BLOG DUKE AMIENE REV

Ahad, Januari 30, 2011

Nyamuk Aedes Versi Ubahsuaian Genetik Dilepaskan IMR

Gambar Nyamuk Aedes Aegypti (Famili: Culicidae, Sub: Culicinae)
Order: Diptera, Class: Insecta, Pyhlum: Arthropoda

Jabatan Penerangan Malaysia
Kementerian Kesihatan memberi jaminan bahawa tindakan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) melepaskan nyamuk aedes spesies diubah suai genetik (GE) tidak akan membawa risiko kepada manusia. NOTA: IMR - Institute of Medical Research

ARKIB BERKENAAN NYAMUK AEDES UBAHSUAIAN GENETIK UNTUK DIKAJI
Pelepasan nyamuk genetik masih tunggu kelulusan
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA

PUTRAJAYA 20 Sept. - Pelepasan nyamuk aedes Kejuruteraan Genetik (GE) ke tempat awam yang akan membunuh progeni atau keturunan nyamuk penyebar denggi itu kini di peringkat akhir kelulusan Jawatankuasa Keselamatan Bio Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Hanya selepas mendapat kelulusan jawatankuasa tersebut, baru perkara itu dibawa kepada Jemaah Menteri untuk dimuktamadkan sebelum ujian ke atas orang ramai dibenarkan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kementerian Kesihatan telah melakukan ujian ke atas nyamuk aedes GE di makmal Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan mahu melakukan penyelidikan selanjutnya ke atas orang ramai.

''Kita belum meluluskan pelepasan nyamuk GE pada masa ini. Penyelidikan sedang dijalankan dan kita mahu mengambil kira semua aspek termasuk ujian klinikal, isu alam sekitar dan kelulusan badan antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Kebangsaan Mengenai Denggi di sini hari ini.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, kerajaan akan mengenakan hukuman lebih berat termasuk penjara ke atas mereka yang didapati melakukan kesalahan membiak nyamuk aedes berulang kali di premis masing-masing.

Beliau berkata, cadangan itu perlu memandangkan kadar denda yang kini dinaikkan sehingga RM500 tidak begitu menyedarkan orang ramai tentang ancaman nyamuk aedes.

Tegasnya, ia juga sejajar dengan dua akta yang digunakan untuk menangani wabak itu iaitu Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (pindaan 2000) dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang turut memperuntukkan hukuman penjara selain denda.

''Di beberapa buah negeri, kita dimaklumkan ada kes yang bukan sekali didenda tetapi berulang kali jadi mungkin kadar denda itu tidak menakutkan serta membebankan mereka.

''Justeru, kita cadangkan supaya apa yang ada dalam peruntukan undang-undang yang boleh mengenakan hukuman lebih berat dikenakan kepada mereka yang dianggap pesalah berulang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Kebangsaan Mengenai Denggi di sini hari ini.

Dalam tempoh sehingga 18 September tahun ini, jumlah kes denggi yang dilaporkan meningkat sebanyak 14 peratus iaitu 35,533 kes berbanding tempoh yang sama tahun lalu iaitu 31,085 kes.

Kematian akibat demam denggi juga meningkat dengan ketara sehingga 53 peratus pada tahun ini dengan 107 kematian dicatatkan berbanding 70 kematian bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Malah, jumlah kematian sehingga September tahun ini telah pun melebihi jumlah keseluruhan kematian yang dicatatkan pada tahun lalu iaitu 88 kematian.

Muhyiddin menegaskan kerajaan sememangnya memandang serius terhadap peningkatan kes tersebut berikutan ia satu penyakit yang mudah merebak dan berbahaya.

''Isu ini kita anggap amat serius dan Kementerian Kesihatan telah meletakkan sasaran kadar kes akan dapat kita kurangkan sebanyak 10 peratus setiap tahun," katanya.

Penyelidikan nyamuk GE itu melibatkan pelepasan nyamuk jantan GE yang membawa gen 'pembunuh' yang dibiarkan mengawan dengan nyamuk betina liar sehingga menyebabkan kematian progeni atau keturunan bagi kedua-dua jenis nyamuk berkenaan.

Penggunaan nyamuk GE bagaimanapun melahirkan kebimbangan sesetengah pihak bahawa ia akan mengganggu ekosistem sedia ada.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, operasi membunuh jentik-jentik akan dilakukan sebelum kerja-kerja pengasapan dijalankan di satu-satu kawasan.

''Kita minta aktiviti pengasapan tidak dijalankan sehingga operasi untuk memusnahkan jentik-jentik dilakukan terlebih dahulu.

''Kita tidak boleh berbuat demikian sahaja, kita juga mahu musnahkan bekas-bekas kosong yang mengandungi jentik-jentik.

''Aktiviti pengasapan sahaja tidak boleh menyelesaikan masalah denggi sekiranya jentik-jentik tidak dibunuh," katanya.


6,000 nyamuk GM dilepaskan di Bentong
Sumber: MALAYSIAKINI

Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah melepaskan 6,000 nyamuk Aedes Aegypti jantan bebas kuman jenis OX513A yang diubah suai secara genetik (GM) di satu kawasan hutan tanpa penghuni berhampiran Bentong pada 21 Dis lalu untuk tujuan penyelidikan.

aedes mosquito 180910 aedes mosquitoIMR berkata langkah itu yang bertujuan mengkaji penyebaran dan tempoh hayat nyamuk berkenaan di lapangan juga melibatkan nyamuk serupa daripada jenis liar dilepaskan di kawasan itu untuk tujuan perbandingan.

"Uji kaji itu selesai pada 5 Jan. Proses pengasapan dibuat pada 6 Jan untuk membasmi semua nyamuk berkenaan dan pemantauan akan diterus dibuat hingga dua bulan jika perlu," kata institut itu dalam satu kenyataan.

IMR berkata pelepasan nyamuk itu ditunda dari jadual asalnya kerana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.

dengue malaria mosquito outbreak fogging 290905Ia juga berkata tiada pelepasan baru dirancang sehinggalah tempoh pemantaun pasca percubaan selesai dilaksanakan mengikut garis panduan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Hasilnya dibuat analisis dan disiarkan dalam jurnal sains serta mesyuarat untuk diulas oleh pihak berkepentingan.

Uji kaji itu dijalankan selepas penilaian secara menyeluruh dibuat tentang nyamuk berkenaan di makmal IMR dan penelitian ketat dilakukan terhadap aplikasi yang digunakan.


Jangan lulus pelepasan nyamuk aedes GE
Date: Saturday, 04 September 2010
Oleh SM Mohamed Idris
SUMBER: DETIKDAILY

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa ketua pengarah keselamatan bio supaya menolak permohonan untuk melepaskan nyamuk aedes yang menjalani kejuruteraan genetik (GE) ke ladang tanaman dan semua ujikaji yang berkaitan dengannya. Ini kerana risiko terdedah kepada ujikaji yang boleh menjejaskan kesihatan awam dan alam sekitar.

Lembaga Keselamatan Bio Kebangsaan pada masa ini sedang menimbang permohonan dari Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) Malaysia untuk melepaskan nyamuk transgenik untuk membendung penyakit denggi bawaan vektor. Ujikaji itu melibatkan pelepasan nyamuk jantan GE, Aedes aegypti (OX513A) yang membawa gen “pembunuh”, untuk mengawan dengan nyamuk betina liar, yang boleh menyebabkan kematian progeni (keturunan) kedua-duanya.

Jika permohonan itu diluluskan, kedua-dua nyamuk jenis GE dan aedes jenis liar dijangka akan dilepaskan di kawasan yang tidak didiami dan dihuni di daerah Bentong, Pahang dan daerah Alor Gajah di Melaka.

Menurut perancangan yang ada, lebih kurang 2,000 – 3,000 nyamuk GE akan dilepaskan dalam sehari, selama dua hari berturut-turut. Satu lagi kaedah ialah dengan dilepaskan sekali, kira-kira 4,000 – 8,000 nyamuk GE, bersama-sama sejumlah nyamuk jenis liar, aedes aegypti. Di dalam permohonan itu ada disebut bahawa ujikaji itu mungkin perlu dibuat berulangkali.


Ini bermakna sejumlah 24,000 – 36,000 aedes aegypti GE selain nyamuk yang hidup meliar mungkin dilepaskan ke dalam alam sekitar. Jika ujikaji itu dilakukan berulangkali, ada kemungkinan jumlah kedua-dua jenis nyamuk tersebut akan bertambah banyak.

Kami berasa bimbang dengan ujikaji ladang secara terbuka ini kerana semua risiko yang berkaitan dengan teknik terbabit mungkin tidak diambil kira oleh pemohon kerana sebahagian daripada risikonya tidak ketara.

Di antara perkara yang membimbangkan kami ialah terdapat kemungkinan nyamuk betina memindahkan penyakit dibebaskan secara berterusan jika proses pemilihan jantina sebelum dilepaskan kurang tepat. Kita tidak mempunyai jaminan mengenai kebolehupayaan dan keberkesanan proses pemilihan jantina nyamuk.

Tambahan pula, larva nyamuk yang terhasil selepas nyamuk jantan GE mengawan dengan nyamuk betina liar hanya akan mati dengan kehadiran tetracycline dalam alam sekitar. Perkara ini penting kerana tetracycline merupakan antibiotik umum yang digunakan di ladang ternakan untuk tujuan perubatan dan veterinar. Dengan kehadiran tetracycline progeni mungkin hidup dan meningkatkan bilangan aedes aegypti dalam persekitaran.

Satu lagi kebimbangan yang perlu disuarakan ialah serangga lain, yang sesetengahnya lebih berbahaya daripada aedes aegypti, mungkin akan menghuni di kawasan yang dikosongkan oleh nyamuk-nyamuk terbabit. Misalnya jika nyamuk aedes aegypti berjaya mengatsi jumlah nyamuk liar, ia boleh menyebabkan pertambahan nyamuk aedes albopictus, yang menyebarkan wabak chikugunya dan denggi.

Pemohon telah mencadangkan langkah-langkah kawalan yang antara lain memerangkap nyamuk GE dan mengasap kawasan terbabit. Namun ada kemungkinan sesetengah nyamuk terus berada dalam alam sekitar walaupun dibuat pemantauan dan kawalan terhadapnya.

Begitu juga tiada jaminan bahawa kesemua nyamuk dan larva yang dibebaskan berjaya dihapuskan. Beberapa kajian lain menunjukkan aedes aegypti boleh kekal sebagai larva selama berbulan-bulan selagi suhunya sejuk dan bekalan airnya mencukupi.

Jika penggunaan nyamuk GE masih diluluskan di sebalik bantahan orang ramai, ia masih belum mapan dalam jangka panjang. Apabila transgen mati bersama nyamuk berkenaan, ini bermakna nyamuk GE perlu dilepaskan secara berterusan. Kita perlu wang yang banyak untuk proses melepaskan nyamuk GE sekalipun tiada jaminan mengenai keselamatannya.

Kenapakah kita hendak mengguna pakai kaedah yang agak mahal untuk mengawal perebakan demam denggi padahal terdapat pilihan yang kurang berbahaya dan lebih menjimatkan wang?

Terdapat alternatif yang berkesan dan mampu mengawal nyamuk yang merebakkan demam denggi dan lain-lain penyakit. Usaha-usaha untuk mengurangkan jangkitan perlu memberi tumpuan kepada langkah-langkah pencegahan. Kita perlu memastikan bahawa tempat pembiakan nyamuk dihapuskan sama sekali.

Satu kajian di Thailand mendapati bekas air yang besar menampung 90 peratus pupa nyamuk aedes di kawasan luar bandar dan 60 peratus di kawasan bandar. Di Cuba, kajian ke atas aedes aegypti mengesahkan yang risiko terbesar dikaitkan dengan ketiadaan penjagaan kebersihan bekalan air yang disimpan dan air dalam pasu bunga untuk tujuan keagamaan. Membersihkan bekas-bekas air ini boleh mengurangkan bilangan nyamuk dengan lebih berkesan lagi.

Penyelidikan yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Hutan Malaysia menemui sejumlah ‘essential oils’ seperti cymbopogon nardus (tumbuhan citronella), litsea eliptica, melaleuca cajuputi (gelam), dan cinnsmomum spp (kulit kayu manis) mempunyai ciri-ciri untuk menghapuskan nyamuk aedes aegypti. Ekstrak euphoriaceae, khususnya euphorbia tirucalli (tumbuhan firestick) juga didapati boleh menjadi penghapus larva yang baik.

Kaedah-kaedah yang disebutkan tadi mungkin lebih berkesan daripada kaedah berteknologi tinggi yang bukan sahaja mahal malah tidak selamat. Justeru itu, kami menggesa kerajaan dan Ketua Pengarah Keselamatan Bio agar tidak meluluskan permohonan untuk melepaskan nyamuk GM tetapi sebaliknya mendapatkan jalan keluar yang lebih selamat untuk mengawal penyakit bawaan vektor daripada merebak.

Penulis adalah presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang dan Sahabat Alam Malaysia.