BLOG DUKE AMIENE REV

Isnin, November 07, 2011

Maharaja Lawak Mega Boboi VS Pimai VS Bawal Power VS Adlin Aman Ramli - Empat Penakluk Dunia Lawak Berkuasa Besar!

"Jika kamu seorang Maharaja Lawak, buktikan kamu mampu menjadi seorang Maharaja Lawak yang mampu menakluk hati para peminat untuk tunduk mengundi kamu! Gelanggang Maharaja Lawak Mega adalah medan peperangan untuk menakluk tanah jajahan, dan setiap tanah yang ingin kamu jajah itu barangkali sebelum ini milik peminat-peminat pelawak lain. Buktikan kamu mampu menakluk tanah-tanah itu." - Amiene Rev kepada para peserta Maharaja Lawak Mega.

Kemunculan rancangan Maharaja Lawak Mega pada abad ini sememangnya sesuai dengan kehendak peminat-peminat seni lawak dunia. Rancangan Maharaja Lawak Mega memberi peluang kepada para pelawak tempatan dan juga di rantau ini untuk menguji pasaran lawak mereka sama ada masih segar, sudah basi, masih laku atau syok sendiri. Ini satu platform lawak yang hebat! Maharaja Lawak Mega juga merupakan tempat untuk membina karier sebagai pelawak pada peringkat antarabangsa. Para pelawak boleh menguji tahap lawak mereka sama ada bersifat antarabangsa atau tempatan. Maharaja Lawak Mega juga adalah simbolik maruah bagi otai-otai lawak tempatan. Jika mereka berjaya menjadi tarikan peminat, maka maruah mereka semakin tinggi, dan jika mereka gagal mempamerkan lawak yang baik, cemuh dan maki menjadi daki di badan mereka.

Boboi yang dianggotai oleh Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik sememangnya merupakan gabungan pelawak yang hebat. Pada masa ini, Boboi barangkali merupakan salah satu daripada dua tarikan utama di Maharaja Lawak Mega. Selain gandingan hebat dan idea bernas daripada Kumpulan Boboi Maharaja Lawak Mega ini, ada lagi sekumpulan tiga pelawak atau trio Pimai yang mengambil nama sempena sitkom popular Pimai Pimai Tang Tu. Sayang sekali sudah tidak ada kelibat Pak Uda atau Allahyarham Zami Ismail. Saya rasa kumpulan Pimai masih kekurangan ahli seperti Sabri Yunos dan Ahmad Busu.

Layakkah Dato' Siti Nurhaliza, Zainal Abidin Hassan dan Chef Wan menjadi juri Maharaja Lawak Mega?

Ada orang mempertikaikan kenapa dipilih orang yang bukan pelawak untuk menjadi juri? Saya rasa Astro membuat pemilihan yang tepat. Pertama, pemilihan Siti Nurhaliza sebagai juri adalah sesuai kerana Siti Nurhaliza adalah seorang yang serba boleh dan tahu apa yang dipanggil sebagai tarikan peminat. Siti Nurhaliza pernah melalui zaman yang menyedihkan sebagai penjual kuih sebelum bergelar penyanyi berjaya.

Begitu juga dengan Zainal Abidin Hassan. Zainal Abidin Hassan telah membuktikan dirinya sebagai Legenda Bola Sepak terkenal. Bukan mudah untuk mencapai ke tahap legenda. Zainal Abidin telah melalui jalan perjuangan bola sepak yang begitu jauh sebelum berjaya menjadi seorang legenda. Kita sedia maklum dunia bola sepak Malaysia penuh dengan pujian dan makian. Semangat perjuangan kental ini menjadikan Zainal Abidin sebagai seorang yang perlu ada di dalam dunia juri Maharaja Lawak Mega. Komen beliau mungkin seketika agak kejam namun itulah yang biasa dilalui oleh ahli-ahli sukan bola sepak semasa menjalani latihan atau pun ketika beraksi di padang. Menghadapi tekanan para penonton dan ombak penyokong dari dua belah pihak bukannya perkara mudah jika tidak ada jiwa yang kental. Perkara yang sama juga akan dihadapi oleh otai-otai lawak yang beraksi di medan Maharaja Lawak Mega.

Chef Wan barangkali merupakan tukang masak pertama yang menjadi selebriti di Malaysia. Chef Wan juga pernah melalui detik-detik sukar sebelum berjaya menjadi tukang masak paling terkenal di rantau ini. Saya masih ingat penampilan Chef Wan sebagai tukang masak dalam sebuah rancangan anjuran Bird Custard (tak silap saya). Chef Wan berjaya mencuit hati ramai penonton dengan lawaknya yang bersahaja, kata-katanya yang petah serta kemahiran memasaknya yang memang terkenal.

Ketiga-tiga orang selebriti ini bukan otai dalam bidang lawak, tetapi mereka telah melalui dan mempunyai pengalaman yang sukar sebelum berjaya sebagai seorang selebriti. Perjuangan. Ketabahan. Berani. Kreatif. Berdaya usaha. Kental. Lebih-lebih lagi dalam Medan Penaklukan Maharaja Lawak Mega ini, seboleh-bolehnya juri-juri yang dipilih mestilah bukan dari kalangan pelawak. Tidak begitu sesuai jika seorang pelawak lain mengkritik seorang pelawak yang lain pula. Semua pelawak yang telah menyertai Maharaja Lawak Mega adalah otai dan mempunyai pengalaman yang agak lama dalam bidang lawak dan komedi, dan seharusnya mereka mempunyai identiti dan falsafah tersendiri dalam dunia lawak. Tidak perlu diajar-ajar lagi seolah-olah mereka masih baru dalam dunia lawak. Walau bagaimana pun, dengan kehadiran orang luar dalam dunia lawak akan membolehkan mereka melihat pandangan orang yang bukan dari dunia lawak tentang lawak mereka. Perlu diketahui, para pengundi di seluruh rantau ini juga barangkali 99.99% adalah bukan pelawak profesional atau orang dalam dunia kerjaya lawak dan komedi. Seorang pelawak perlu faham, apa yang pelawak faham tidak semestinya difahami oleh orang yang bukan pelawak. Dunia pasaran lawak tidak begitu memerlukan pelawak untuk menjadi pelanggan. Oleh sebab itu, saya beranggapan pemilihan ketiga-tiga selebriti ini sebagai juri Maharaja Lawak Mega adalah sesuai.

Berikut adalah senarai kumpulan lawak yang berjaya menarik perhatian saya selepas 2 minggu. Saya panggil keempat-empat mereka ini sebagai 4 Penakluk atau 4 Paling Berkuasa dan memiliki Jajahan Tanah Peminat Lawak paling besar dalam rantau Maharaja Lawak Mega.

1. BOBOI - Sepanjang dua minggu ini, kumpulan ini konsisten dengan koleksi sketsa pendek membabitkan dua orang budak yang sama nama gelaran iaitu Boboi. Boboi dan Boboi, ya, kerana kedua-duanya adalah Boboi, yang kebetulan pula ialah dua adik-beradik tiri (sama ayah, berlainan bapa), dan ayah mereka pada ketika ini yang dapat dipastikan adalah A.C. Mizal. Mungkin Boboi cuma wujud dalam Maharaja Lawak Mega, atau mungkin, Boboi akan muncul secara bersiri atau dalam bentuk filem pula. Jika pada minggu pertama, Boboi menceritakan mengenai pertemuan antara dua orang budak tadika yang juga merupakan adik-beradik tiri, manakala pada minggu kedua pula, merupakan sketsa lain pula yang berkenaan kisah Boboi Besar yang menangis dan dipujuk oleh Boboi Panjang selepas telur rebusnya dicuri. Harun Salim Bachik pada pandangan saya telah berjaya meningkatkan lagi imej beliau sebagai salah seorang otai lawak di negara ini. Keberanian beliau untuk menyertai Maharaja Lawak membuktikan bahawa beliau sememangnya mentor lawak yang terbaik! Setahu saya, Harun Salim Bachik juga merupakan Presiden SENIMAN. Adakah Boboi akan berjaya membentuk Dinasti Boboi dalam Maharaja Lawak Mega yang pertama ini?

2. PIMAI - Pimai dianggotai oleh Imuda, Sathiya dan Mat Over. Penyertaan Sathiya sebagai peserta Maharaja Lawak Mega sebenarnya menarik perhatian saya. Saya berasa teruja melihat keberanian Sathiya yang dahulu merupakan salah seorang pengkritik Raja Lawak, tetapi kali ini muncul sebagai peserta yang penuh dengan semangat. Sathiya tidak pernah gagal mencuit hati saya. Gandingan beliau dengan Imuda dan Mat Over sememangnya terbaik, namun saya masih tetap tidak berpuas hati kerana belum ada Sabri Yunos dan Mat Deris. Barangkali, sebab itu nama Pimai-Pimai Tang Tu tidak digunakan dan hanya Pimai sahaja yang digunakan kerana tidak cukup orang. Bolehlah.

3. BAWAL POWER - Kumpulan Bawal Power dianggotai oleh Bob Kuman dan Sobri. Bob Kuman merupakan sahabat baik Saiful Apek, manakala Sobri memang terkenal dengan tabiat mudah gelaknya. Lawak Bawal Power jika didengar menerusi radio, masih dapat mengekalkan kualiti lawaknya. Kekuatan Bawal Power adalah pada pengucapannya, bukan pada aksinya. Bob Kuman bijak mengatur strategi. Beliau tahu bentuk badannya menyukarnya beliau untuk beraksi, oleh itu beliau menggunakan kelebihan pengucapannya untuk menarik perhatian penonton. Syabas! Dengan hanya duduk di atas kerusi, Bob Kuman mampu mengalun dialog lawaknya dengan begitu bersahaja. Memang bukan calang-calang orangnya Bob Kuman ini. Ditambah pula dengan gandingan Sobri yang juga didapati petah berkata-kata. Memang otai. Dalam minggu pertama, kedua-dua otai lawak ini melakukan provokasi secara damai dengan peserta-peserta Maharaja Lawak Mega, memang satu percubaan berani, memang seperti seorang ahli gusti profesional di Barat yang selalu kita lihat di kaca televisyen yang melakukan provokasi terhadap lawan-lawannya. Memang berani Bawal Power! Memang berkuasa! Salah satu kumpulan peserta yang mempunyai identiti hebat dalam Maharaja Lawak Mega. Memang sedap mendengar dialog-dialog kedua-duanya, walaupun saya tidak melihat aksi kedua-duanya. Lawak mereka cukup mencuit gegendang telinga.

4. ADLIN AMAN RAMLI - Pernah dikenali sebagai pengkritik yang sungguh ganas dan pedas pada suatu ketika dahulu. Kali ini Adlin tampil merendah diri untuk muncul sebagai salah seorang peserta Maharaja Lawak Mega. Pada minggu pertama, Adlin mencuba teknik stand-up comedian dan nampaknya beliau berjaya! Pada minggu kedua, Adlin tampil pula dengan lakonan tunggal watak teater muzikal dan sekali lagi beliau berjaya. Penuh berseni, penuh ilmu di dada, lawak Adlin bertaraf antarabangsa! Syabas Adlin! Syabas! Stamina kesungguhan beliau sangat mengujakan saya.

Di atas merupakan tiga peserta yang saya kira sebagai Senarai Peserta Maharaja Lawak Mega Kegemaran Amiene Rev. Bagaimana pula dengan para peserta Maharaja Lawak Mega yang lain? Saya menganggarkan masih ada beberapa kumpulan lawak yang berpotensi. Jika sudah otai, seharusnya ada potensi. Namun, potensi untuk menang, bergantung kepada kuasa para pelawak tersebut untuk menakluk jiwa para peminat industri lawak dan komedi. Jika kamu seorang pelawak sejati, buktikan kamu mampu menjadi seorang Maharaja Lawak yang mampu menakluk hati para peminat untuk tunduk mengundi kamu!

Berikut adalah antara pelawak-pelawak yang saya lihat mempunyai potensi untuk menjadi salah seorang daripada Penakluk dan mencabar Empat Maharaja Lawak Terkuat yang saya sebutkan di atas tadi.

5. JALIL HAMID - Beliau seorang yang hebat. Beliau mampu membuatkan sesiapa bergelak ketawa. Pada minggu pertama Jalil Hamid tampil hebat. Jalil Hamid mampu mengatasi mana-mana 4 Penakluk yang tersenarai di atas. Jalil Hamid sudah memiliki bala tentera yang dilatih sejak kecil lagi. Bala tentera itu adalah para peminat beliau. Saya juga merupakan salah seorang peminat Jalil Hamid. Namun begitu, saya juga merupakan peminat kepada 4 Penakluk Lawak. Namun Jalil Hamid mungkin telah melakukan satu kesilapan pada minggu kedua, beliau kelihatan agak lalai dengan konsep pertandingan dan lebih kepada sesi bermesra dengan para peminat. Saya syak Jalil Hamid pasti sibuk dengan urusan lain sehingga menyebabkan beliau cuba untuk menggunakan masa pertandingan untuk bermesra dengan peminat. Masih dengan lawak Ayam, tetapi saya sedar tema Jalil Hamid kali ini adalah berkenaan Makan. Selain Ayam, Jalil Hamid juga pernah merakamkan lagu bertemakan Makan. Jadi saya cuba membaca konsep Maharaja Lawak yang seorang ini. Jika Boboi dengan cerita dua beradik tiri, Jalil Hamid pula cuba membangkitkan nostalgia lagu-lagu yang pernah dirakamkannya dahulu. Jika dulu lagu-lagu ini menghiasi arena Muzik-Muzik atau Juara Lagu, kini Jalil Hamid menggubah tema-tema itu ke arena pertandingan lawak pula.

6. BAWEL - Saya kurang pasti jika ada Maharaja Lawak Mega yang keenam, namun saya nampak kelibat ahli-ahli kumpulan Senario di mana-mana. Yasin, Hamdan dan Ilya tidak bertanding dalam satu kumpulan. Buat masa ini kedudukan Maharaja Lawak Ke-6 adalah peserta dari luar negara. Saya pilih BAWEL untuk mengisi kedudukan yang ke-6 ini. Sudah pasti, bukan mudah untuk saya sendiri membuat pilihan peribadi. Ini kerana saya menilai kualiti setiap peserta dan kualiti peserta inilah yang menentukan kedudukan mereka di hati saya. Bukan kerana populariti atau senioriti mereka sebelum ini, tetapi usaha mereka untuk penyertaan mereka dalam Maharaja Lawak Mega. Kumpulan Maharaja Lawak Mega Bawel apabila beraksi di pentas, mereka kelihatan begitu khusyuk dan fokus tetapi lawak mereka berjaya menggeletek jauh ke dalam hati. Keseronokan berlawak jelas terpapar pada setiap ahli kumpulan Bawel. Mereka juga kelihatan mempunyai adab sopan yang jarang ditonjolkan oleh para pelawak lain apabila berada di pentas, pada masa yang sama mereka berlawak. Lawak jenis ini jarang ditemui pada dekad ini, dan ini menjadikan Bawel sebagai sebuah kumpulan Maharaja Lawak Mega yang unik. Tahniah buat kumpulan BAWEL kerana berani datang jauh menyeberang ke Malaysia untuk bertanding di Maharaja Lawak Mega.


Kumpulan Maharaja Lawak Mega Yang Mengaibkan Negara Sendiri!
Saya pasti para penonton juga tahu adanya kumpulan Maharaja Lawak Mega yang langsung gagal menarik minat penonton. Mereka langsung tidak dapat membezakan antara lawak dan bukan lawak. Persembahan mereka seolah-olah syok sendiri dan kadangkala menyinggung perasaan penonton. Apa lagi apabila mereka tampil ke pentas seolah-olah bukan niat untuk bertanding tetapi untuk meluahkan perasaan yang terpendam atau membalas reaksi para penonton dengan cara yang tidak wajar. Sepatutnya mereka lebih berusaha untuk bertanding, dan bukannya melayan provokasi segelintir pengkritik yang mengkritik mereka habis-habisan. Namun saya percaya, kumpulan lawak seperti ini pasti tidak akan wujud lagi di Gelanggang Maharaja Lawak pada minggu seterusnya. Adalah amat mengecewakan apabila ada kumpulan lawak yang sepatutnya berusaha sedaya upaya kerana tanggungjawab mereka untuk bertanding dalam Maharaja Lawak Mega bukan sahaja membawa imej diri mereka, tetapi juga sebagai simbolik kepada para pelawak di negara masing-masing.

Maharaja Lawak Mega Sebagai Peluang Penjenamaan Semula Pelawak-Pelawak Senior
Gelanggang Maharaja Lawak Mega seharusnya menjadi tempat bagi pelawak-pelawak senior yang semakin ditelan arus kemodenan karya lawak untuk bangkit semula dan mencipta pakej baru untuk kembali menakluki medan-medan lawak tempatan. Lihat sahaja kemunculan pelawak-pelawak baru yang lahir dari rancangan Raja Lawak yang sebelumnya. Zizan, Johan, Angah, Along, Nabil dan Sepah merupakan antara beberapa nama yang kini berjaya menjadi bintang filem. Tidak mustahil jika pelawak senior berjaya mendapat tempat dalam pertandingan Maharaja Lawak Mega ini maka mereka akan mendapat peluang dan periuk nasi yang lebih besar dan sarat terisi dengan emas pada kemudian hari.

FAKTA: Peserta-peserta Maharaja Lawak Mega adalah terdiri daripada kumpulan Pimai (Sathiya, Imuda dan Mat Over), HIRO (Hamdan, Ilya dan Ropie Cecupak), Boboi (Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik), ANJE (Achong Sweet Child dan Joey Daud), OSBON (Mr Os dan Abon), BP – Bawal Power (Bob Kuman dan Sobri), RAP (Aziz Kota, Pak Lah Cecupak dan Rama Jangan Ketawa), COMEL (Radhi Khalid dan Bell Ngasri) dan 3G (Yassin, Didie Alis dan Enot) manakala Adlin Aman Ramli dan Jalil Hamid mengambil langkah berani dengan tampil sebagai peserta solo.

Para peserta turut diberi kebebasan untuk mewujudkan koloborasi antara dua negara seperti yang dilakukan oleh kumpulan SYOK yang dianggotai Suhaimi, Ifa Raziah dan Arif Sudin. Kumpulan GEBU yang dianggotai Hani dan Azian juga pastinya akan menonjolkan keunikan komedi wanita Singapura. Maharaja Lawak Mega juga mengalu-alukan penyertaan peserta dari Indonesia iaitu kumpulan LANUN (Jegan, Elyas dan Salman Al-Farisi), BAWEL (Dodon Jambul, Amin Bawel dan Dadang Ragas), kumpulan SAEHU (Eko, Bocil dan Vicha) dan kumpulan CAER (Adetao, Mister Ibo dan Lugiana).