BLOG DUKE AMIENE REV

Sabtu, September 01, 2012

Rehda kaji konsep rumah asas bawah RM100,000

Konsep rumah asas adalah boleh dikembangkan atau diubahsuai oleh pemiliknya. Ini berikutan setiap keluarga tidak semestinya memiliki hanya satu atau dua orang anak sahaja. Sebagai contoh, apabila ada anak remaja lelaki dan anak remaja perempuan, sesebuah rumah itu mestilah dipecahkan kepada sekurang-kurangnya tiga buah bilik. Bilik ibu bapa, bilik anak-anak remaja lelaki dan anak-anak remaja perempuan. Bagaimana pun tiga buah bilik belum pasti memenuhi keperluan anak-anak. Ini kerana sudah pasti bagi menjamin masa depan pendidikan yang baik, sesebuah rumah itu mesti menyediakan ruang belajar untuk anak-anak. Justeru, tiga bilik sahaja tidak mencukupi. Bilik keempat mesti ada untuk tujuan pembelajaran anak-anak pada waktu malam. Jadi idea rumah asas yang boleh dikembangkan atau diubahsuai untuk tujuan penambahan bilik atau sebagainya adalah wajar diterima oleh para pemaju tempatan.

Rehda kaji konsep rumah asas bawah RM100,000

PERSATUAN Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) sedang mengkaji konsep pembinaan rumah asas yang dijangka mampu ditawarkan kepada pembeli berpendapatan sekitar RM2,500 sebulan dengan harga rumah di bawah RM100,000 seunit.

Konsep pembinaan rumah asas ialah pembeli boleh mengubah suai ruang dalaman mengikut keperluan atau cita rasa mereka serta berdasarkan kemampuan masing-masing.

Sebelum ini, Bisnes Metro melaporkan terdapat sebuah syarikat Bumiputera bersama penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berminat untuk membangunkan rumah berkembang atau rumah asas yang juga dalam kajian serta dijangka dibangunkan pada harga bermula RM200,000 seunit tahun depan.

Presiden Rehda, Datuk Seri Micheal K C Yam berkata, ketika ini, pihaknya sedang berbincang dengan beberapa pakar perumahan yang terbabit untuk membangunkan idea itu untuk diwujudkan oleh pemaju perumahan tempatan pada masa depan.

Beliau berkata, antara pihak yang terbabit dalam perbincangan kajian itu seperti arkitek, pemaju perumahan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan jurutera perumahan.

“Konsep membangunkan rumah asas ini bagi membantu rakyat di negara ini yang menginginkan rumah yang boleh diubah suai bagi jangka masa panjang.

“Semua kos pembinaan ini terserah kepada pembeli kerana ia bergantung kepada kemampuan mereka.

“Mengenai lokasi pula, kita jangkakan ia dibangunkan di kawasan pinggir Kuala Lumpur kerana lebih mudah mendapat tanah untuk pembangunan perumahan berbanding di kawasan tengah bandar yang dilihat begitu sukar untuk mendapatkan tanah baru,” katanya ketika dihubungi Bisnes Metro.