Potensi Pengangkutan Air Di Sungai Kelantan Seperti Di Amsterdam
Seperti Nieuwe Prinsengracht Canal, Amsterdam
Penulis: Amiene Rev (C) 2008
Penulis: Amiene Rev (C) 2008
Hari ini hari Ahad. Hari yang paling malas bagi semua orang kecuali orang yang rajin dan pandai menggunakan masanya. Hari ini aku ingin meneliti potensi Sungai Kelantan pada ketika ini.
Aku dapati aliran air di persisiran pantai telah mewujudkan anak tanjung pasir. Kerana adanya anak tanjung pasir ini, kompleks delta di Kelantan telah terlindung daripada kesan ombak.
Aku meneliti bagaimana pengangkutan air boleh dimajukan di Sungai Kelantan. Aku melihat daerah-daerah seperti Pasir Mas, Kota Bharu dan sehinggalah ke muara sekitar antara Tumpat dan Pantai Cahaya Bulan berpotensi untuk dimajukan.
Malah selepas itu, kemungkinan besar dari Pasir Mas pula, boleh dimajukan lagi pengangkutan air ini sehingga ke ke Tanah Merah, Temangan Baharu dan Kuala Krai. Dari Kuala Krai dan Lalok, mungkin memerlukan belanja yang besar untuk dimajukan buat masa ini.
Usaha untuk memajukan Sungai Kelantan akan memberi pulangan yang besar kepada rakyat Kelantan. Kawasan Jambatan Sultan Yahya Petra itu kini sedang membangun dengan pesat, bermula dengan HyperMarket Tesco dan kemudian beberapa buah bangunan lain. Kawasan di sekitar Jambatan Sultan Yahya itu menarik untuk dijadikan pusat pelancongan.
Sekiranya air sungai di dalamkan lagi, maka banjir akan dapat dielakkan, juga membolehkan kenderaan-kenderaan air yang lebih besar melalui sepanjang sungai. Mungkinkah kawasan di sekitar Sungai Kelantan itu memiliki potensi untuk dibina bangunan-bangunan terapung di setiap pinggirannya?
Selain pelancongan, Sungai Kelantan itu juga amat berpotensi untuk dijadikan gelanggang sukan air. Antaranya kayak, bot laju, lumba perahu dan sebagainya.
Tidak begitu jauh dari Jambatan Sultan Yahya Petra itu terdapat sebuah bangunan tinggi, di mana letaknya pejabat Jabatan Pembangunan Persekutuan. Bangunan ini dahulunya terdapat sebuah pusat beli belah yang dikenali sebagai Hankyu Jaya. Kini telah diambil alih oleh The Store. Di sekitar bangunan ini terdapat pula Grand River View Hotel, sebuah hotel mewah. Hotel yang diberi nama sempena dengan kedudukannya menghadap Sungai Kelantan ini barangkali mempunyai makna tertentu. Mungkin pemberi nama hotel ini mengetahui potensi Sungai Kelantan?
Sumber Imej Amsterdam: Wikipedia.com
|