BLOG DUKE AMIENE REV

Jumaat, Disember 10, 2010

Dosa-Dosa Di Facebook - Dosa Terdedah Di Facebook

Dosa Di Facebook - Manusia Kini Tidak Malu Menunjukkan Dosa-dosa Mereka
Golongan fasik (tidak layak menjadi contoh dan pemimpin) semakin berani!

Facebook mengundang dosa yang tidak terkira banyaknya. Dosa-dosa ini menunggu masa untuk dilakukan menerusi Facebook. Tanpa kita sedari, Facebook yang menjadi kegilaan ramai umat manusia pada hari ini sama seperti Friendster, MySpace, Hi5, Person, Flixster dan lain-lain laman web sosial, turut mengundang dosa kepada pemilik akaun, pengunjung dan penggunanya. Berikut adalah senarai dosa besar dan dosa kecil yang mungkin telah dilakukan oleh pengguna-pengguna facebook sama ada secara sedar atau tidak:


Golongan fasik semakin berani mendedahkan
gambar aurat mereka
kepada khalayak umum

DOSA AKIBAT MENGGUNAKAN FACEBOOK - Mendedahkan aurat diri sendiri
Di pejabat, di luar rumah dan di sekolah, mungkin kita lihat mereka ini menutup aurat. Namun di dalam Facebook, gambar-gambar mereka yang tidak menutup aurat terdedah. Antara aurat yang kerap didedahkan ialah rambut bagi wanita, dan lutut bagi lelaki. Manakala bahagian yang melampau untuk didedahkan adalah apabila ada segolongan wanita yang sanggup menayangkan gambar-gambar mereka berbikini, berpakaian mandi sehingga menampakkan peha, buah dada, lurah buah dada, pusat dan sebagainya. Golongan fasik seperti ini semakin berleluasa. Tidak cukup di dunia nyata, mereka sanggup menyebarkan pula aksi-aksi mereka di dalam internet untuk tontonan ramai, tidak kira kawan-kawan atau pun orang yang tidak dikenali.

Bukan sahaja orang Barat, orang Asia kini tidak segan silu bergambar
dalam keadaan berbikini tidak kira di pantai atau di kolam mandi

DOSA PENGGUNA FACEBOOK - Mencarut, maki-hamun dan mencerca orang lain
Dosa seperti ini selalunya dilakukan oleh golongan kanak-kanak, namun tidak terkecuali juga golongan yang sudah akil baligh. Pelbagai lontaran kata-kata kesat ditaip di ruangan komentar dan wallpost, di mana semua ini menjatuhkan maruah.

Golongan fasik rasa hebat bila dapat bergambar
sambil berpegang-pegangan tangan


DOSA AKIBAT MENGGUNAKAN FACEBOOK - Aksi tidak bermoral, mungkar dan mengaibkan
Sesetengah pengguna Facebook suka memaparkan aksi tidak sopan mereka bersama golongan bukan muhrim. Ada yang bergambar dalam keadaan separuh bogel dengan golongan bukan muhrim, ada yang memeluk atau melakukan aksi intim atau mesra terhadap golongan bukan muhrim seperti peluk-memeluk, meletakkan kepala di atas bahu bukan muhrim, bergambar rapat-rapat antara lelaki dan perempuan bukan muhrim, bermanja-manja dan sebagainya yang dianggap tidak senonoh dan tidak patut dipertontonkan ke khalayak ramai. Apatah lagi, mereka sanggup merakamkan aksi tersebut dalam bentuk video dan gambar foto. Amat memalukan! Mungkin golongan fasik ini merasakan hebat atau bangga kerana mereka dapat melakukan perkara-perkara seperti di atas tetapi ketahuilah, hakikatnya gambar-gambar mereka itu memaparkan kehinaan mereka.

Golongan fasik lelaki dan perempuan bukan muhrim tidak segan silu bergambar
sambil bersentuhan badan, bermanja-manja atau berpeluk-pelukan

DOSA AKIBAT MENGGUNAKAN FACEBOOK - Kata-kata kasar dan menyakitkan hati orang lain
Alangkah memalukan apabila konflik dan pergaduhan terbawa-bawa ke laman web sosial. Ramai mata menyaksikan perkataan-perkataan negatif tertulis di ruangan komen dan wallpost. Kata-kata ini pula kekal sehingga berhari-hari lamanya dan mungkin berbulan-bulan lamanya sekiranya tidak dipadamkan.
Golongan fasik akan memfitnah dan mencerca orang yang lantang menegur
mereka
supaya orang yang menegur mereka itu malu dan dibenci golongan fasik yang lain

DOSA AKIBAT MENGGUNAKAN FACEBOOK - Mendedahkan keaiban suami atau isteri
Alangkah bodohnya seorang suami atau seorang isteri apabila sanggup mendedahkan keaiban pasangan hidup sendiri di internet. Bukan sahaja menambahkan dosa, malah memalukan diri sendiri dan pasangan hidup.

Golongan fasik secara semula jadi akan membenci orang yang
suka menyebarkan kata-kata kebaikan, teguran dan nasihat.

DOSA AKIBAT MENGGUNAKAN FACEBOOK - Menyamar menjadi orang lain
Di dalam dunia ini masih ada golongan yang sangat pelik kerana sanggup membuang masa untuk menyamar dan memperdayakan orang lain. Antara tujuan mereka melakukan penyamaran ini adalah untuk mempermain-mainkan orang lain, merisik maklumat tertentu menerusi orang lain atau memecah-belahkan orang-orang tertentu. Ada juga yang bertujuan menumpang populariti orang tertentu dengan menyamar menjadi orang tertentu. Betapa hina dan tidak bermaruahnya tindakan orang seperti ini. Dosa mereka bertambah apabila ada tindakan atau aksi mereka yang boleh memberi nama buruk kepada individu asal.

Golongan fasik terang-terang melakukan kemungkaran dan maksiat. Mereka
akan mempertahankan
orang yang melakukan kemungkaran, dan membenci
serta memburuk-burukkan orang-orang
yang kerap menegur mereka.

DOSA PENGGUNA FACEBOOK - Dosa makan gaji buta semasa waktu bekerja
Ada segelintir pengguna Facebook yang ketagih bermain facebook sehingga sanggup membuka facebook pada masa lapang. Tambahan pula kini terdapat pula versi facebook yang khusus untuk dibuka dan dilayari menerusi telefon pintar seperti iPhone, BlackBerry dan sebagainya. Dengan adanya fungsi seperti ini, maka semakin rapatlah pengguna-pengguna Facebook dengan dunia Facebook. Permainan-permainan online yang dipaparkan di dalam Facebook pula menambahkan lagi kelalaian bagi pengguna-pengguna Facebook yang tegar. Kerja-kerja pejabat tidak terurus dan hasil kerja menjadi kurang berkualiti.

DOSA PENGGUNA FACEBOOK - Membuang duit di Facebook
Bagi pengguna-pengguna Facebook yang ketagih bermain permainan online di dalam Facebook, mereka sanggup mengeluarkan duit sebagai jalan pintas untuk menjadi lebih hebat dan kuat, bagi membeli peralatan yang cuma wujud dalam permainan tersebut. Bagi pengguna-pengguna yang tidak ada talian internet pula, mereka mungkin lebih suka membuang masa di pusat-pusat siber atau kafe internet.

Golongan fasik apabila ditegur, mereka akan tetap melakukannya kecuali jika
perbuatan itu mendatangkan kerugian (hal duniawi) pada diri mereka

DOSA PENGGUNA FACEBOOK - Mengutuk diri sendiri, memburuk-buruk, atau mempersendakan ulama, ibu bapa, guru dan agama.
Baru-baru ini kita dikejutkan dengan tindakan bodoh seorang pengguna Facebook yang sanggup mengeluarkan kenyataan mahu membunuh seorang ulama di sebuah negara, di mana kenyataannya itu sangat-sangat menimbulkan rasa sedih di kalangan umat Islam. Tidak kurang juga Facebook menjadi medan untuk individu tertentu mengutuk ibu bapa, guru-guru dan mengeluarkan kata-kata yang menghina agama. Kebiasaannya mereka akan mengutuk atau memburuk-burukkan individu-individu yang terdapat dalam satu-satu gambar. Mangsa yang dikutuk biasanya adalah guru-guru, atau individu yang sering memerhati dan menegur atau menghalang mereka daripada melakukan kemungkaran seperti pengetua, guru penolong kanan, guru disiplin, ustaz-ustazah, ulama dan sebagainya.

Tanda-tanda golongan fasik adalah terang-terang melakukan maksiat dan
kemungkaran
. Mereka tergamak memalukan ulama, guru-guru dan
orang-orang yang memberi nasihat
.

DOSA PENGGUNA FACEBOOK - Biadab dan kurang ajar, gurauan berunsurkan maksiat
Salah satu dosa yang paling kerap dilakukan sama ada secara sedar atau tidak. Sesetengah gurauan kadangkala menyinggung perasaan orang tertentu secara terang-terangan dan menimbulkan malu atau menjatuhkan maruah orang-orang tertentu.
Golongan fasik merasa hebat melakukan kemungkaran

DOSA PENGGUNA FACEBOOK - Menyokong perkara-perkara mungkar dan menyalahi agama

Antara salah satu dosa yang kerap dilakukan oleh pengguna Facebook adalah dengan menyokong atau menunjukkan sokongan terhadap laman-laman yang berunsur menyokong kemungkaran, menghina Islam dan laman-laman yang menjurus kepada maksiat atau kumpulan yang bertemakan maksiat dan hiburan. Mereka memuja-muja golongan mungkar ini dan secara terang-terangan menunjukkan sokongan mereka terhadap kewujudan kumpulan-kumpulan atau aktiviti-aktiviti seperti ini.

Tanpa segan silu, golongan fasik ini mempromosikan kemungkaran mereka
menerusi gambar-gambar mereka di internet, dan mereka berbangga dengannya


DOSA PENGGUNA FACEBOOK - Mempromosikan kemungkaran dan mempertahankannya

Ada juga pihak yang sanggup mempromosikan kemungkaran. Contohnya dua individu, lelaki dan perempuan yang tidak ada pertalian darah. Apabila ditegur, mereka memarahi orang yang menegur. Mereka mengatakan mereka adalah adik-beradik (adik-beradik angkat masih bukan muhrim) oleh itu mereka konon-kononnya boleh bersentuh-sentuhan. Malah ada yang lebih teruk sanggup memfitnah orang yang menegur, mereka-reka cerita terhadap orang yang menegur supaya orang yang ditegur itu dibenci oleh golongan seangkatannya. Antara tuduhan dan keaiban berat yang pernah dilakukan adalah apabila orang yang menegur itu sama jantina dengan orang yang ditegur, mereka menuduhnya cemburu dengan hubungan mungkar mereka berdua, lalu mengatakan orang yang menegur itu sebagai homoseks dan sebagainya untuk mengaibkan orang yang ditegur supaya tidak menegur perbuatan mungkar mereka. Bagi mereka apabila lelaki dan perempuan rapat-rapat maka itu adalah persaudaraan dan normal, sebaliknya apabila dua lelaki berbaik atau saling mengambil berat atau saling menasihati, itu dianggap homoseks. Betapa jahatnya golongan fasik dan mungkar ini dalam memastikan kemungkaran dan kefasikan terus mendapat tempat.

Golongan fasik hidup dalam kesenangan tetapi dimurkai Allah
Sesetengah golongan mungkar ini merasakan mereka tidak bersalah kerana mereka sering mendapat kenikmatan, kemewahan dan sebagainya lalu mereka merasakan mereka berada di pihak yang benar. Hakikatnya mereka tidak sedar bahawa kesemua itu telah Allah berikan kepada mereka tanpa mendapat keredhaan Allah, dan sesungguhnya golongan seperti ini akan rugi di akhirat kelak kerana dosa mereka mengaibkan orang yang cuba membawa mereka ke jalan yang benar. Maka orang-orang yang beriman, janganlah kamu berasa Allah itu tidak adil, apabila melihat golongan mungkar menaiki kenderaan mewah, mendapat kesenangan dan bebas melakukan kemaksiatan kerana sesungguhnya mereka itu adalah golongan yang bakal mendapat seksaan yang pedih di akhirat kelak kerana dosa, kemungkaran dan kederhakaan yang telah mereka lakukan kepada ibu bapa, guru-guru, ulama-ulama dan Tuhan mereka.