FOMCA syor subsidi rumah pertama
FOMCA syor subsidi rumah pertama
Disediakan oleh Berita Harian
Disediakan oleh Berita Harian
Kuala Lumpur: FOMCA menyarankan kerajaan mewujudkan subsidi rumah pertama dengan rakyat yang menikmatinya tertakluk kepada syarat tempoh minimum pemilikan sebelum boleh dijual.
Timbalan Presiden FOMCA, Muhammad Sha’ani Abdullah, berkata pihaknya menyokong cadangan supaya kerajaan menetapkan tempoh minimum pemilikan sehingga 10 tahun, tetapi dasar itu perlu diimbangi subsidi pembelian rumah supaya ia tidak dipertikai jika dilaksanakan kelak. “Bagaimanapun, subsidi rumah pertama ini hanya ditawarkan kepada rakyat yang layak berdasarkan pendapatan dan saiz keluarga. Dalam konteks ini, aspek saiz keluarga sangat penting dan harus diambil kira.
“Sebagai contoh, bandingkan seseorang yang berpendapatan RM3,500 sebulan tetapi perlu membiayai 12 anak, dengan seorang lain berpendapatan lebih rendah tetapi tiada ramai tanggungan,” katanya kepada BH, semalam.
Akhbar ini semalam melaporkan kerajaan disaran menetapkan tempoh minimum pemilikan rumah sehingga 10 tahun sebelum boleh dijual bagi mengelakkan spekulasi yang mengakibatkan harga hartanah itu melambung.
Kaut untung berganda
Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Datuk Idris Haron, dipetik sebagai berkata ini berikutan ada pihak yang membeli rumah semata-mata untuk pelaburan dan mengaut keuntungan berganda melalui penjualan semula.
Muhammad Sha’ani berkata, strategi pelaburan sedemikian memang sudah lama berlaku sehingga membebankan golongan kurang berkemampuan yang benar-benar memerlukan rumah pertama.
“Justeru, saya mengemukakan soalan lisan kepada Sekretariat Parlimen hari ini (semalam) meminta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan apakah langkah diambil kerajaan untuk mengawal harga rumah yang melampau, terutama di kawasan bandar, bagi Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen Ke-12 bermula 24 September ini,” katanya.
|