LEGOLAND Malaysia sedia terima pengunjung
LEGOLAND Malaysia sedia terima pengunjung
Disediakan oleh Berita Harian
Disediakan oleh Berita Harian
NUSAJAYA: Taman tema, LEGOLAND Malaysia kini bersedia menerima kedatangan pengunjung apabila dibuka secara rasmi pada 15 September ini.
Pengurus Besarnya, Siegfried Boerst, berkata pihaknya gembira kerana taman tema itu dapat disiapkan sepenuhnya untuk dibuka pada hari berkenaan. "Malah kakitangan LEGOLAND bekerja keras bagi memastikan segala kemudahan di taman tema ini dalam keadaan terbaik dan sempurna.
"Saya sendiri begitu teruja apabila melihat begitu ramai orang pada hari ini sempena hari terbuka khas untuk media dan tetamu jemputan," katanya kepada BH Online sebentar tadi.
Sehubungan itu, Pengarah Jualan dan Pemasaran LEGOLAND Malaysia, Thila Munusamy berkata, taman tema berkenaan menyasarkan kehadiran kira-kira 1.2 juta pengunjung pada tahun pertama operasinya.
Mengenai kemudahan pengangkutan untuk datang ke taman tema berkenaan, katanya, pengunjung boleh menggunakan bas yang beroperasi dari JB Sentral, Larkin, Gelang Patah dan Johor Premium Outlets (JPO).
Katanya, perkhidmatan bas dari Larkin ke LEGOLAND setiap 30 minit pada waktu puncak dengan kadar bayaran sebanyak RM12 manakala bas dari Singapura dari Singapore Flyer setiap 30 minit pada waktu sibuk dan tiba di taman tema berkenaan kurang sejam dengan $20 dolar Singapura seorang.
Bas turut disediakan dari Link Kedua. Pengunjung juga boleh pergi ke LEGOLAND Malaysia dari Lapangan Terbang Senai.
Terdapat lebih 3,500 tempat letak kereta disediakan.
Sementara itu, LEGOLAND Malaysia masih menawarkan rebat RM30 untuk pembelian pas tahunan berharga RM245.
LEGOLAND Malaysia adalah yang tunggal di rantau Asia dan keenam di dunia.
Kira-kira 1,000 petugas di taman tema berkenaan.
INFO Taman Tema LEGOLAND Malaysia
- LEGOLAND pertama di Asia
- Taman tema bertaraf antarabangsa di Malaysia
- Dibina dengan keluasan 31 hektar
- Kos sebanyak RM700 juta
- Mempunyai tujuh kawasan bertema
- 40 permainan, tarikan dan pertunjukan
- 15,000 model Lego
- 50 juta bongkah Lego
|