BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, Disember 11, 2018

Seorang Hero atau Seorang Legenda?

Adakalanya kita tidak sedar ada semacam seruan memanggil kita. Seruan yang meminta kita untuk membela sesuatu. Kita tidak pernah sedar kerana fokus dan matlamat kita diatur untuk melihat apa yang orang lain lihat.


Seruan itu semakin kuat, memanggil-manggil kita, agar sedar. Kita adalah orang yang dipilih untuk melakukan sesuatu. Ada perkara yang orang tidak mampu lakukan tetapi kita memiliki pakej untuk melaksanakannya. Kita tidak sedar akan itu.

Hentikan beranggapan bahawa semua orang adalah tukang tilik nasib yang boleh menilik masa depan kita lalu menganggap mereka tahu apa yang terbaik untuk kita. Sesetengahnya tidak mahu kita melangkau sempadan menjadi lebih baik dan lebih bagus daripada mereka. Kenaifan, adalah sifat tercela yang mengkhianati diri sendiri.

Bersangka baik kepada orang tidak bermaksud menghalalkan segala cara mereka untuk merampas apa yang menjadi hak dalam kehidupan kita. Sesuatu hak boleh dirampas dengan tiga cara, pertama dengan cara yang kasar, kedua dengan cara yang sopan, dan yang ketiga tanpa disedari atau senyap-senyap.

Cara yang kasar adalah penaklukan, penjajahan secara terang-terangan. Ugutan, serangan, peperangan dan sebagainya. Cara yang sopan adalah dengan cara yang halal, membeli, mengambil alih dan seangkatan dengannya. Cara yang ketiga, kita pun tidak tahu bagaimana ia dilakukan sehinggalah kita sedar ia bukan lagi hak kita, bukan lagi milik kita dan kita sudah hilang kuasa ekslusif, sudah hilang hak istimewa, sudah hilang pemilikan tunggal, sudah tidak bergelar tuan punya hak tersebut.

Terdapat dua jenis manusia sahaja dalam menyatakan tentang hak. Pertama sama ada mereka menentang orang yang mengambil hak kita. Kedua mereka yang tidak menentang orang yang mengambil hak kita. Mereka yang tidak menentang, terdiri daripada orang yang menyokong perbuatan orang yang merampas hak kita dan mereka yang tidak berbuat apa-apa; tidak ambil peduli, tidak masuk campur, tentang hal-hal melibatkan perampasan hak kita kepada orang lain.

Menentang dan tidak menentang. Dua ini sahaja untuk menentukan status seseorang. Cukup!

Jika kamu berfikir ada pilihan lain selain dua di atas, kamu sedang memperbodohkan diri kamu, membenarkan individu lain mencipta peluang untuk memanipulasikan pemikiran kamu, menjajah hak kamu dan membuka ruang dan peluang untuk mempermain-mainkan kamu, tidak menghormati kamu, dan menganggap kamu lemah dan rapuh kerana boleh dipermain-mainkan.

Apabila sesuatu itu melibatkan hak milik kita, kehidupan kita, kamu hanya ada dua status yang boleh dijadikan panduan sebelum kamu dipergunakan atau dipermain-mainkan.

Pertama: Mereka menentang pihak yang cuba merampas atau menjajah hak kamu.

Kedua: Mereka tidak menentang pihak yang cuba merampas atau menjajah hak kamu.

Cukup!