BLOG DUKE AMIENE REV

Sabtu, September 29, 2012

Musim Panas Blogger Musim Hujan Blogger

Sekiranya pembaca sedar, sejak akhir-akhir ini, aku jarang menyiarkan tulisan-tulisan yang datang dari lubuk hati atau tulisan-tulisan peribadi. Benar, sejak beberapa tahun ini, aku sangat aktif melayan kerjaya aku. Kemenangan demi kemenangan, kejayaan demi kejayaan dicapai dalam masa beberapa tahun ini. Pelbagai jenis kepuasan kerjaya telah aku rasai.

Namun, tidak dinafikan, aku sekarang sentiasa berada dalam keadaan penat dan lesu. Suasana persekitaran kerja, apalagi berada di tengah-tengah metropolitan, yang di sekelilingnya terdapat berbelas-belas bank, stesen minyak, pusat membeli belah, bangunan-bangunan bersaiz gergasi dan bunyi kenderaan lalu-lalang setiap hari cukup membuatkan daya kreativiti untuk menulis menjadi kurang aktif.

Sebenarnya aku bukan tidak ada masa untuk menulis, cuma aku memiliki banyak masa untuk ditumpukan pada kerjaya aku. Tanggungjawab tetap tanggungjawab. Hakikatnya, dengan status rezeki yang Allah Taala berikan pada hari ini, boleh sahaja aku melancong ke Paris, London, Beijing, Guangzhou, Hokkaido, Pulau Jeju, Maldives, Canada, Melbourne atau mana-mana tempat yang aku mahu. Namun begitu, tanggungjawab tetap menjadi perkara utama.

Jadi sebagai seorang penulis blog, aku mula menyedari adanya musim panas dan ada juga musim sejuk untuk blogger. Pada musim panas, blogger tekun mencari bahan untuk diolah menjadi isi-isi baru penulisannya. Apabila tiba musim sejuk, blogger akan tidur berhibernasi menekuni kerja-kerja harian.

Hari ini, sampai di sini sahaja tulisan aku. Minggu depan, ada mesyuarat dan aku juga akan bertugas di luar kawasan. Hampir setiap minggu aku akan berada di luar kawasan.

Ya, selamat malam.