Panduan Menjadi Juara Akademi Fantasia - Siri 3
Jangan Menangis Atau Berkelakuan 'Kasihan Dia'
Penulis: Amiene Rev (C) 2008
Pada musim-musim terawal Akademi Fantasia dahulu, sikap tangis-menangis boleh dianggap salah satu senjata terkuat untuk mendapatkan undi simpati. Manakala komen positif dan berbahaya oleh pengkritik-pengkritik Akademi Fantasia yang seolah-olah mengesahkan kedudukan peserta yang berbakat itu terselamat juga satu bonus tidak langsung bagi pelajar dalam kategori 'Kasihan Dia'.
Saya memuji tindakan A.C Mizal apabila cepat-cepat mengeluarkan kenyataan, "Bahaya tu..." sebagai reaksi kepada komen melampau positif seorang pengkritik Akademi Fantasia terhadap pelajar Akademi Fantasia yang sememangnya berbakat, tempoh hari. Ya, mengingat peristiwa bagaimana peserta yang sentiasa mendapat komen positif dipandang sebagai tidak perlu dirisaukan menyebabkan ramai pengundi beralih arah untuk mengundi peserta 'Kasihan Dia'.
Kini, taktik 'Kasihan Dia' kadangkala boleh menimbulkan perasaan meluat kepada sesetengah pengundi. Kata-kata seperti "Kalau tak tahan, buat apa nak masuk AF? Orang lain ramai lagi nak masuk! Keluarlah kau malam ni dari AF".
Budaya tangis-menangis kadangkala dianggap sebagai suatu pengkhianatan kepada peserta berbakat. Peserta yang berasa dirinya tidak selamat, dilihat sebagai mempergunakan taktik 'Kasihan Dia' sebagai cara meraih undi simpati (sama ada sengaja atau tidak sengaja) dan seterusnya menyebabkan peserta yang layak tersingkir.
Sekiranya anda mahu bertahan di dalam Akademi Fantasia sehingga ke peringkat akhir, saya mencadangkan anda supaya tidak menunjukkan langsung kelakuan menangis sebab tidak tahan dengan suasana di Akademi Fantasia, rindukan isteri, rindukan suami, rindukan anak-anak, rindukan kampung, rindukan bantal busuk dan sebagainya. Tak mahu terima tak apa, pilihan tetap di tangan anda, saya cuma menyatakan pandangan sahaja.
Kenapa tidak boleh bersikap demikian? Kerana pengundi akan menganggap anda sudah tidak tahan lagi berada di Akademi Fantasia dan mereka akan bertindak untuk tidak mengundi anda lagi. "Saya kasihanlah tengok si Fantasha tu. Apa kata malam ni kita jangan undi dia lagi. Biar dia keluar, dia rindu dengan keluarga agaknya. Bagilah dia keluar. Kalau saya pun, saya nak keluar kalau dah menangis-nangis macam tu."
Rakyat Malaysia sungguh penyayang. Merekalah pengundi-pengundi di Akademi Fantasia. Oleh itu, sekiranya anda tidak mahu terkeluar lebih awal, jangan kaitkan diri anda dengan sikap dan kelakuan 'Kasihan Dia'. Sikap ini boleh memberikan pelbagai tafsiran. Pertama, anda tidak berbakat jadi mempergunakan simpati pengundi untuk kekal ke peringkat akhir dan seterusnya dianggap mengkhianat peserta yang berbakat. Anda tidak tahan lagi berada di Akademi Fantasia, anda rindukan keluarga dan oleh itu pengundi-pengundi akan mengeluarkan anda dari Akademi Fantasia.
Jadi apa tindakan anda sekiranya anda menjadi pelajar di Akademi Fantasia?
Sekiranya anda ketinggalan mengikuti siri Tips Menjadi Juara Akademi Fantasia yang sebelumnya, silalah semak di carian Google blog ini atau klik pada label atau kategori Tips Juara AF di bawah entri ini.
|