BLOG DUKE AMIENE REV

Isnin, Disember 13, 2010

Isteri Kurang Kasih Sayang Minta Pandangan - Surat Pembaca

Lagu Tema Naruto: Naruto hidup tanpa kasih sayang ibu bapa. Naruto dibenci orang ramai, tetapi akhirnya Naruto berjaya mengubah semua itu, dia menjadi pujaan ramai. Lagu tema ini akan mengiringi pembacaan surat kali ini, kerana kisah hidup Puan Ainnur ada persamaan dengan kisah hidup Naruto, Gaara dan lain-lain watak Jinchuuriki dalam cerita Naruto.

Surat kiriman daripada Puan Ainnur, Isteri Yang Bersedih:
PUAN AINNUR: Selamat sejahtera, saya Ainnur, seorang isteri yang berada berada dalam dilema yang amat payah untuk membuat keputusan. Problem saya telah bermula sewaktu saya dalam waktu bercinta lagi, saya adalah seorang umat yang kurang kasih sayang, dan telah dipinggirkan oleh ibu bapa saya dari kecil lagi disebabkan beberapa faktor yang saya sendiri tidak pasti, yang saya tahu saya telah dijaga oleh nenek saudara dari kecil.


Jawapan daripada Amiene Rev:

Jika Puan Ainnur berada di depan saya, sudah pasti saya katakan: "Berhenti, ceritalah satu persatu supaya senang orang hendak mendengarnya. Penyampaian luahan masalah yang sebegini, tanpa perenggan dan tanpa tanda noktah, cuma tanda koma yang berterusan seolah tidak berhenti menarik nafas apabila bercakap, menunjukkan bahawa surat Puan Ainnur ini mungkin ramai yang tidak sanggup membacanya. Nasib baik saya ada pembantu setia yang sudi menyunting dan menyusun semula beberapa tanda baca dan perenggan untuk surat Puan Ainnur ini. Harap dapat patuhi tatacara dan adab menulis surat pada masa akan datang. "


Untuk perenggan di atas itu, saya ingin memberitahu Puan Ainnur satu perkara. Kita tidak boleh paksa orang menyayangi kita, tetapi kita bebas menyayangi semua hamba dan makhluk Allah. Memandangkan ibu bapa Puan Ainnur sendiri entah di mana, apa kata Puan Ainnur jangan menyakiti hati Puan Ainnur dengan berfikiran negatif dan menyakitkan hati. Tidak kira di mana mereka berada sekarang, mereka tetap ibu bapa Puan Ainnur. Tak guna menyeksa diri bersangka buruk terhadap ibu bapa sendiri sedangkan Puan Ainnur sendiri tidak tahu kenapa Puan Ainnur dipelihara oleh nenek saudara. Menderhaka namanya tu. Fikir positif. Mereka mungkin bukan meminggirkan Puan Ainnur, tetapi kerana faktor keselamatan Puan Ainnur, mereka terpaksa buat begitu. Kita tidak tahukan? Jangan sakiti hati sendiri dengan berfikiran negatif. Tak guna semua tu. Bukan dapat selesaikan masalah pun.


Baiklah, biar kita teruskan kembali dengan surat Puan Ainnur ini:
PUAN AINNUR: Oklah, pendekkan cerita. Saya seorang hamba yang mendambakan kasih sayang. Saya telah berjumpa suami saya melalui aturan kawan-kawan. Setelah bertemu saya dapat rasakan dialah yang akan mengisi kekosongan hati saya dan akan memberikan saya kasih sayang secukupnya. Alhamdulilah sangkaan saya tidak salah, suami saya amat penyayang orangnya, tetapi dalam itu saya ada seorang adik ipar di mana dia langsung tidak suka kepada saya, dari mula perkenalan kami lagi dia tidak menyukai saya kononnya saya tak tahu dari keturunan apa, baik atau buruk.

Untuk pengetahuan tuan saya berkahwin tanpa persetujuan keseluruhan keluarga, cuma ayah mentua saya sahaja yang sudi terima saya, ibu mertua dan adik ipar setuju setelah dimarah oleh bapa mertua saya, perkahwinan ini menyebabkan pentengkaran antara ibu dan adik ipar dengan ayah mertua saya, sehingga ayah mertua saya telah menghalau mereka jikalau tidak menerima saya.

Dengan itu bermulalah masalah saya hingga berlanjutan hingga ke hari ini,seandainya ada sesuatu tidak berkenan di hati adik ipar saya, dia akan mengadu terus kepada suami saya, walaupun hanya kesalahan kecil contohnya: saya termasam muka kepada ibu mertua saya, mulalah dia akan mencetuskan pentengkaran dengan saya. Katanya saya kurang ajar, perempuan tak kenal untunglah dan macam-macam lagi, pada permulaannya suami pun termakan dek kata adiknya itu sehingga kami bergaduh dan hampir bercerai, tetapi sekarang suami sudah tahu tentang perangai adiknya.


Tuan saya amat sayang akan keluarga saya tambahan pulak saya ada dua orang anak, tapi saya sudah tidak tahan akan perangai adik ipar yang selalu mencari kesalahan saya supaya kami akan bergaduh, ibu bapa mertua pun akan salahkan saya, walaupun itu semua adik ipar yang mulakan, ialah siapa tak sayang anak betul tak. Lagipun saya cuma anak menantu mereka, tapi saya telah buat yang terbaik untuk mereka, walaupun adik ipar saya buat begitu saya tak pernah nak melawan sebab saya hormatkan mereka dan suami saya.

Tapi sepanjang 7 tahun perkahwinan semua ini berlaku. Lagi pun saya hanyalah manusia biasa, dan saya sudah tidak tahan lagi, sudahlah ibu tiada bapa buang saya, mereka pula buat saya begini apalah yang patut saya buat mahu gila dibuatnya, kalau saya pilih untuk tinggalkan keluarga saya, anak-anak akan kecewa, tapi kalau saya teruskan saya akan terseksa sampai bila-bila.

Saya telah bawa berbincang tetapi cuma hanya seketika, kemudian ia akan berulang kembali. Saya mohon tolong carikan jalan peryelesaian yang terbaik untuk saya. Saya tiada sesiapa untuk backup saya. Peperangan ini macam saya hanya seorang diri, berjuang untuk menyelamatkan diri, tanpa ada bantuan dari sesiapa. Sekian, terima kasih.


JAWAPAN LANJUTAN DARIPADA AMIENE REV:
Setelah membaca keseluruhan tulisan Puan Ainnur, saya dapati Puan Ainnur sudah lupa akan sesuatu. Kenapa Puan Ainnur kata Puan Ainnur berjuang seorang diri tanpa ada sesiapa pun yang menyokong atau membela Puan Ainnur? Di mana letaknya kepercayaan Puan Ainnur terhadap Allah? Sekiranya benar Puan Ainnur teraniaya, dizalimi oleh ahli keluarga suami Puan Ainnur, lupakah Puan Ainnur bahawa doa Puan Ainnur itu amat makbul.

Astaghfirullahazim, Puan Ainnur. Kembalilah mengingati Tuhan-Mu. Barangkali dosa yang dialami oleh Puan Ainnur selama ini kerana Puan Ainnur bersangka buruk dengan ibu bapa Puan Ainnur, sehingga Allah mengurniakan ahli keluarga yang bersangka buruk pula terhadap Puan Ainnur. Berhentilah menyalahkan ibu bapa Puan Ainnur jika Puan Ainnur tidak tahu apa punca sebenarnya. Janganlah menyebut perkataan ditinggalkan, apatah lagi perkataan DIBUANG OLEH IBU BAPA SENDIRI. Memburuk-burukkan ibu bapaa sendiri itu menderhaka namanya.


Dekatkan dirimu kepada Tuhanmu, Puan Ainnur. Berkelakuan baiklah dengan ahli keluarga suami Puan Ainnur. Tak perlulah Puan Ainnur bermasam muka dengan ahli keluarga suami Puan Ainnur. Salah satu cara terbaik ialah tinggal berjauhan dengan keluarga mereka. Berdasarkan kefahaman saya, Puan Ainnur dan suami seolah-olah duduk serumah dengan ahli keluarga Puan Ainnur.

Apa pun saya tidak menyukai tindakan Puan Ainnur bersangka buruk terhadap ibu bapa sendiri. Cubalah mulai hari ini, ubah tanggapan Puan Ainnur terhadap ibu bapa Puan Ainnur. Sedekahkan Al-Fatihah kepada mereka tidak kira mereka masih hidup atau sudah meninggal dunia. Cintailah kedua ibu bapa Puan Ainnur. Hentikan kata-kata dan tuduhan yang tidak berasas. Hentikan menceritakan keburukan ibu bapa sendiri. Hentikan mengaibkan ibu bapa sendiri, Puan Ainnur.

Sedih saya membaca tulisan seorang anak yang sendiri tidak pasti sebab-sebab dirinya dipelihara oleh nenek saudara dan bukan ibu bapa sendiri, tetapi sudah sanggup melontarkan tuduhan terhadap ibu bapa sendiri. Apa Puan Ainnur rasa sekiranya orang lain melakukan perkara yang sama kepada Ainnur sedangkan mereka tidak ada bukti atau kepastian yang jitu untuk menuduh Puan Ainnur? Sejujurnya, timbul rasa marah saya kepada Puan Ainnur apabila Puan Ainnur bersangka buruk sedemikian rupa kepada ibu bapa Puan Ainnur sendiri dalam keadaan Puan Ainnur sendiri tidak memahami keadaan mereka.


Ingatlah. Allah sentiasa bersama hamba-hamba-Nya. Kembalilah kepada panduan agama. Masalah Puan Ainnur ini akan selesai dengan sendiri setelah Puan Ainnur berhenti bersangka buruk terhadap ibu bapa sendiri. Bersangka baiklah kepada mereka berdua, dan doakan kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat kepada ibu bapa sendiri. Semoga Allah akan menunjukkan jalan yang benar, dan mempermudahkan jalan hidup Puan Ainnur. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Maafkan saya sekiranya saya ada terkasar bahasa atau tersilap kata sepanjang menulis pandangan saya kepada Puan Ainnur. Apa pun saya percaya, jika Puan Ainnur tekun berdoa kepada Allah dan kembali bersangka baik kepada ibu bapa Puan Ainnur, pasti perubahan yang baik akan berlaku dalam hidup Puan Ainnur.

Sekian.