BLOG DUKE AMIENE REV

Ahad, November 06, 2011

Orang Putih Kecewa Rakyat Malaysia Tidak Hormat Kematian Marco Simoncelli

Saya tersentuh hati membaca tulisan MAT LAN MAT DIN dari Klang, Selangor mengenai sikap sesetengah rakyat Malaysia yang lebih mengutamakan duit membeli tiket berbanding tragedi yang telah menimpa pelumba motosikal Honda, Marco Simoncelli. Di sini ingin saya bandingkan dengan peristiwa kematian seorang budak perempuan Cina di negara China, yang dibiarkan terseksa menghadapi kesakitan oleh beberapa belas penduduk warga China sebelum diselamatkan oleh seorang pengemis wanita. 

Ketika Marco Simoncelli menemui ajalnya, dan perlumbaan dibatalkan, masih ada penonton Malaysia yang masih mahu perlawanan itu diteruskan. Apa bezanya taraf nilai perikemanusian golongan ini dengan golongan warga China yang dikutuk seluruh dunia tempoh hari? 

Sebelum ini, satu dunia, malah blogger dari China sendiri pernah menulis bahawa kalau budak perempuan tersebut yang bernama Yue Tue, supaya sekiranya dilahirkan semula, jangan lagi dilahirkan di China. Kemudian, sikap rakyat Malaysia itu sendiri yang tidak ada langsung rasa sedih atau bersimpati apabila berlakunya kematian. Berita ini sebenarnya telah menghilangkan rasa hormat saya terhadap sesetengah perkara, berkaitan dengan sikap manusia pada hari ini.

Manusia hari ini mempunyai satu nafsu yang sangat pelik, iaitu nafsu memanjakan anak-anak sehingga apabila mereka besar, mereka menjadi orang yang mementingkan diri sendiri, sanggup menjadi parasit, sanggup menyusahkan orang lain demi kepentingan diri sendiri, suka meminta-minta, memberontak dan bertindak liar apabila kepentingan diri tidak dipenuhi, tidak mengenang budi dan sebagainya.

Telah lahir banyak manusia pada akhir zaman ini yang tidak lagi memiliki perikemanusiaan dalam diri mereka. Mungkin suatu ketika nanti, akan lahir sekumpulan manusia pejuang kemanusiaan yang bertindak membunuh semua manusia yang tidak berperikemanusiaan ini dan akhirnya wujud dunia baru di mana cuma manusia yang berperikemanusiaan sahaja yang tinggal. Logikkah begitu?

Peradaban manusia semakin hari semakin hilang. Cuma ada teknologi yang canggih yang menyenangkan hidup manusia, menyebabkan manusia tidak perlu lagi bersusah payah dalam banyak perkara. Oleh kerana mereka tidak merasai apa maksud kesusahan hidup, mereka tidak lagi menghargai pertolongan atau kehidupan orang lain. Kerana itu pada suatu hari nanti, manusia akan kembali semula ke zaman di mana kuda dan unta menjadi kenderaan, dan, kapak, pedang, busur dan anak panah akan kembali menjadi senjata untuk berburu dan berperang. Pada ketika itu, ilmu agama dan kitab Allah akan menjadi panduan hidup yang paling berharga, persaudaraan sesama manusia kembali meningkat. Buat masa ini, umat manusia cuma perlu bertahan, hidup dalam dunia moden yang dihuni juga oleh binatang-binatang yang tidak tahu menggunakan akal dan tidak mahu menghayati nilai perikemanusiaan.

Mat Salleh Melihat Gelagat Penonton Malaysia Dengan Penuh Kehairanan

SAUDARA PENGARANG,

SAYA mengambil masa lebih kurang seminggu untuk menulis perihal perkara ini kerana menghormati mendiang Marco Simoncelli yang meninggal dunia dalam kemalangan ngeri dalam perlumbaan MotoGP Malaysia di Litar Sepang 23 Oktober yang lalu.

Saya adalah sebahagian daripada beribu peminat MotoGP yang berada di tempat duduk utama ketika kejadian itu berlaku.

Kami dapat menyaksikan dengan jelas kemalangan yang berlaku itu menerusi paparan skrin besar yang terletak di atas bangunan paddock bertentangan dengan tempat duduk utama.

Namun begitu apa yang ingin saya sampaikan di sini ialah gelagat sebahagian besar penonton di tempat duduk utama yang memperlihatkan sisi buruk mereka kepada bukan sahaja para tetamu luar yang turut hadir menyaksikan perlumbaan tersebut tetapi juga kepada anggota-anggota pasukan yang mengambil bahagian dalam perlumbaan itu.

Lebih kurang sejam selepas skrin besar di hadapan tempat duduk utama menyiarkan kenyataan ringkas bahawa perlumbaan dibatalkan, para penonton telah bertindak membaling apa sahaja yang ada di tangan mereka - botol air mineral, payung, air kotak dan juga bungkusan makanan di atas trek sambil melaung-laungkan kata-kata maki ke arah anggota-anggota pasukan yang bertanding.

Gelagat mereka ini telah mencetuskan kehairanan kepada para anggota pasukan yang berada di paddock kerana keputusan untuk menghentikan perlumbaan adalah keputusan pihak penganjur dan pemegang lesen perlumbaan.

Mereka melihat gelagat rakyat Malaysia sambil mengeleng-geleng kepala tanda kecewa seolah-olah rakyat Malaysia tidak memahami mengenai protokol perlumbaan apabila sesuatu kemalangan besar berlaku.

Adalah menjadi amalan bahawa perlumbaan akan dibatalkan jika berlakunya kemalangan besar yang mengancam nyawa pelumba. Kita telah menyaksikan peristiwa ini berulang-ulang kali tetapi malangnya penonton Malaysia memilih untuk memperlihatkan sikap tidak bertamaddun mereka dengan bertindak membaling botol ke atas trek malah menghamburkan kata-kata makian ke arah pelumba dan pasukan mereka. Mereka tidak bersalah apa-apa di atas keputusan untuk membatalkan perlumbaan.

Ya, memanglah amat malang wang yang dibayar untuk membeli tiket MotoGP ini tidak kelihatan berbaloi jika dibandingkan dengan hanya sempat menyaksikan dua pusingan perlumbaan sahaja. Tetapi perlumbaan yang mengorbankan pelumba dari Itali itu sememangnya patut dihentikan.

Jika ada sekali pun kelemahan di pihak penganjur yang boleh diambil iktibar agar kejadian seperti ini tidak akan berulang lagi ialah mereka tidak mengumumkan mengapakah perlumbaan itu terpaksa dibatalkan.

Satu-satunya pengumuman yang dibuat pada hari itu ialah "Perlumbaan Dibatalkan". Itu sahaja. Tiada sebab tiada alasan yang diberi. Ada yang mengatakan, pengumuman mengenai punca pembatalan perlumbaan memang tidak patut diumumkan selagi pasukan perubatan tidak mengesahkan status kecederaan Marco atau keluarganya perlu dimaklumkan terlebih dahulu.

Tetapi orang Malaysia tidak faham akan semua ini. Yang mereka tahu ialah mereka telah membayar wang yang banyak untuk membeli tiket bagi menonton perlumbaan 500cc tetapi kenapa tiba-tiba dibatalkan. Jadi akhirnya mereka mengamuk dengan melakukan sesuatu yang akhirnya memalukan imej negara dan sukan moto negara.

Saya perhatikan ramai mat salleh yang takut melihat gelagat barbarik penonton Malaysia dengan segera meninggalkan litar Sepang. Saya kurang pasti, apakah insiden yang menakutkan ini akan membawa mereka kembali ke sini tahun hadapan.

MAT LAN MAT DIN
Klang, Selangor


Kanak-kanak China Digilis Dua Kali, Tidak Diendah Warga China, Kecuali Seorang Pengemis Wanita
KIRA-KIRA 18 pengguna jalan raya membiarkan seorang budak perempuan terbaring nazak di tengah jalan selepas dua kali dilanggar kenderaan berdekatan kedai perkakas Guangfo di Huangqi, bandar Foshan, China.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan, orang ramai tidak menghiraukan budak berusia 2 tahun dikenali sebagai Yue Tue terbaring selepas dirempuh sebuah van. Kemudian sebuah kenderaan lain turut menggilisnya sekali lagi di luar kedai milik keluarganya itu.

Seorang pengutip sampah, di mana individu ke-18 yang melalui jalan itu akhirnya datang membantu budak kecil itu dengan mengangkatnya ke tepi jalan sambil menjerit meminta tolong.

Dilaporkan, pemandu van itu berjaya ditahan pihak berkuasa tempatan. Video yang mencetuskan kemarahan meluas penduduk China itu, di kongsi dan dilihat hampir 700 ribu pengguna internet sejak ia dimuat turun semalam.

(Kemaskini) 19/10/2011 - Kanak-kanak malang itu yang hanya dikenali sebagai Wang Yue, meninggal dunia selepas disahkan mati otak akibat kemalangan itu, kata akhbar China Daily.