Kisah Hantu Asrama - Cerita Hantu Asrama - Temubual 1-4
Kisah Hantu Asrama - Cerita Hantu Asrama 1:
"Nak Balik ke? Haa... Dah Tau Dah."
Temubual Amiene Rev dengan Warga Asrama
"Nak Balik ke? Haa... Dah Tau Dah."
Temubual Amiene Rev dengan Warga Asrama
Kisah-kisah hantu di asrama memang banyak di dengar. Kali ini, Amiene Rev menerima aduan daripada sekumpulan manusia yang meminta Amiene Rev menyiasat kewujudan hantu di sebuah sekolah di satu negeri yang dirahsiakan. Menurut pengadu menerusi e-mel yang dikirimkan kepadaku, dia takut hendak belajar di sekolah itu lagi, tetapi kewujudan hantu tersebut dikatakan rekaan pelajar semata-mata. Sebagai anggota pengkaji peristiwa mistik dan paranormal, Amiene Rev pun bergegas ke tempat kejadian.
TEMUBUAL 1: MOHON MESIN BASUH AUTOMATIK UNTUK ELAK DIGANGGU HANTU
NOTA: Temubual Amiene Rev Dengan Pelajar Di Sekolah Asrama Berhantu. Temubual ini telah diringkaskan.
Amiene Rev: Saudarikah yang menghantar e-mel kepada saya mengenai sesuatu yang mengganggu pelajar-pelajar di asrama ini, tempoh hari?
Pelajar 1: Sebenarnya ini cerita kawan saya, saya takutlah.
Amiene Rev: Bagaimana ceritanya?
Pelajar 1: Ada kawan saya tengah basuh baju dalam bilik air, lepas tu dia jumpa hantu tak ada kaki dalam bilik air.
Amiene Rev: Lepas itu apa yang terjadi?
Pelajar 1: Kawan saya itu larilah.
Amiene Rev: Lari macam itu saja?
Pelajar 1: Tak, sebelum tu, hantu tu suruh dia kutip berus. Lepas tu baru dia lari. Tapi bila nak kutip berus tulah baru kawan saya sedar yang hantu tu tak ada kaki. Hantu tu sempat tanya, dah nak balik dah? Tapi kawan saya lari macam itu saja. Hantu tu pun cakap "Ha... dah tau dah"
Amiene Rev: Berus tu siapa yang punya?
Pelajar 1: Hantu tu yang punya. Lepas tu sekarang, kita orang harap sangat-sangatlah kalau pihak asrama sediakan mesin basuh. Kalau boleh yang automatik.
TEMUBUAL 2: TAKUT BELAJAR DI STUDY ROOM KERANA DIGANGGU HANTU STUDY ROOM
Temubual yang kedua ini, melibatkan pelajar yang lain pula di sekolah yang sama. Untuk memastikan kesahihan cerita sebelum melakukan siasatan lanjutan dengan memanggil pakar-pakar perunding hantu, aku perlu melakukan pengesahan terlebih dahulu supaya tidak menyusahkan individu-individu yang hendak dipanggil nanti. Manalah tahu jika cerita hantu asrama yang diceritakan ini sekadar rekaan semata-mata?
Amiene Rev: Sudah lamakah cerita hantu di asrama sekolah ini tersebar?
Pelajar 2: Lama jugalah. Sejak dari tingkatan 1 sampai sekarang, saya selalu dengar cerita fasal hantu-hantu yang kacau budak-budak ni.
Amiene Rev: Di mana hantu tu selalu ganggu pelajar?
Pelajar 2: Selalunya di bilik belajar. Study room. Sesiapa yang rajin sangat belajar di bilik belajar tu sampai larut malam mesti kena. Dah ramai dah yang kena.
Amiene Rev: Berapa ramai?
Pelajar 2: Ramai.
Amiene Rev: Cerita mereka sama?
Pelajar 2: A'ah. Hantu tu pura-pura pen jatuh. Lepas tu dia suruh pelajar tu kutip.
Amiene Rev: Rupa hantu tu macam mana?
Pelajar 2: Macam orang. Dia menyamar jadi pelajar lain.
Amiene Rev: Agak-agak tahu tak siapa nama rupa pelajar yang hantu tu samarkan?
Pelajar 2: Ramai. Tapi selalunya macam kawan baik pelajar tulah.
Amiene Rev: Apa ciri-ciri fizikal rupa hantu tu semasa dia menyamar jadi pelajar?
Pelajar 2: Hantu tu tak ada kaki. Dia suruh ambil pen, lepas tu masa nak ambil pen, tengok kaki pelajar tu tak ada. Terus pelajar tu cabut lari.
Amiene Rev: Hantu tu ada kejar pelajar tu tak?
Pelajar 2: Tak. Dia tanya saja, dah nak balik dah? Lepas tu hantu tu cakap, "Ha... dah tau dah."
Amiene Rev: Apa tindakan para pelajar bila dah tau ada hantu di bilik belajar tu?
Pelajar 2: Kita orang dah jarang pergi belajar kat study room. Takutlah.
TEMUBUAL 3: HANTU MENGIRA BERAPA ORANG PELAJAR DAH TIDUR DI ASRAMA
Kedua-dua pelajar yang ditemubual menunjukkan ada persamaan dalam kisah gangguan hantu. Apa pun sama ada cerita ini disebarkan menerusi kawan-kawan yang kemudiannya diingati atau dihafal oleh pelajar-pelajar di sekolah itu tidaklah dapat disahkan. Oleh itu, Amiene Rev meneruskan temubualnya dengan pelajar yang lain. Ternyata, hasilnya kali ini berbeza.
Amiene Rev: Saudara mengakui pernah diganggu hantu?
Pelajar 3: Betullah tu. Takutlah!
Amiene Rev: Di mana hantu itu mengganggu saudara?
Pelajar 3: Di bilik asrama kita orang. Seram!
Amiene Rev: Bagaimana saudara tahu yang mengganggu itu ialah hantu?
Pelajar 3: Masa tu saya dan tiga orang kawan saya ada dalam bilik. Kawan saya semua dah tidur. Saya belum.
Amiene Rev: Apa hantu tu buat?
Pelajar 3: Hantu tu cakap, "Katil satu dah tidur, katil dua dah tidur, katil tiga dah tidur... katil empat belum tidur lagi." Lepas tu hantu tu mengilai kuat-kuat.
Amiene Rev: Hantu tu ada di mana?
Pelajar 3: Dekat atas almari atau celah siling dekat langsir. Tak pastilah! Takut!
Amiene Rev: Almari tu berada di mana? Dekat dengan tingkap?
Pelajar 3: Ya. Lepas tu saya tak duduk asrama lagi dah. Lagi sanggup berulang dari rumah ke sekolah. Tak jauh pun. Naik bas saja.
Amiene Rev: Suara hantu tu suara lelaki ke suara perempuan? Ada nampak tak hantu tu?
Pelajar 3: Suara hantu tu macam lelaki, tetapi kepit-kepit macam perempuan. Macam pondan pun ada. Tapi biasalah suara hantu memang macam tu.
Amiene Rev: Ada kemungkinan tak, ada pelajar nakal di luar bilik asrama?
Pelajar 3: Tak pastilah pula.
RUMUSAN: Berdasarkan keterangan Pelajar 3 di atas, ada kemungkinan hantu yang dimaksudkan oleh beliau itu adalah hantu yang dibuat-buat. Mungkin ada pelajar lelaki lain dari bilik asrama yang lain yang mengusik beliau.
TEMUBUAL 4: HANTU MENYAMAR KAWAN, TEMANKAN PELAJAR PERGI KE TANDAS
Temubual yang keempat ini menyaksikan perkaitan antara hantu dari bilik asrama ke tandas. Nampaknya bilik asrama dan tandas merupakan dua lokasi popular untuk cerita-cerita hantu di asrama dikaryakan.
Amiene Rev: Cuba ceritakan bagaimana kisah kawan anda itu disakat hantu.
Pelajar 4: Masa tu kawan saya ada lagi di sekolah ni. Dia hendak pergi tandas seorang diri, memang takutlah. Jadi dia ajak kawan saya seorang lagi.
Amiene Rev: Masa tu saudara tingkatan berapa?
Pelajar 4: Masa tu tingkatan 2.
Amiene Rev: OK. Baiklah, undang-undang apabila pergi ke tandas pada waktu malam. Hendaklah berteman dan membawa lampu suluh. Pastikan, tinggalkan nota atau pesanan kalau pergi ke tandas.
Pelajar 4: Betul. Betul. Masa kita orang pergi kem pun, kem komandan selalu cakap macam tu. Jangan berani pergi tandas seorang diri malam-malam. Tempat tu keras!
Amiene Rev: Teruskan dengan cerita tadi.
Pelajar 4: Kawan saya ni pun ajaklah seorang lagi kawan kami. Mudah saja kawan saya tu bangun. Memang dua-dua mengantuk. Jadi tak perasan sangatlah rupa masing-masing. Bila keluar dari tandas, kawan saya yang tolong teman tadi dah hilang. Dia panggil-panggil tapi tak ada orang jawab. Dengar bunyi air, "Tik! Tik! Tik!" saja. Dia rasa seram sejuk, terus lari balik. Tup, tup, tengok kawan dia tengah syok tidur atas katil.
Amiene Rev: Lepas tu apa dia buat?
Pelajar 4: Dia tanya kenapa kawan saya yang seorang lagi ni tinggalkan dia. Kawan dia cakap, "Jangan mengarutlah, aku mengantuk ni. Mana ada aku ikut kau tadi." Lepas tu kawan saya pun seram.
Amiene Rev: Kemudian apa jadi?
Pelajar 4: Kawan saya tu tidur balik. Tarik selimut. Lepas tu dia tak berani pergi tandas malam-malam lagi. Kalau dia nak buang air, dia buang air sebelum pukul 10 malam. Selamat.
Amiene Rev: Sebab itulah, peraturan pada waktu malam, kalau hendak tidur, pergi ke tandas dulu. Kalau nak tidur pula jangan lambat-lambat. Basuh kaki sebelum tidur.
KESIMPULAN: Kisah gangguan hantu di asrama tersebut sehingga kini belum dapat disahihkan. Apa pun berdasarkan sejarah pembinaan sekolah tersebut, ternyata sekolah tersebut dikatakan dibina di atas kawasan yang agak keras pada dahulu kala.
|