Putera Katak Memang Wujud - Surat Pembaca
Surat kiriman daripada Gadis Takut Katak tapi mahu cari Putera Katak
Hai, Tuan Amiene Rev. Saya harap kalau Putera Katak betul-betul ada dekat dunia ni, sayalah orang paling takut untuk cium katak. Tapi kalau tak cium, melepaslah. Putera Katak ni boleh jadi Putera Kacak. Adakah Putera Katak ni ada bermacam-macam jenis? Betulkah?
Maklum balas daripada Amiene Rev
Putera katak memang wujud. Di televisyen pun ada siri drama dan cerita Putera Katak. Banyak juga sinopsis-sinopsis cerita Putera Katak yang boleh dibaca di dunia ini. Begitu juga dengan novel-novel Putera Katak, filem-filem Putera Katak malah ada juga Puteri Katak contohnya macam cerita The Frog Princess tu.
Berikut adalah gambar-gambar Putera Katak yang telah berjaya dikenal pasti. Rupa putera-putera katak ini memang hijau tetapi kalau dicium akan menjadi putera-putera yang kacak.
Putera Katak Berinai Hijau - Putera katak jenis ini suka memakai inai yang berwarna hijau. Lihatlah, betapa bahagianya katak ini memakai inai hijau. Putera katak ini juga agak suka berpolitik.
Putera Katak Keladi - Putera katak jenis ini pula jika kita bercakap dengannya umpama mencurahkan air ke daun keladi. Ia cuma tahu senyum sahaja tapi apa yang kita cakap, semuanya dia tak dengar. Putera katak ini suka makan aiskrim keladi.
Putera Katak Naruto - Putera katak ini suka menonton cerita Naruto sehingga mahkota yang dipakainya pun seperti rambut Naruto. Nampaknya populariti animasi Naruto juga popular di kalangan katak-katak kerana adanya watak-watak katak ninja seperti Gamabunta Oyabin dan Gamakichi.
Putera Katak Pucat - Putera katak jenis ini sering berwarna pucat. Dipercayai Putera katak ini suka mengurungkan dirinya di bawah tempurung, oleh itu ia tidak mendapat input yang secukupnya tentang dunia luar. Putera katak jenis ini amat bermasalah dalam mencari calon isteri.
Putera Katak Mata Merah - Putera katak jenis ini berkemungkinan adalah seekor katak pontianak. Namun, katak jenis ini tidak berpeluang muncul di dalam filem Twilight. Mungkin Dakota Fanning atau Jane perlu mengambil langkah yang serius bagi membenarkan pembabitan Putera Katak Mata Merah di dalam filem Twilight yang akan datang. Dipercayai Putera katak ini akan menjadi saingan kepada Edward sekiranya beliau dicium oleh Bella.
Putera Katak Gembira - Putera katak jenis ini adalah tembam dipercayai kerana suka ketawa. Apabila dia ketawa, badannya jadi tembam. Putera katak jenis ini amat kelakar dan amat suka menonton filem Buli dan Buli Balik. Ini kerana filem Buli dan Buli Balik amat menyentuh hati Putera Katak Gembira.
Oleh itu, kepada Gadis Takut Katak, janganlah berasa takut dengan katak kerana terdapat pelbagai jenis putera katak di dunia ini yang boleh dijadikan calon suami. Sekian, terima kasih.
|