BLOG DUKE AMIENE REV

Khamis, Disember 16, 2010

Sajak Tempat-tempat Menarik Di Kota Tinggi - Johor

Sajak Tempat-tempat Menarik Di Kota Tinggi
Sajak ditulis oleh Amiene Rev (C) 2010

Ketika massih belajar di universiti dalam bidang sarjana muda pada beberapa tahun yang lalu, saya pernah bekerja sebagai Koordinator Pelancongan. Ketika itu, hobi saya melancong, mengembara dan menulis jurnal. Catatan pengembara, mengubat hati dengan pemandangan-pemandangan yang indah, serta budaya yang pelbagai. Mempelajari kehidupan manusia dari pelbagai aspek pemikiran dan kepercayaan. Menembusi ilusi bahasa, memahami isi hati pelbagai bangsa.

Sajak Pantai Desaru

Penulis: Amiene Rev

Kota Tinggi daerah diberi
penuh dengan sumber semula jadi
tempat letaknya Pantai Desaru
terkenal sudah di negeri Johor
pantainya memutih di bucu Selatan
tarikan pelancong dulu dan sekarang.

Berkelah, memancing, dan juga snorkling
tidak lupa berkayak dan jungle tracking juga
boleh juga menunggang kuda
atau meluncur laju di litar go-cart

Taman idaman bintang Tiger Wood
hasil imaginasi Robert Trent Jones Jr.
lalu terhasillah padang golf 18 lubang

Jangan risau untuk bermalam
kerana resort, restoran turut terbina
tak lupa kedai cenderamata untuk kenangan
buat para pelancong datang dan pergi.

Panduan Menuju ke Pantai Desaru - Pantai Desaru terletak di Tanjung Penawar, Kota Tinggi. Pengunjung boleh menaiki pengangkutan bas di mana jarak dan masa lebih kurang seperti berikut:
  • Dari Johor Bahru : 102 km, 1 jam 30 minit
  • Dari Kuala Lumpur : 436 km, 4 jam 15 minit
  • Dari Singapura : 125 km, 2 jam 15 minit
Bagi pengunjung Singapura, terdapat pilihan untuk menggunakan pengangkutan feri di Changi Point, Singapura yang akan mengambil masa lebih kurang 1 jam 30 minit. Feri ini mampu menempatkan kira-kira 400 penumpang dan 70 buah kereta.

Sajak Air Terjun Kota Tinggi
Penulis: Amiene Rev

15 Kilometer dari Bandar Kota Tinggi
pastilah Air Terjun Kota Tinggi tempat dikunjungi
Mengalir deras di kaki Gunung Muntahak
setinggi 634 meter
jika ingin berenang ke mari
sungai dingin dan kolam hijau sedia menanti

Chalet dan tapak perkhemahan
bagi pengembara
kalau mahu makan
gerai makan pun ada

Lokasi Air Terjun Kota Tinggi - Air Terjun Kota Tinggi terletak di barat laut Bandar Kota Tinggi. Oleh itu, jika anda dari Bandar Kota Tinggi, sila ikut Jalan Lombong.

Pantai Tanjung Balau
Penulis: Amiene Rev

Indah sungguh panorama Tanjung Balau
perkampungan nelayan lokasi diberi
Muzium Nelayan Tanjung sedia dikunjungi

Penduduk di sini amatlah mesra
para pelancong dijemput homestay
rasailah kelazatan makanan tradisi

Sejarah Ringkas Muzium Nelayan Tanjung Balau - Muzium Nelayan Tanjung Balau telah dibina dalam tahun 1985. Muzium ini menyimpan pelbagai khazanah berkaitan cara hidup, teknik dan perkakasan nelayan sejak zaman-berzaman.

Lokasi Pantai Tanjung Balau - Dari Bandar Kota Tinggi, anda bergerak terus sejauh 47 km. Apabila tiba di satu simpang di mana terdapat stesyen minyak Petronas di sebelah kiri, anda masuk ke selekoh sebelah kiri. Lebih kurang 5km dari simpang tersebut, anda akan menemui bulatan (round-about) yang pertama. Masuk simpang ke kanan (pukul 3) dan anda akan tiba di Pantai Tanjung Balau kira-kira 1km dari simpang tersebut.

Pantai Teluk Mahkota
Penulis: Amiene Rev

Dahulu namanya Teluk Jason
Kini 'muallaf' namanya Teluk Mahkota
Pantainya luas, kuat berangin
ombak berderu menghempas pantai
alangkah indah bunyian alam.

Singgahlah ke chalet dan kedai makan
irama malam indah sentiasa

Lokasi Pantai Teluk Mahkota - Jika anda dari Bandar Kota Tinggi, anda boleh bergerak terus ke utara. Kira-kira 13 km dari Bandar Kota Tinggi, anda belok ke kanan dan terus begerak sejauh 23km. Belok ke kanan sekali lagi dan kira-kira 2km dari simpang tersebut anda akan tiba di Pantai Teluk Mahkota.

Jika anda dari Bandar Mersing, anda bergerak ke selatan sejauh 79km. Kemudian, belok ke kiri. Anda akan tiba di Pantai Teluk Mahkota setelah bergerak sejauh kira-kira 25km.

Pantai Teluk Ramunia
Penulis: Amiene Rev

Jauh 90 kilometer dari Bandar Kota Tinggi
Pantai Teluk Ramunia nama tersohor
lokasi popular dipenuhi resort
Berbasikallah menikmati panorama indah

Sukan air menanti di sini
kayak, jet-ski dan juga menyelam
ada lagi perkampungan nelayan
jangan segan singgahlah ke mari.

Lokasi Pantai Teluk Ramunia - Dari Bandar Kota Tinggi, anda bergerak terus sejauh 47 km. Apabila tiba di satu simpang di mana terdapat stesyen minyak Petronas di sebelah kiri, anda masuk ke selekoh sebelah kiri. Lebih kurang 5km dari simpang tersebut, anda akan menemui bulatan (round-about) yang pertama. Masuk simpang ke kanan (pukul 3) dan anda akan tiba di Pantai Teluk Ramunia kira-kira 24km dari simpang tersebut.