Catatan Dari Honduras - Beberapa Jam Sebelum Kembali Ke Malaysia
Ketika catatan ini ditulis, nakama-nakamaku di Malaysia barangkali ada yang sudah tidur. Di sini, Matahari sudah pun terang, hari sudah pun siang. Hatiku sayu mengenangkan hari ini, adalah hari terakhirku di sini. Catatan ini kutulis ringkas-ringkas sahaja. Seperti pengalaman-pengalaman yang lalu, 99.95% akan menjadi rahsia abadi. Belum mampu kukongsikan sepenuhnya di sini. Barangkali suatu ketika nanti, aku akan menulis catatan pengembaraanku. Ketika itu, usiaku pasti sudah setengah abad atau mungkin lebih. Dalam kehidupan ini, adakalanya keputusan harus dibuat dalam diam, begitu juga matlamat, tujuan hidup dan cita-cita. Tidak semua perkara dapat kita kongsikan dengan manusia-manusia yang lain, tetapi seratus-peratus, atau mungkin lebih, kita berkongsi dengan Tuhan. Bagi manusia yang tidak memiliki Tuhan, bagaimana mereka dapat berkongsi seratus-peratus dengan Tuhan mereka. Beruntung, kita yang memiliki Tuhan. Kerana adanya Tuhan, maka kita dapat berkongsi keseluruhan isi hati kita, sama ada yang mampu digambarkan dengan kata-kata atau yang tidak mampu digambarkan dengan kata-kata. Kerana Tuhan... mampu melihat segala imaginasi dan isi hati kita. Beruntunglah aku kerana ada Tuhan.
|