Parodi Cerita Seram - Siri 6
Hantu Pemanggil Di Telefon Bimbit
Penulis: Amiene Rev (C) 2008
Sumber asal: http://dukeamienerev.blogspot.com
Penulis: Amiene Rev (C) 2008
Sumber asal: http://dukeamienerev.blogspot.com
NOTA: Amiene Rev adalah penulis cerita seram. Sekiranya anda terlanjur atau tidak tertahan nafsu untuk menyiarkan kembali cerita ini di mana-mana tempat, pastikan anda tidak lupa menyertakan nama penulis kisah seram ini iaitu Amiene Rev dan sumber asalnya iaitu http://dukeamienerev.blogspot.com di tempat penyiaran tersebut. Namun saya nasihatkan anda supaya tidak menciplak cerita ini supaya anda terselamat daripada menjadi ahli neraka di akhirat kelak.
Beginilah ceritanya...
Malam itu Nufara sedang tidur lena. Tiba-tiba telefon bimbitnya berdering. Nufara cuba mengangkat telefon bimbitnya. Telefon bimbitnya terus diam. Perkara ini berulang-ulang banyak kali.
Esoknya, Nufara mengadu hal itu kepada kawan-kawannya. Dia berasa sangat hairan kerana tidak ada satu pun nombor yang keluar pada skrin telefon bimbit itu selain nombor 343 10-1 05. Pelik betul nombor telefon seperti ini.
"Aku pun ada terima jugalah panggilan. Lepas tu aku tak layan terus. Biarlah dia dengar nada dering 'handset' aku," ujar Shiqin, berseloroh.
"Aik, kalian semua dapat. Aku seorang sahaja yang tidak dapat. Panggilan daripada siapa tu?" Muslimah bertanya. Dia berasa pelik kerana dia seorang sahaja yang tidak diganggu dengan 'miss call' berhantu itu.
"Entahlah, hantu agaknya." Nufara datang dan terus menyampuk. Dia duduk di atas katil, di sebelah Janet, pelajar cina yang mengambil jurusan Pengurusan Perniagaan.
"Hai, Nufara. Awak pun diganggu juga. Siapalah budak nakal ni ya?" Elyana yang duduk di penjuru katil menyapa.
"Muslimah, kenapa awak tak diganggu, ya? Janet pun diganggu," Shiqin merenung Muslimah dengan rasa curiga.
"Ah, saya tidak takut. Yesus akan lindungi saya," tegas Janet yang beragama Kristian, kemudian dia pun turut menyoal Muslimah, "Apa rahsia awak tak diganggu, ya?"
"Saya pakai... nada dering nasyid, agaknya..." Muslimah jadi ragu-ragu hendak menjelaskan pendapatnya. Kesemua mata siswi-siswi di dalam bilik itu memandang tepat ke arah Muslimah.
"Lagu nasyid apa yang awak pasang?" Soal Shiqin.
"Puji-pujian. Lagu Raihan," jelas Muslimah.
"Tapi apa kata malam ni kita cuba siasat," cadang Shiqin.
"Elok juga tu. Janet, apa kata cuba awak kaji nombor telefon si hantu tu," cadang Elyana pula.
"Sekarang pun, saya boleh kaji. Biar saya dapatkan kertas dan pen, semua sudah jadi," ujar Janet, bersetuju.
Janet mengkaji angka-angka yang terdapat dalam nombor telefon itu. 343 10-1 05. Hm, pelik. Setahu aku, tidak ada nombor telefon orang yang sebegini. Haiya, ini sungguh memeningkan kepala. Aku yakin pasti ada perkhidmatan tertentu untuk membolehkan seseorang itu menyembunyikan identiti dan nombor telefon sebenarnya, fikir Janet di dalam hati.
"Nombor 3 sama seperti Tree, pokok. 4 pula seperti seekor bangau. 10-1 seperti Ten Minus One. Sifar Lima. Apakah maksudnya?"
Janet bercakap seorang diri. Shiqin, Elyana dan Nufara memerhati catatan Janet dengan penuh minat. Muslimah diam dan tenang sahaja.
"Tunggu. Cuba kita baringkan nombor 3. Macam huruf M. Ah, apa pula dengan 4? Macam huruf A. Kita sudah dapat perkataan MAM untuk 343."
"Dan, oh apa pula 05 ini? Adakah OS? MAM 10-1 OS? Sepuluh tolak satu? Sembilan?"
"Tidak, tidak! Sepuluh tolak satu. Sepuluh = Sa Puluh. Sa Puluh tolak Satu jadi Puluh."
"Maka sekarang kita sudah dapat MAM Puluh OS?"
"MAMPUS!" Jerit Nufara! Maksud nombor telefon itu sudah terbongkar! Janet, Shiqin dan Elyana mempercayai kata-kata Janet.
"Sudah tentu, orang yang membuat panggilan curi kepada kita ini adalah orang yang sudah mampus," jelas Janet. Semua pun bersetuju.
"Malam ini kita mesti siasat!" tegas Shiqin.
Malam itu mereka berada sebilik. Telefon bimbit masing-masing diletakkan di tengah-tengah lantai beralas tikar getah. Itu bilik Nufara. Janet, Shiqin, Elyana dan Muslimah masing-masing menunggu telefon bimbit mereka berbunyi.
Jam tepat 12 malam. Telefon bimbit berbunyi satu persatu, kecuali telefon bimbit Muslimah. Semua orang sudah bergementar.
Nufara mendapat satu idea. Dia berbaring, berpura-pura tidur di sebelah telefon bimbitnya. Jari tangannya diletakkan dekat dengan butang-butang telefon bimbitnya. Dia menyuruh kawan-kawannya diam. Kawan-kawannya memahami muslihat Nufara.
Telefon bimbit berbunyi satu persatu, Nufara menekan butang 'TERIMA PANGGILAN' secepat kilat. Secepat itu juga pemanggil itu menamatkan panggilan.
"Kena! Padam muka kau, habis kredit!" Nufara tergelak-gelak. Kawan-kawannya yang lain turut tergelak-gelak.
Telefon bimbit berbunyi lagi. Kali ini bukan telefon bimbit Nufara. Telefon bimbit Muslimah jauh sekali. Nufara pun menekan butang telefon Janet lalu secepat itu juga dia menjerit:
"Padam muka. Yeyeh! Wek!" Nufara sempat mengejek si pemanggil.
"Haiya! Ini orang, siapa? Mana Janet?" Tiba-tiba kedengaran suara seorang mak cik. Nufara syak itu pasti ibu atau saudara mara Janet.
"Eh, maaf, Auntie!" Nufara memberikan telefon tersebut kepada Janet, "Emak you!"
Janet membeliakkan mata. Dia mengambil telefon itu dari tangan Nufara. Diperhatikannya nombor telefon. Ya, nombor telefon emaknya.
Janet bercakap seketika. Tiba-tiba air muka Janet berubah. Janet mencampakkan telefon bimbit.
"Bukan. Itu bukan mama I!" Janet ketakutan. Nufara melihat nombor telefon. 343 10-1 05. Ah, pandai sekali hantu itu menyamarkan diri.
"Apa dia kata, Janet?" Shiqin menggoncang-goncangkan bahu Janet. Bimbang. Cemas.
"Dia kata, ini malam, kita semua jangan buka tingkap atau pintu bilik. Ada benda memerhati dan mencari kita semua!"
Semua pelajar siswi itu ketakutan. Mereka duduk diam-diam di dalam bilik. Tiba-tiba pintu kedengaran diketuk-ketuk. Ketukan itu makin kuat. Banyak sungguh tangan yang mengetuk pintu bilik. Mereka juga mendengar bunyi tapak kaki dan besi diheret rapat ke lantai. Berdesing bunyinya. Semua pelajar siswi itu berpelukan.
"Apa kata kita buka lampu?" cadang Muslimah.
"Takut..." tutur Elyana, ketakutan.
"Apa kita kita menjerit beramai-ramai?" cadang Shiqin pula.
"Setuju..... Aaaaaaaaa," Nufara menjerit perlahan-lahan.
"Aaaaaaaahhhhhhh, makkkkkk!!!! Tolong kamiiiii!!!!!! Tolong kamiiii. Kami anaaaak daraaaa ayuuuu!!!!!" Mereka semua menjerit beramai-ramai.
Jeritan itu kedengaran begitu kuat sehingga ke luar kawasan asrama.
"Dam!" Pintu bilik ditendang dengan begitu kuat. Beberapa orang berpakaian jubah dan berserban datang menyerbu. Di kalangan mereka itu ada seorang felo asrama.
"Ahh... nasib baik tok bomoh tahu!" Elyana menangis teresak-esak.
"Bomoh? Bomoh mana?" Dr. Fatima, Felo Blok Siswi bertanya, terpinga-pinga.
"Kami dari Jabatan Pencegah Maksiat, kami mendapat laporan ada beberapa orang lelaki datang ke blok kamu, jadi kami mahu memeriksa bilik kamu," jelas salah seorang lelaki berjubah coklat.
Nufara, Shiqin, Elyana, Muslimah dan Janet terpinga-pinga. Sehingga ke hari ini peristiwa seram itu masih diingati. Misteri panggilan berhantu dan peristiwa pelajar-pelajar ternampak kelibat beberapa lembaga lelaki datang ke blok mereka masih menjadi tanda tanya hingga ke hari ini.
Apabila ditanya soalan mengenai rupa lelaki-lelaki itu kepada seorang saksi, saksi itu pun mengatakan:
"Tinggi macam pemain bola keranjang. Hitam gelap. Semuanya botak dan bogel tanpa pakaian. Hitam berkilat macam orang minyak! Saya tak nampak jelas sebab gelap sangat, tapi badan mereka tegap dan sasa memang macam lelaki. Takkanlah perempuan badan macam tu!"
SEKIAN.
Sumber asal: http://dukeamienerev.blogspot.com
Cerita kenit seram ini adalah hasil tulisan Amiene Rev. Anda tidak dibenarkan menerbitkan semula karya ini di mana-mana blog atau dalam apa jenis penerbitan pun tanpa kebenaran Amiene Rev. Sekiranya anda berminat atau menyukai cerita ini, ajaklah kawan-kawan datang ke blog ini. Cerita seram ini akan disiarkan seminggu sekali. Semoga terhibur.
|