BLOG DUKE AMIENE REV

Ahad, Januari 30, 2011

Anak-Anak Angkatku - Kehadiran

ANAK-ANAK ANGKATKU
Kehadiran
Penulis: Amiene Rev (C) 2011

Kira-kira 4 tahun lepas, sahabat baikku dan isterinya berangkat pergi ke alam baka, lalu, di sisiku ditinggalkannya dua orang anak. Seorang dikenali sebagai Alberto Zein, dan seorang lagi dikenali sebagai Aleeka Irwin. Nama keluarga mereka tidak dapat kusebutkan di sini. Kedua-dua mereka kini berusia 6 dan 4 tahun kini. Oleh kerana pada ketika itu kedua-dua mereka ini amat kecil, maka tugas penjagaan mereka dilaksanakan oleh pihak berwajib.

Dalam tempoh tersebut, aku sering berangkat ke luar negara untuk menemui mereka. Pergerakanku adalah senyap dan sunyi, kerana aku tidak suka mendedahkan kisah yang menyedihkan ini untuk meraih simpati sesiapa pun. Lalu, hubunganku sebagai penjaga, atau lebih tepat bapa angkat kepada kedua-dua anak kecil ini menjadi rahsia antara benua.

Sahabat baikku dan isterinya adalah rakan seperjuanganku. Kami berjuang perkara yang sama. Perjuangan kami merentasi lautan, hutan-hutan, gunung-ganang dan selainnya. Namun perjuangan ini menuntut pengorbanan dan kematian. Kematian demi berbilion-bilion manusia yang lain. Kematian demi satu keamanan dan kesejagatan.

Dari jauh, aku memantau mereka. Sekali-sekala aku mengajar dan mendidik mereka. Alberto Zein dan Aleeka Irwin akan diIslamkan apabila usia mereka genap 18 tahun. Sudah pasti, ini bukan perkara yang mudah bagiku.

Kedua-duanya tidak memiliki saudara-saudara jauh. Sesiapa yang melibatkan diri dalam perjuangan ini mesti bersedia untuk berputus arang dengan keluarga masing-masing, demi menjaga keselamatan keluarga. Oleh itu Alberto Zein dan Aleeka Irwin akan sentiasa di dalam perlindunganku. Aku sudah bersedia untuk mengorbankan diri untuk menjaga mereka berdua.

Pihak Interpol sudah mengesahkan senarai Black Hunters dan Silverine Raiders yang kini bergerak di serata dunia demi memburu pewaris-pewaris pejuang nombor satu dunia ini. Dan aku, adalah Dewa Pelindung anak-anak kecil ini.

Baru-baru ini, dalam satu pertempuran, bahagian belakang tengkukku telah terkena tembakan peluru, dan ini menghasilkan satu lubang yang dalam. Aku tidak mati kerana tembakan itu tidak mengenai titik mautku. Tambahan pula, di negara ini, ada doktor peribadi yang telah ditugaskan untuk mengendalikan kecederaan aku, sekiranya ia melibatkan pertempuran semasa bertugas. Setiap peluru yang dilepaskan memiliki identiti yang tersendiri, dan kecederaan yang melibatkan pertempuran ini tidak boleh dirawat di hospital biasa. Sistem pangkalan data hospital di negara ini pasti akan dicerobohi oleh pihak musuh untuk mengesan identiti aku.
Sekiranya ini berlaku, pihak musuh akan dengan mudahnya mengesan kedudukanku. Mereka tidak tahu di mana aku bersembunyi, dan mereka tidak tahu, aku menyamar sebagai apa. Mereka dapat mencederakan aku, tapi buat masa ini, mereka masih gagal membunuhku. Mereka juga tidak tahu rupaku yang sebenar.

Namun proses penyembuhan itu agak lama, dan aku terpaksa berbohong kepada orang-orang yang mengenali aku bahawa itu adalah satu pembedahan biasa.
Mereka tidak tahu dalam tahun-tahun yang lalu, aku bertempur dalam senyap menangani saki-baki 419 Elites yang masih bebas di luar sana.

Mereka mahu memburu anak-anak angkat aku. Namun mereka tidak akan menemuinya, kerana anak-anak angkatku tidak tinggal bersama aku. Dan aku akan terus menjadi Dewa Pelindung mereka. Tapi aku tidak lupa, Tuhan Pelindung yang sebenar, ada di atas sana.

Kehadiran anak-anak kecil ini bukan satu beban bagiku. Mereka adalah amanah daripada sahabat baikku. Aku akan terus menjaga mereka. Suatu hari nanti mereka pasti akan membaca catatanku ini, selepas mereka berjaya menyelesaikan CODE yang kuberikan kepada mereka. CODE adalah kata kunci yang tersembunyi, yang cuma ada pada diri mereka.

BERSAMBUNG...