Alamak Toyol - Legasi Raja Lawak dan Geng Bas Sekolah
ALAMAK TOYOL adalah nama bagi sebuah filem arahan Bob Hashim yang juga pengarah filem box office Ngangkung. Angah Raja Lawak atau nama sebenarnya Iskandar Shah Hashim, dan Along Cham (Raja Lawak juga) merupakan dua bintang utama filem ini selain seekor toyol yang dilakonkan oleh Muhammad Afiq Izzuddin yang juga merupakan watak antagonis dalam Geng Bas Sekolah versi baru. Hamid Gurkha juga turut beraksi sebagai Pak Umar yang terbeli toyol hijau murah yang tak tahu mencuri dalam filem ini sebelum menjualnya kepada Angah dan Along. Dalam filem ini, watak toyol hijau digambarkan sebagai toyol yang paling murah dan tolol kerana tidak tahu mencuri. Ini berbeza dengan Toyol 8 Juta yang mampu mencuri dengan selamba di rumah orang kaya sebelum memandu kereta mewah pacuan empat roda.
Jalan cerita ALAMAK TOYOL tidak sama seperti konsep filem komedi basi yang sebelumnya terkenal dengan lawak memperbodoh-bodohkan penonton. Filem ALAMAK TOYOL tampil dengan cadangan idea kreatif iaitu, jika selama ini kita tahu toyol pandai mencuri, bagaimana pula jika kita buat cerita tentang toyol yang tidak pandai mencuri sehingga memeningkan kepala tuannya. Dalam filem ALAMAK TOYOL ini, watak toyol bukan digambarkan sebagai hamba atau jin suruhan, tetapi digambarkan sebagai mempunyai hubungan rapat seperti saudara kandung dengan tuan-tuannya. Angah telah menganggap si Toyol Hijau seperti adik kandungnya walaupun dia tahu toyol itu adalah 'setan'. Toyol dalam filem ALAMAK TOYOL juga tidak menakutkan walaupun toyol ini mempunyai kebolehan untuk membunuh. Toyol Hijau ini bersifat manja dan suka bermain-main.
Jadi, sebenarnya bagaimana Angah dan Along boleh terambil Toyol sebagai adik angkat mereka? Kisahnya bermula dengan Pak Umar lakonan Hamid Gurkha yang pergi membeli Toyol Hijau yang murah daripada seorang bomoh penyimpan toyol. Terdapat banyak koleksi toyol, ada yang gemuk, perkasa dan kurus. Ada yang berharga sehingga 8 juta. Toyol 8 Juta dikatakan sebagai milik David Teo sebelum David Teo menjadi kaya-raya. Ini adalah unsur parodi dalam filem ALAMAK TOYOL.
Oleh kerana tidak tahan dengan Toyol yang tidak pandai mencuri, Pak Umar pun mengembara ke seluruh bandaraya untuk mencari orang yang mahu menerima toyol tersebut. Secara tidak sengaja, Pak Umar telah cuba disamun oleh Angah dan Along. Pak Umar pun menawarkan Toyol kepada Angah dan Along. Apabila Angah dan Along enggan menerima Toyol, Pak Umar pun mengekori Angah dan Along sehinggalah pada akhirnya Angah dan Along menerima Toyol tersebut.
Cerita ALAMAK TOYOL menerima tepukan daripada para penonton di panggung wayang, barangkali kerana keberanian Muhammad Afiq Izzuddin melakonkan watak toyol dan juga kejayaan Angah dan Along membawa watak mereka sebagai peragut, penyamun dan perompak yang sering bernasib malang. Berdasarkan kepada respon para penonton terhadap filem ALAMAK TOYOL di panggung, saya percaya filem ALAMAK TOYOL mampu menjadi sebuah filem box office juga. Tahniah kepada semua krew penerbitan dan para pelakon filem ALAMAK TOYOL.
|