24 NOVEMBER 2011 - SELAMAT HARI LAHIR - AMIENE REV
Hari ini aku menerima banyak ucapan Selamat Hari Jadi, aku berasa sangat gembira dan bersyukur. Ucapan yang datangnya dari dalam dan luar negara. Dari seberang lautan, merentas benua.
Dalam hidup ini kita selalu cuba untuk menyenangkan hati orang tetapi kita rasa kita tidak mampu berbuat demikian. Namun, apabila tiba Hari Lahir, dan ramai orang mengucapkan Selamat Hari Lahir, kita akan berasa terharu, kerana rupanya ramai orang yang menyenangi kita. Biarpun kesibukan dengan jadual kerjaya dan aktiviti harian, namun rupanya kita masih sentiasa diingati orang. Alhamdulillah kepada Allah yang Maha Mengasihani lagi Maha Mengetahui.
Ucapan Hari Lahir wujud dalam pelbagai bentuk. Sama ada kata-kata, tulisan, grafik, bahasa badan, sentuhan, audio, elektronik dan banyak bentuk. Namun, apakah bahan yang terkandung dalam Ucapan Selamat Hari Lahir yang menyebabkan setiap manusia berasa tersentuh. Mesej yang menyebabkan kewujudan kita di dunia ini diterima.
Bagi setiap manusia, satu-satunya perkara yang paling mampu membuatkan manusia terharu, barangkali adalah perasaan kewujudan dirinya dihargai. Itulah mesej yang paling kuat dalam ucapan Selamat Hari Jadi.
|