. Hantu hidup dalam dimensi yang berbeza dengan dunia manusia.

Kelima: Kalau kita sudah tahu hantu itu suka mengacau orang di jalan-jalan, maka itu bermaksud hantu itu bosan atau ada mesej tertentu yang mahu disampaikan kepada kita. Oleh itu jika kita bukan seorang yang penyibuk, baca sahajalah ayat-ayat Al-Quran supaya hantu itu tidak mengganggu kita.

Keenam: Kita juga boleh buat tidak tahu sahaja hantu itu ada atau tidak, sebab jika kita sibuk, tentu kita tidak akan ada masa untuk bermain-main takut dengan hantu. Oleh itu, teruskan perjalanan seperti biasa sampai selamat tiba ke destinasi.

Ketujuh: Kita juga berpeluang mengadakan lawatan ke tempat-tempat seram atau berhantu. Kita harus faham, roh orang yang mati tidak akan menjadi hantu. Hantu ini sebenarnya adalah lakonan jin. Jin menyamar sebagai hantu. Roh orang yang mati telah naik ke langit tetapi jin-jin yang nakal ini dengan biadabnya telah menyamar menjadi hantu. Atau mungkin ada jin yang kurang perhatian ibu bapa dan oleh itu jin ini mencari manusia supaya mereka mendapat perhatian. Oleh itu, jalan-jalan berhantu ini juga adalah peluang untuk menjana pendapatan menerusi perkhidmatan pelancongan ke tempat-tempat berhantu dan dalam pada masa yang sama menyebabkan hantu-hantu berasa kewujudannya dihargai. Apabila ternampak lembaga hantu ini, jemputlah para pelancong supaya melambaikan tangan dengan gembira kepada hantu-hantu ini.sebagai tanda memberi perhatian kepada hantu-hantu ini. Hantu-hantu ini mungkin akan berasa bahagia kerana kewujudannya kini telah dihargai.

Menurut kepercayaan saya hantu itu bukan roh manusia yang telah mati tetapi sebaliknya adalah penyamaran jin-jin yang kebetulan melihat peristiwa tersebut. Tulisan di atas ini ditulis berdasarkan kisah di bawah ini:


KISAH BENAR: Misteri Lembaga Wanita Dalam Kereta Wartawan Sinar

KULIM – “Cepat, baca surah Yasin!, ada benda sebelah aku ni,” jerit seorang rakan yang berada dalam kereta Perodua Kancil Sinar Harian cemas apabila merasakan ada lembaga wanita duduk di sebelahnya di bahagian tempat duduk kerusi belakang.

Kejadian itu berlaku Khamis lalu apabila wartawan Sinar Harian bersama seorang anggota polis berpangkat koperal dan seorang rakan melalui Jalan Bukit Lengkok kira-kira jam 4 pagi, Khamis lalu.

Ketika melalui di satu selekoh dalam keadaan hujan lebat, semua mereka ternampak batu nisan setinggi setengah meter di tepi jalan tetapi masing-masing hanya diam dan tidak mengendahkannya.

Keadaan mula cemas apabila rakan mereka itu menjerit meminta membaca surah Yasin dengan segera.

Bagaimanapun, anggota polis cuba menenangkannya dan membaca beberapa potong ayat al-Quran barulah rakannya itu tenang dan perjalanan pun diteruskan.

Setelah melepasi jalan Sungai Lengkok mereka kemudiannya berhenti di tepi Jalan Air Merah dan mula membuka cerita mengenai batu nisan tadi. Ternyata, mereka semua mengaku ternampak imej batu nisan yang dimaksudkan.

Bagaimanapun misteri terbabit tidak berhenti di situ saja apabila kelmarin kira-kira jam 12.30 pagi, seorang rakan wartawan terbabit telah merakam gambar kereta Kancil berkenaan dan mendapati ada imej lembaga wanita berambut panjang di dalamnya dan dipercayai lembaga itu hilang selepas azan Subuh berkumandang.

Sementara itu. seorang pemandu van kilang yang tinggal di Taman Selasih dan tidak mahu dikenali berkata, kejadian seumpama itu sering berlaku di Jalan Bukit Lengkok.

Menurutnya, beberapa tahun lalu polis ada menemui mayat seorang wanita dipercayai dibunuh dan mayatnya dibuang ke dalam gaung berhampiran.

“Ramai pengguna jalan itu menjadi mangsa gangguan lembaga berkenaan. Lembaga itu pernah duduk di belakang penunggang motosikal, saya juga pernah nampak lembaga itu berada di atas bumbung kereta yang datang dari arah bertentangan.

“Sememangnya jalan itu tidak dilalui oleh kenderaan pada lewat pagi terutama ketika hujan renyai atau lebat,” katanya.

Pengerusi Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) Khor Eng Khim juga tidak menafikan kewujudan lembaga itu yang sering mengganggu pengguna jalan raya yang melalui jalan Bukit Lengkok menjelang lewat pagi.

“Jalan itu tidak sesuai digunakan pada waktu Subuh terutama ketika hujan. Ini kerana terlalu banyak kejadian kemalangan berlaku di sekitar kawasan itu disebabkan keadaan jalan di situ sempit dan bengkang-bengkok.

“Saya menasihatkan pengguna supaya menggunakan lebuh raya Butterworth Kulim Express (BKE) untuk pergi ke Pekan Kulim dan jangan mengunakan jalan Bukit Lengkok sebagai jalan pintas walaupun ia lebih dekat,” katanya. (Sinar Harian)