BLOG DUKE AMIENE REV

Jumaat, Julai 18, 2008

Parodi Cerita Seram - Siri 5

Pocong Tersengih Di Dalam Tandas
Penulis: Amiene Rev (C) 2008
Sumber asal: http://dukeamienerev.blogspot.com

Cerita seram di blog ini ditulis oleh Amiene Rev. Amiene Rev adalah seorang penulis cerita-cerita seram pendek di blog Duke Amiene Rev. Anda juga boleh memuat turun Majalah Digital Percuma Amiene Rev menerusi blog ini.

Dan cerita seram pun bermula...

Ini satu kisah seram. Begitulah kata pembuka surat yang dibuat oleh Dikmas kepadaku. Kau tahu tak kenapa Junaida tidak lagi bersekolah di sini? Semuanya gara-gara kisah seram di dalam tandas aras empat. Aku tidak tahu bagaimana lagi hendak kusampaikan cerita ini kepadamu. Junaida masih mencintaimu, Awi.

Ah! Cinta monyet semua ini? Nafsu remaja memang liar, aku begitu tandus dengan kegersangan cinta sehingga terjerumus ke lembah monyet. Cinta monyet, cinta terlarang. Ustazah Faradhiya sendiri sudah menegur kami berdua selepas surat cinta kami ditemui semasa 'spot check' tempoh hari. Kami bernasib baik kerana cuma diberi amaran.

"Bercinta ini besar tanggungjawabnya. Kamu masih mentah lagi. Masih teramat muda untuk menanggung beban orang bercinta. Sedangkan makan minum kamu pun ibu bapa kamu yang tanggung. Bagaimana kamu hendak menanggung cinta? Dengan duit ibu bapa kamu?" Begitulah teguran Ustazah Faradhiya.

Junaida masih mencintai awak, Awi. Awak jangan salah faham. Junaida tidak tahu bagaimana mahu memberitahu awak, oleh itu, biarlah aku sahaja yang memberitahu kepada awak. Er, sesiapa yang baca surat ini curi-curi. Ini makluman. Aku tak cinta Awi. Ini bukan surat cinta. Berani 'report' kepada Ustazah, aku lekuk kepala orang yang buat 'report' tu. Penyibuk betul.

Garang juga isi kandungan surat Dikmas. Dikmas, teman setia Junaida. Baru kini aku percaya. Aku terus membaca isi kandungan surat itu. Alah, Dikmas, kalau susah-susah, aku mengurat awak sajalah, tutur aku di dalam hati. Kting! Tiba-tiba wajah Junaida memegang pengguling tepung dengan tangan kanan sambil menghentak-hentakkan pengguling tepung itu ke tapak tangan kirinya terpapar di skrin imaginasiku. Mukanya masam mencuka. Matanya garang dan liar. Cemburulah tu!

Junaida pada malam itu, telah pergi ke tandas. Semasa hendak ke tandas, Junaida mendakwa telah ternampak satu lembaga mencangkung di dalam tandas. Junaida menyuluh ke dalam tandas. Dilihatnya seekor lembaga berwajah tengkorak dengan sisa-sisa daging reput merah, kuning dan hitam pada tulang-tulang tengkoraknya, dan berpakaian ala-ala pocong. Pocong itu berkata:

"Lain kali jangan guna lampu suluh. Buka lampu. Kan, dah kena kacau! Hi! Hi! Hi!" Pocong itu tersengih-sengih. Junaida terjerit-jerit ketakutan lalu berlari keluar dari tandas.

Pocong itu mengejar dari belakang. Entah bagaimana, Pocong itu terpijak selipar di luar tandas yang masih basah dan licin, lalu Pocong itu jatuh berguling-guling ke tangga ke bawah. Junaida tidak peduli, apa lagi berasa kasihan terhadap keselamatan hantu pocong itu. Dia berlari masuk ke bilik, menangis dengan kuat. Kami sebilik sudah terbangun sejak dari tadi. Lampu setiap 'dorm' dinyalakan. Ustazah Faradhiya dan beberapa orang warden lain berlari naik ke aras kami, terus mendapatkan Junaida.

Junaida menceritakan apa yang telah berlaku. Tidak ada seorang pun yang percaya cerita Junaida. Kau tahu, Awi, siapakah pocong itu? Pocong itu adalah hantu dari kawasan hutan seberang parit di luar sekolah kita!

Jadi, Awi, janganlah kau sangka yang bukan-bukan. Aku melipat surat penjelasan Dikmas itu baik-baik. Aku memejamkan mata, seakan-akan mahu menangis kerana berasa kesal dengan tanggapan negatifku terhadap Junaida selama ini. Junaida masih setia kepadaku rupanya. Aku melangkah keluar meninggalkan padang. Sejak kehilangan Junaida, aku sering menyendiri di padang ini.

Aku berjalan-jalan menuju ke parit di tepi pagar sekolah. Aku melihat-lihat sekitar di kawasan parit. Aku mendapati sebuah kubur lama di situ dan paling mengejutkan, kubur itu telah digali orang!


SEKIAN.

Sumber asal: http://dukeamienerev.blogspot.com


Cerita pendek seram ini akan disiarkan di blog Duke Amiene Rev setiap minggu sekiranya ada upaya untuk menyiarkannya. Semoga terhibur. Kalau anda suka janganlah cetak rompak cerita ini, kalau anda tak suka janganlah cetak rompak juga. Apalah salahnya kalau kalian buatkan satu jaringan blog ini ke tempat yang anda nak sampaikan cerita ni. Saya tak tahu cerita ini seram atau tidak. Apa pun, terima kasihlah sebab sudi membacanya, ya. Jumpa lagi, minggu depan.